Category: Entertainment

  • “Dato’ Aishah Hidupkan Semula Karya Klasik Di Pinggir Kayangan”

    “Dato’ Aishah Hidupkan Semula Karya Klasik Di Pinggir Kayangan”

    Dato’ Aishah Menghidupkan Semula Lagu “Di Pinggir Kayangan”, Nyanyian Asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Merakamkan semula lagu-lagu klasik yang pernah dipopularkan oleh artis-artis legenda adalah perkara biasa. Ramai penyanyi di seluruh dunia sering melakukan ini kerana lagu-lagu lama mempunyai irama yang kekal relevan. Dengan nafas baharu, lebih ramai generasi muda dapat menghargai karya-karya emas ini.

    Namun, tidak semua penyanyi baharu berjaya menjadikan lagu-lagu rakaman semula sebagai karya yang mudah diingati. Ada yang gagal dan tidak dikenali, sementara ada yang berjaya mencuri perhatian. Hanya beberapa penyanyi hebat sahaja yang mampu menghidupkan semula karya-karya lama ini.

    Salah seorang yang ingin melakukan ini adalah penyanyi senior Malaysia dengan vokal yang luar biasa, Dato’ Aishah. Pernah menembusi pasaran antarabangsa bersama kumpulan The Fan Club, Dato’ Aishah kini kembali dengan rakaman semula lagu “Di Pinggir Kayangan” yang pernah dinyanyikan oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

    “Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan arwah. “Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan gembira serta lenggok kemelayuan yang sangat merdu,” kata Dato’ Aishah sambil menjelaskan mengapa beliau memilih lagu ini untuk dirakam semula.

    “Lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu yang harus diperkenalkan semula kepada generasi baru. la begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya tersebut,” tambahnya lagi. Oleh kerana ia merupakan rakaman semula dengan nafas baharu, terdapat beberapa perbezaan ketara dalam versi Dato’ Aishah.

    “Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya berbeza dari suara penyanyi asal. Lagu juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal,” katanya tentang versi baharu lagu tersebut. Saat ditanya tentang harapannya untuk projek terbaharunya ini, beliau menyatakan bahawa beliau mahu lagu ini diterima baik oleh semua.

     

    “Semoga lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” ini akan mendapat tempat dalam kalangan para pendengar muda dan sudah tentunya pendengar yang lebih senior juga. Bila kita dapat menghayati lagu-lagu lama barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” bingkas Dato’ Aishah di akhir bicara.

    Pihak Sony Music Malaysia juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Aishah di atas pencapaian 17x Platinum dari hasil penjualan keseluruhan kombinasi album fizikal dan digital melalui lagu-lagu beliau yang pernah bernaung dibawah Sony Music Malaysia.

    Bakal dikeluarkan pada tarikh 19 Julai 2024, “Di Pinggir Kayangan” versi Dato’ Aishah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

  • Persembahan Memukau di Konsert Finale FEEL DA STARZ 2024

    Persembahan Memukau di Konsert Finale FEEL DA STARZ 2024

    FEEL DA STARZ merupakan sebuah program realiti nyanyian yang bertujuan untuk mengilapkan bakat-bakat nyanyian dari komuniti Felda. Melalui siri jelajah di empat Wilayah Felda – Segamat, Trolak, Jengka, dan Sahabat.

    Program ini mengenal pasti 10 peserta terbaik yang bertanding di Konsert Kemuncak Juara FEEL DA STARZ pada Hari Peneroka FELDA 2024 di MAEPS, Serdang.

    Kehadiran YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi, semakin memeriahkan suasana Konsert Finale.

    Naidatul Zamrizam Arsad atau Zam dari Wilayah Johor Bahru dinobatkan sebagai juara FEEL DA STARZ, memenangi RM10,000, sebuah iPhone Pro Max dari Umobile, dan sijil penghargaan dari Institut Semarak FELDA.

    Naib Juara dianugerahkan kepada Nurul Aini Shahira Hariadi, juga dikenali sebagai Allong dari Felda Jengka 17, Wilayah Jengka, yang membawa pulang RM7,000. Tempat ketiga dimenangi oleh Saiful Bahri Shamri atau Saif dari Felda Lurah Bilut, Wilayah Mempaga, dengan RM5,000 serta sijil penghargaan yang setaraf.

    Acara Konsert Finale turut memukau dengan persembahan pembukaan daripada Penyanyi Mawi, Siti Nordiana, Marsha Milan, dan Firman Siagian, dihoskan dengan cekap oleh Kak Lina Pom Pom.

    Semua finalis tidak berundur dengan tangan kosong, mereka masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM1000 berserta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam pertandingan ini.

    FEEL DA STARZ bukan sekadar memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk bersinar, tetapi juga mengukuhkan pentingnya penghormatan terhadap warisan seni budaya dalam komuniti Felda.

  • Konsert Malam Hari Merdeka : Mahardika – Spider x Ella x Masdo

    Konsert Malam Hari Merdeka : Mahardika – Spider x Ella x Masdo

     

    Mahardika: Spider, Ella, dan Masdo Akan Cetak Sejarah pada 30 Ogos 2024

    Konsert Malam Hari Merdeka Paling Epik di Pulau Pinang

    Sambutan ambang Merdeka tidak lengkap tanpa perayaan kemerdekaan yang meriah, meskipun berbentuk hiburan. Hiburan ini tidak kosong, tetapi sarat dengan liku-liku, perjuangan, dan kejayaan pemuzik tempatan yang telah mengharumkan nama mereka di Nusantara.

    Dengan semangat perjuangan itu, The Dons Group dengan bangga mempersembahkan sebuah konsert yang menggabungkan tiga pemuzik ternama negara, diadakan buat pertama kalinya di Pulau Pinang. Mahardika menampilkan Spider, ratu rock negara Ella, dan kugiran popular generasi kini, Masdo, yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2024 di Spice Arena Penang.

    Mahardika: Spider X Ella X Masdo dijangka menjadi konsert terbesar yang pernah dianjurkan oleh The Dons Group tahun ini dan berpotensi mencipta sejarah tersendiri dengan sokongan padu daripada peminat.

    Menyentuh mengenai Mahardika, Syed Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Don dari The Dons Group, menjelaskan makna di sebalik pemilihan perkataan Mahardika sebagai medan persembahan bagi Spider, Ella, dan Masdo.

    “Mahardika bermaksud ‘Malam Hari Merdeka’ dan dijadikan akronim Mahardika. Kami di The Dons Group memilih nama ini kerana sesuai dengan tarikh yang dipilih iaitu 30 Ogos 2024, sehari sebelum hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos,” kata Don.

    Don juga menekankan bahawa Spider, Ella, dan Masdo sangat sesuai untuk menjayakan Mahardika kerana kredibiliti dan perjuangan mereka dalam dunia muzik masing-masing. “Spider, Ella, dan Masdo sangat cocok dengan tema konsert Mahardika kerana mereka telah mencipta sejarah tersendiri di dalam negara dan Nusantara. Kami berharap peminat dari pelbagai generasi hadir untuk menyaksikan kebolehan pemuzik tempatan yang tidak kurang hebatnya dari artis luar,” tambah Don.

    Mengenai lokasi di Pulau Pinang, Don menyatakan bahawa mereka memanfaatkan peluang untuk menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara untuk bercuti di negeri itu.

    Mahardika juga menjadi momen terbaik bagi Spider untuk bertemu peminat mereka selepas tiga dekad tidak mengadakan persembahan di Pulau Pinang. “Mahardika adalah kesempatan terbaik untuk Spider bertemu peminat di Pulau Pinang atau Utara selepas tiga dekad tidak membuat persembahan di sana,” kata vokalis Spider, Tam.

    Masdo dan Ella juga berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk hadir ke Mahardika di Spice Arena Penang pada 30 Ogos 2024, kerana ini merupakan kolaborasi pertama mereka bersama Spider. Jangan lepaskan peluang emas ini!

     

    Dapatkan tiket dengan harga bermula dari RM98 (STANDING), RM118 (SILVER ZONE), RM128 (ROCK ZONE), RM148 (PLATINUM), RM198 (GOLD), RM350 (VIP) melalui WWW.TICKET2U.COM.

    Mahardika bukan sekadar Janji Manis Masdo, mari hadir melayar impian bersama Ella. Seperti kata Spider, ini baru Ngam Ho! Jumpa anda di Spice Arena Penang

     

  • KISAH PENGANTIN LARI KETIKA AKAD NIKAH !

     

    Pengantin Pasti Jadi, drama terbaru dalam slot Lestary, kini menjadi viral dengan tragedi “pengantin lari”. Drama ini menggandingkan pelakon baharu berbakat besar, Ali Reza dan Asha Merican, sebagai watak utama. Tayangannya bermula 11 Julai 2024, setiap Khamis hingga Sabtu, pada pukul 9.00 malam di TV3. Penonton yang ingin menyaksikan lebih awal boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton.

    Drama ini berkisahkan tentang kehidupan Raid Amzan (Ali Reza) dan Nureen (Asha Merican) yang ditinggalkan pasangan masing-masing pada hari pernikahan mereka. Perkahwinan mereka diatur oleh ibu mereka, Seri Hanim (Lana Nordin), ibu kepada Nureen, dan Datin Hasnah (Khaty Azian), ibu Raid.

    Tragedi “Pengantin Tak Jadi” yang menimpa mereka menjadi sensasi di media sosial. Akibatnya, Raid dan Nureen memutuskan untuk pergi bercuti tanpa perancangan. Mereka berlibur di destinasi yang sama dan bertemu buat kali pertama di sana. Pertemuan pertama mereka seringkali diwarnai dengan pertengkaran dan situasi tidak menyenangkan, namun tanpa disedari, perasaan mesra mula tumbuh dan mereka berusaha untuk lebih mengenali satu sama lain.

    Selepas kembali ke Kuala Lumpur, Raid menawarkan Nureen untuk menjadi guru peribadi kepada anak saudaranya, Tia yang berumur 6 tahun. Hubungan antara mereka bertiga semakin rapat, dan akhirnya cinta antara Raid dan Nureen mulai bersemi. Namun, keakraban mereka tidak direstui oleh Datin Hasnah dan Seri Hanim yang menimbulkan konflik untuk memisahkan mereka. Ayah Nureen, Norman (Shyrim Husni), terlibat dan membawa Raid dan Nureen untuk dinikahkan di kampungnya. Tetapi kekecohan berlanjutan apabila Datin Hasnah serta Seri Hanim mengetahui tentang pernikahan tersebut, hingga Norman campur tangan dan mendapatkan persetujuan Datin Hasnah dan Seri Hanim untuk merancang majlis persandingan mereka secara besar-besaran, tetapi konflik terus berlaku.

    Drama bersiri 20 episod ini diterbitkan oleh Creative Skill Solution, diarahkan oleh Shuhaimi Zulkefli dan ditulis oleh Nieza Nahar. Pengantin Pasti Jadi menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ali Reza, Asha Merican, Daniesh Suffian, Riesha Aslan, Ungku Hariz, Faye Kusairi, Lana Nordin, Khaty Azian, Shyrim Husni dan ramai lagi.

    Menurut Ali Reza, “Saya amat berterima kasih ke atas peluang yang diberikan untuk memegang watak utama dalam drama Pengantin Pasti Jadi. Penggambaran drama ini bermula pada Julai 2022, pada waktu itu saya masih lagi baharu dalam dunia lakonan ini jadi semestinya banyak yang saya pelajari ketika di set penggambaran. Cabaran paling besar bagi saya adalah untuk menghidupkan watak ini dan mengekalkan keserasian bersama Asha Merican dan pelakon-pelakon lain. InsyaAllah, setiap cabaran dalam menjayakan watak itu saya akan jadikan sebagai penambahbaikan untuk lakonan akan datang.”

     

  • Kemunculan Afif Tirmizie yang PERTAMA dalam genre baharu

    Kemunculan Afif Tirmizie yang PERTAMA dalam genre baharu

     

     

    Ahmad Alif Afif Tirmizie, yang dikenali sebagai Afif, sangat bersemangat dengan hasil terbaru daripada Wira Peronda, single pertamanya bersama Alternate Records. Bagi Afif, tawaran ini adalah peluang emas untuk mengembangkan bakat seni nyanyiannya, dengan penyertaan dalam penghasilan lagu tema untuk drama aksi kepolisan terkini ‘Polis Peronda’ yang kini tengah hangat ditayangkan di TV3. Drama ini telah memulakan siaran dengan lima episod sejak 28 Jun 2024, disiarkan setiap Jumaat pada jam 10 malam, dan episod baru boleh ditonton awal secara atas talian di Tonton, melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton dari Google Play atau App Store.

    Lagu runut bunyi Wira Peronda yang dinyanyikan Afif turut memainkan peranan penting dalam menambahkan lagi kesan dramatik dan emosi dalam setiap episod drama tersebut.  Afif  melahirkan rasa teruja dan bangga kerana dapat terlibat dalam projek ini. “Saya amat terharu kerana diberi peluang untuk menyumbangkan suara saya dalam drama hebat ini. Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati penonton dan memberikan kesan mendalam,”

    Beliau juga  meluahkan perasaan bercampur baur apabila mengetahui bahawa lagu tersebut merupakan OST drama daripada Skop Production. “Agak gementar juga kerana saya tidak pernah menyanyikan lagu berentak seperti ini,” kata Afif. Sesi rakaman lagu hanya mengambil masa dua jam, dan ini adalah kali pertama beliau bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh. Afif menyifatkan pengalaman ini sebagai sangat menyeronokkan kerana kedua-dua komposer tersebut sangat profesional dan santai. “Jika diberi peluang, saya memang ingin bekerjasama lagi,” tambahnya.

    Walaupun dikenali dengan lagu berentak Hip Hop dan balada, Afif menganggap cabaran menyanyikan lagu Wira Peronda ini sebagai satu kelainan apabila beliau melangkah keluar dari zon selesanya. “Ini suatu cabaran baharu buat saya kerana perlu menyanyikan genre yang berlainan daripada kebiasaan saya iaitu genre Hip Hop atau Balada. Walaubagaimanapun, peluang ini akan memberikan ruang untuk saya menonjolkan kelainan dari segi vokal kerana para peminat tidak pernah mendengar saya menyampaikan lagu bergenre Pop Rock.  Gabungan muzik yang mendalam dan lirik yang penuh makna menjadikan lagu ini sebagai salah satu karya terbaik saya dalam industri.”

    Beliau juga berharap peminat akan terus mendengar lagu ini kerana ia mempunyai mesej yang sangat bagus, penuh semangat dan keberanian selaras dengan tema drama yang mengangkat kisah para anggota polis peronda yang berdedikasi. “Semoga pendengar dapat menerima apabila saya menyanyikan melodi seperti ini kerana ia merupakan sesuatu yang baru untuk saya. Teruskanlah menyokong karier saya dalam industri,” katanya lagi.

     

    Menurut Ikhwan Fatana, ‘’Saya mula mengarang lirik dan melodi lagu ini bersama Wan Salleh apabila menerima permintaan dari  pihak Alternate Records tentang drama “Polis Peronda”. Dari situ, saya mula merangka lirik dan menghasilkan melodi lagu bersama Wan Salleh di studio. “Proses pembikinan lagu ini mengambil masa hanya dua minggu,” kata Ikhwan. Beliau juga memuji vokal mantap Afif yang memudahkan kerjasama dan mempercepatkan proses rakaman lagu. “Afif sentiasa ada idea menarik dan vokalnya yang tersendiri menjadikan lagu ini unik,” tambah Ikhwan.

    Ikhwan berharap Wira Peronda dapat menghiburkan semua lapisan masyarakat dan memperkenalkan unit peronda Polis Diraja Malaysia. “Saya berharap agar lagu ini berjaya melekat di ingatan pendengar yang menonton drama ini.  Wajib dengar kalau tak kena saman,” gurau Ikhwan. 

    Drama “Polis Peronda” telah menarik perhatian ramai dengan cerita yang mengisahkan perjuangan dan pengorbanan anggota polis dalam menegakkan keadilan. Lagu Wira Peronda yang membawa mesej tentang kewibawaan dan kredibiliti pasukan unit peronda menggambarkan visi dan misi Polis Peronda yang digarapkan dalam OST drama tersebut dan berjaya memberikan kesan emosi yang kuat dalam setiap babak penting drama ini.

    Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu Wira Peronda nyanyian Afif Tirmizie yang telah mula bergema di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian. Ayuh saksikan ‘Polis Peronda’ yang sedang hangat ditayangkan di TV3. Drama ini telah mula ditayangkan sepanjang lima (5) episod bermula 28 Jun 2024, setiap Jumaat jam 10.00 malam dan strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store. 

    Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

  • Episod ke-3 ICSYVMY 7 : Naim Daniel Menghilang?

    Episod ke-3 ICSYVMY 7 : Naim Daniel Menghilang?

     

    Mari menyiasat sambil berhibur dengan I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7 (ICSYVMY 7)! Episod terbaharu ini dijangka lebih riuh dengan kehadiran bukan dua, tetapi tiga penyiasat jemputan istimewa! Kali ini, penyanyi terkenal Sufian Suhaimi, pelakon berbakat Azhan Rani, dan Noorkhiriah akan menyertai pasukan penyiasat. Aksi mereka bersama penyiasat tetap pasti akan menceriakan hujung minggu anda. Namun, tanpa kehadiran Naim Daniel, adakah penyiasat jemputan ini mampu membuat pilihan yang tepat? Apakah Naim Daniel tidak lagi ingin menggalas tanggungjawab ini? Saksikan untuk mengetahuinya!

    Jangan lepaskan peluang anda untuk menonton ICSYVMY7 bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam hanya di TV3. Penonton juga boleh menstrim secara langsung dalam HD menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store. Kini tiba masanya untuk anda memulakan misi baharu dan melakukan siasatan anda bersama keluarga menerusi ICSYVMY7.

     

    ICSYVMY7 dikendalikan oleh Jamil Bin Hassan sebagai Penerbit Eksekutif dan Ikha Arnisya sebagai Penerbit. Program ini, yang mengambil konsep dan format dari rancangan Korea Selatan, terus menjadi kegemaran penonton dengan gabungan hiburan yang melucukan, drama, dan teka-teki yang mencabar.

    Episod sebelumnya yang bertemakan Seram, bersempena dengan filem seram komedi terbaru arahan Dr. Ahmad Idham ‘Saka Perawan’, dipenuhi dengan keceriaan dan keseronokan. Namun, dalam keriuhan tersebut, Afieq Shazwan gagal mengenal pasti penyanyi sebenar akibat pandangan yang keliru daripada panel penyiasat tetap serta penyiasat jemputan, Nadia Brian dan Afifah Nasir.

     

     

     

    Pada episod ketiga ICSYVMY 7, pelakon dan penyanyi popular tanah air, Amy Mastura, tampil sebagai artis jemputan. Beliau akan mendapatkan nasihat daripada panel penyiasat untuk menyingkirkan penyamar bersuara sumbang. Dengan ketiadaan Naim Daniel, satu-satunya penyanyi dalam panel penyiasat tetap, adakah Amy Mastura mampu menggunakan pengalamannya sebagai penyanyi untuk memilih penyanyi yang betul?

    Jangan ketinggalan untuk menyiasat sambil berhibur bersama ICSYVMY7 yang akan ditayangkan setiap hari Ahad, pada pukul 9.00 malam di TV3. Penonton juga boleh menonton siaran langsung dalam HD menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store. Untuk memeriahkan lagi perbualan di media sosial, gunakan tanda pagar #ICSYVMY7.

     

  • ‘Kali Kedua’ Saiful Jaicob Masuk Carta Lagu Artis Sabah

    ‘Kali Kedua’ Saiful Jaicob Masuk Carta Lagu Artis Sabah

    Saiful Jaicob, atau nama sebenarnya Md Noor Saifullah, seorang penyanyi dan komposer dari Sabah, kini kembali ke industri muzik dengan single terbarunya berjudul “Kali Kedua.” Lagu ini merupakan ciptaan Saiful sendiri, dengan lirik oleh Kent, dan dirakamkan di Patauboys Home Studio, Sabah.

    Sebelumnya, Saiful Jaicob telah melancarkan beberapa single pada tahun 2014 dan mulai menjajaki dunia nyanyian setelah mengikuti program anjuran Luncai Emas pada tahun 2017 bersama beberapa komposer tempatan Sabah lainnya.

    Pada tahun 2024, Saiful Jaicob merakamkan lagu baru berjudul “Kali Kedua,” yang kemudian dipersetujui untuk diedarkan secara digital oleh Luncai Emas.

    Menurut Saiful, lagu ini mengisahkan ketegasan prinsip seorang yang pernah ditinggalkan dan kemudian dirujuk kembali tetapi menolak dengan sepenuh hati. Kisah pahit ditinggalkan telah meninggalkan kesan mendalam sehingga perasaan untuk membina semula cinta yang musnah telah hilang. Walaupun kadangkala terlintas untuk memberi peluang kedua, ia hanya dianggap sebagai khayalan semata-mata demi meneruskan hidup daripada diberi janji yang tidak pasti. Kesengsaraan yang dialami biarlah hanya sekali dan tidak berulang untuk kali kedua.

    Selain itu, single “Kali Kedua” telah berjaya menjadi pencalonan baru dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) pada 1 April 2024, dan kini telah memasuki minggu ke-13 serta menduduki tangga ke-2.

    “Kent yang hantar lagu ini pergi RTM Sabah, dan masuk dalam pencalonan baru. Akhirnya RTM Sabah hubungi saya selepas lagu ini lulus untuk siaran. Mungkin rezeki saya”. – jelas Saiful Jaicob.

    “Saya amat terpegun kerana lagu ini telah menduduki tangga ke-2 dan berharap ianya boleh bertahan hingga ke minggu akhir sekaligus menjuarai dalam Carta Lagu Artis Sabah 2024”. – ujar Saiful Jaicob lagi.

    Buat masa kini, Saiful Jaicob akan meriliskan single Kali Kedua di semua saluran digital mulai 5 Julai 2024 dan official audio di Youtube. Para peminat boleh membuat undian juga untuk lagu ini di ruangan Facebook Carta Lagu Artis Sabah.

    Semoga lagu ini berjaya memikat pendengar dan berkembang di seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia.

  • Album Kompilasi ‘ROCK NEVER DIES’ Bukti Keutuhan Jiwa Rock Tempatan

    Album Kompilasi ‘ROCK NEVER DIES’ Bukti Keutuhan Jiwa Rock Tempatan

    Sebanyak 20 lagu baharu daripada 20 band rock telah membuktikan semangat memperjuangkan genre muzik rock yang kukuh dalam jiwa setiap anggota band yang terlibat. Band-band tersebut termasuk MELISSABAND, ROOTS N BOOTS, LEMON T, THE ALIF FT MARIONEXXES, BAHTERA, MEDITASI, SONS OF ADAM, THE VOLTAGE, SENNA, X-TERNAL, ZUBIRA, KOROKODEL, CROSSOVER, BUMANTRA, THE FLOW, XNERGY, BURNTARA, EXIT, SPIT IT OUT TIME, dan MANUSIA.

    Menariknya, kesemua lagu baharu ini dimuatkan dalam kompilasi album “ROCK NEVER DIES” yang diterbitkan oleh FGI Entertainment dan dipromosikan oleh Melissa Record. Album ini telah berada di pasaran sejak awal Jun dan dijual oleh setiap band yang terlibat. Hingga kini, album ini telah melepasi sasaran cetakan awal, dengan hampir 800 keping CD (beserta pendrive) terjual!

    Sehubungan itu, satu majlis sidang media telah diadakan pada malam Ahad, 30 Jun 2024, untuk mengumumkan bahawa album “ROCK NEVER DIES” telah berada di tangan para peminat muzik rock tempatan. Majlis ini ditaja oleh Restoran Asam Pedas London, Bandar Baru Selayang, yang menyediakan lokasi dan hidangan. Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran vokalis band gergasi Wings, Dato Awie, yang bertindak sebagai perasmi acara, serta wakil pemimpin DUN Taman Templer Selayang yang sentiasa menyokong perkembangan seni hiburan yang sihat dalam masyarakat.

    Dalam ucapan perasmiannya, Dato Awie meluahkan rasa terharu dapat hadir dan menyokong perjuangan muzik “ROCK NEVER DIES”. Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana acara ini turut disertai oleh individu yang telah lama dalam industri muzik seperti Abg Lord dan lain-lain. Beliau juga bersyukur dapat merealisasikan impian sahabat lamanya, Ajak Melissa, yang tidak pernah berputus asa meneruskan perjuangan muzik bersama Melissa Band, meskipun sering dilanda pelbagai isu dan kontroversi. Sebelum mengakhiri ucapannya, Dato Awie sempat menasihati pelapis baharu agar sentiasa fokus kepada matlamat dalam bidang muzik dan “kena rajin prektis”.

    Majlis malam itu turut disertai semua anggota 20 band terlibat, termasuk dari negara jiran Singapura. Hampir 200 tetamu hadir termasuk jemputan khas dari kalangan pemain media selain pempengaruh media sosial yang sinonim dalam perjuangan muzik rock tanah air.

    Di majlis yang sama itu juga, turut diumumkan KONSERT ‘ROCK NEVERDIES’ bakal diadakan pada 10 Ogos 2024 bertempat di WARISAN HALL STUDIO. Tiket dijual pada harga RM50 setiap satu. Tempahan tiket sudah boleh dibuat menerusi band- band yang bakal beraksi di pentas konsert hari berkenaan.

  • Syazwan Shuhaimi Ungkap Kisah Di Sebalik Lagu Cinta Ke Syurga

    Syazwan Shuhaimi Ungkap Kisah Di Sebalik Lagu Cinta Ke Syurga

    Setelah lebih dari dua tahun, Syazwan Shuhaimi, artis yang kini bernaung di bawah label hiburan terkemuka negara, kembali tampil dengan single terbarunya yang berjudul “Cinta Ke Syurga”.

    Lagu ini merupakan hasil karya dari Aiman Sidek, diilhamkan oleh suasana majlis perkahwinan yang sering dihadiri oleh Syazwan. “Saya tergerak untuk mencipta satu lagu ‘wedding song’ yang sesuai dengan momen bahagia seperti ini,” jelasnya.

    Dalam lagu ini, Syazwan ingin merayakan kisah-kisah cinta orang ramai. “Saya yakin semua hubungan percintaan bermula dengan berbagai rintangan sebelum mencapai hari pernikahan. Kita harus merayakan kebahagiaan pasangan ini dan mendoakan agar hubungan mereka kekal bahagia hingga ke syurga,” katanya.

    Syazwan berkongsi pengalaman unik semasa proses penghasilan lagu ini, di mana kerjasama erat dengan Aiman Sidek, komposer lagu ini, sangat penting. “Saya mengakui, saya tidak sepenuhnya bersedia ketika memasuki sesi rakaman. Saya sempat melakukan satu latihan sebelum memasuki studio rakaman disebabkan kesibukan melancong ke luar negara. Namun, Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya sangat puas dengan hasil akhirnya,” ujarnya lega.

    Lagu “Cinta Ke Syurga” telah dilancarkan pada 28 Jun 2024 dan boleh dinikmati melalui pelbagai platform digital seperti iTunes, Apple Music, Deezer, KKbox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music. Video lirik rasmi lagu ini akan ditayangkan pada pukul 9 malam pada tarikh yang sama di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.

  • Lagu Adrianna Cinta “Semesta” Memiliki Versi Bahasa Melayu dan Mandarin

    Lagu Adrianna Cinta “Semesta” Memiliki Versi Bahasa Melayu dan Mandarin

    Label hiburan tanah air, Rocketfuel Entertainment dan Sony Music Malaysia berkolaborasi untuk mencipta runut bunyi untuk drama bersiri X-Changed, yang menampilkan Arfie Shah sebagai Khalif, Joey Long sebagai Lilian, Dato’ Rosyam Nor sebagai Yakob, dan Marisa Yasmin sebagai Mariam.

    Adrianna Cinta, seorang penyanyi muda yang semakin dikenali, baru-baru ini melancarkan single terbarunya yang berjudul “Semesta”. Lagu ini mengisahkan perjalanan seseorang yang sedang mencari dan mengenali dirinya sendiri, sambil menghadapi tekanan dan krisis dalam hidupnya.

    Adrianna menjelaskan, “Semesta bercerita tentang seseorang yang sedang berjuang dengan dirinya sendiri, sering merasa sedih dan menangis di waktu malam, dan berharap semuanya akan berakhir ketika pagi tiba. Dia berharap semesta akan memberinya petunjuk untuk melalui kehidupannya.”

    Adrianna turut mengungkapkan cabaran utama dalam penulisan lagu ini, yang melibatkan keputusan untuk menonjolkan kisah karakter utama dalam drama “X-Changed” yang sedang mengalami perjuangan dalam memahami dirinya sendiri, termasuk menghadapi masalah seperti kemurungan.

    Proses penulisan lagu “Semesta” berjalan dengan cepat, dengan Adrianna mengambil kesempatan untuk memuji bantuan Farouk Roman, komposer lagu ini. Dia mendedikasikan waktu 30 minit di studio untuk merakam lagu ini, menjadikannya salah satu proses rakaman paling cepat dalam karier nyanyiannya.

    Lebih istimewa lagi, runut bunyi untuk drama bersiri X-Changed ini bukan sahaja mempunyai versi Bahasa Melayu namun ianya turut mempunyai versi Bahasa Mandarin berjudul 迷雾 (Fog) yang dinyanyikan Joey Leong yang merupakan salah seorang pelakon untuk drama bersiri ini.

    Menurut Joey, cabaran utama dalam merakam lagu ini adalah bagaimana beliau mahu menyampaikan lagu ini dari wataknya sendiri, Lilian.

    “Saya perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan emosi yang betul sebagaimana saya gambarkan penceritaan lagu dan juga keseluruhan drama bersiri ini.”

    Joey juga menyatakan beliau hampir menitiskan air mata kerana lirik dan lagu tersebut sangat dekat dengan dirinya. Selain itu, beliau berasa sangat gembira kerana pihak produksi telah memilihnya untuk menyanyikan lagu ini.

    “Saya merasakan lagu ini sangat istimewa. Jadi, saya sangat-sangat berterima kasih kepada pihak produksi kerana memilih saya untuk menyanyikan lagu ini.” kata Joey.

    Sepanjang pembikinan lagu ini juga segala-galanya turut mudah dan kerjasama bersama Farouk Roman memudahkan lagi proses rakaman yang dilakukan dalam versi Mandarin.

    Untuk makluman, lagu Semesta & 迷雾 (Fog) bakal dilancarkan pada 28 Jun 2024 dan juga boleh dimuat turun melalui iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKbox, Spotify, YouTube dan YouTube Music pada hari yang sama. Manakala, lirik video Semesta dari Adrianna Cinta akan ditayangkan secara rasminya pada 28 Jun 2024 bermula jam 9 Malam pada saluran YouTube Adrianna Cinta Vevo dan Fog dari Joey Leong pada saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.