Petaling Jaya, 1 Mac 2025 – Menjadi seorang ibu adalah anugerah yang penuh dengan cabaran dan kegembiraan. Kini, penonton berpeluang menyelami kehidupan seorang ibu selebriti menerusi program istimewa, Oh Mummy!, yang menampilkan sisi peribadi Fasha Sandha bersama keluarganya. Program ini membawa penonton menyaksikan perjalanan harian Fasha sebagai ibu, dari tugasan biasa sehinggalah ke persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.
Dengan lima episod yang bakal bersiaran mulai 1 Mac 2025, setiap hari Sabtu jam 6.00 petang di TV3, Oh Mummy! juga boleh distrim secara langsung dalam kualiti HD melalui platform Tonton di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton yang tersedia di Google Play dan App Store.
Dalam program ini, peminat akan dapat melihat sendiri bagaimana Fasha mengimbangi kehidupan sebagai seorang ibu yang penyayang dan selebriti terkenal. Dari menghantar anak ke sekolah hingga merancang aktiviti hujung minggu, setiap episod dipenuhi dengan detik-detik istimewa dan penuh kasih sayang. Penonton turut berpeluang mengikuti perjalanan Fasha sekeluarga ke kampung halaman di Kangar untuk menghadiri kenduri keluarga yang sarat dengan nostalgia dan keakraban.
Menjelang Ramadan, suasana dalam rumah semakin meriah dengan pelbagai persiapan raya seperti membeli baju, membuat kuih, mengemas rumah, serta memasak hidangan istimewa seperti rendang. Setiap detik yang dikongsi dalam Oh Mummy! bukan sekadar hiburan, tetapi juga menggambarkan ikatan erat dalam keluarga serta kepentingan nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang kebahagiaan.
Raikan Ramadan dengan penuh kehangatan bersama Oh Mummy! – program yang menampilkan kasih sayang ibu dan anak, keceriaan keluarga, serta momen-momen indah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kehidupan sebenar seorang selebriti yang bergelar ibu, bersama keluarga tercinta yang menjadikan setiap momen lebih bermakna!
Converse Malaysia bakal mencipta sejarah pada 28 Februari dengan pelancaran Creative Exploration, sebuah inisiatif seni inovatif di bawah kempen LOVE, CHUCK. Pelancaran ini akan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar, Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri Malaysia, dalam satu majlis yang mempertemukan industri fesyen, seni dan pendidikan di Malaysia.
Bekerjasama dengan Balai Seni Negara serta institusi akademik UiTM dan MIA, Creative Exploration memberi peluang kepada pelajar seni untuk menghasilkan karya unik menggunakan kasut Chuck Taylor sebagai kanvas kreatif. Karya-karya terpilih akan dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara dari 28 Februari hingga 12 April, sebelum dibawa ke butik Converse terpilih di Lembah Klang.
Matlamat utama aktivasi ini adalah untuk merapatkan jurang antara jenama dan komuniti seni tempatan, membolehkan lebih ramai bakat muda mendapat pengiktirafan di peringkat nasional. Inisiatif ini juga memperkukuh reputasi Balai Seni Negara sebagai pusat pameran seni kontemporari yang strategik dan relevan dengan perkembangan industri kreatif global.
Ketua Pengajian Seni Reka UiTM, Dr. Shaliza Mohd Shariff menyatakan keterujaannya terhadap projek ini. “Creative Exploration bukan sekadar projek seni, tetapi peluang besar bagi pelajar kami untuk mengembangkan bakat mereka dalam industri fesyen dan seni komersil. Kami berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak pintu kepada generasi muda dalam industri kreatif.”
Selain membangunkan bakat muda, aktivasi ini turut menonjolkan UiTM dan MIA sebagai institusi pengajian tinggi yang progresif dalam melahirkan seniman profesional. Dengan penglibatan mereka dalam projek ini, ia membuktikan keupayaan mereka dalam menghubungkan pelajar dengan peluang industri yang sebenar.
Creative Exploration dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara jenama dan komuniti seni pada masa hadapan. Converse MY komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai entiti seni dalam memastikan platform kreatif ini berkembang dan memberi impak jangka panjang kepada industri seni tempatan.
Lagu Hening Rindu yang baru sahaja dinobatkan sebagai Juara Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) bukan sahaja mengejutkan ramai peminat, tetapi juga memberi kebanggaan kepada penyanyinya, Marsha Milan, serta komposer, Ikhwan Fattanna dan Wan Saleh. Kejayaan lagu ini adalah bukti nyata bahawa apabila ada kepercayaan dan kerjasama antara penyanyi dan komposer, hasil yang luar biasa dapat dicapai.
Ikhwan Fattanna, selaku komposer lagu Hening Rindu, berkongsi bahawa mereka tidak pernah meragui kemampuan Marsha, malah memberi kebebasan sepenuhnya kepada penyanyi tersebut. “Kami sangat yakin dengan kredibiliti Marsha dalam industri muzik Malaysia. Kepercayaan penuh diberikan kepada beliau, kerana kami tahu dia mampu memberikan yang terbaik,” kata Ikhwan.
Menurut Ikhwan, satu-satunya nasihat yang diberikan kepada Marsha adalah untuk memberi fokus kepada penghayatan emosi dalam lagu tersebut, dan bukannya terlalu mementingkan kekuatan vokal. “Lagu ini sangat bergantung pada elemen emosi, dan itulah yang perlu disampaikan oleh penyanyi. Saya yakin Marsha dapat melakukannya dengan sangat baik,” tambahnya.
Hening Rindu bukan sekadar sebuah lagu balada biasa, tetapi sebuah karya yang berjaya menyentuh perasaan pendengar dengan mendalam. Kejayaan lagu ini turut dibantu oleh pengaruh drama Aku Bukan Ustazah, yang menjadi runut bunyi rasmi bagi lagu tersebut. “Kekuatan drama dan lagu ini berjalan seiring, memperkukuhkan mesej yang ingin disampaikan. Lagu ini menggambarkan perasaan rindu dan kehilangan, satu tema yang sangat relevan dengan kehidupan ramai orang,” kata Ikhwan.
Ikhwan turut berkongsi bahawa lagu ini dicipta dengan melodi terlebih dahulu sebelum liriknya ditulis. “Perkataan ‘rindu’ datang secara semula jadi kerana ia mencerminkan perasaan yang sangat kuat dan menjadi inti pati lagu ini,” jelas Ikhwan. Lagu Hening Rindu bukan sahaja mengisahkan tema yang menyayat hati tetapi juga memberi harapan kepada mereka yang sedang berdepan dengan perasaan kehilangan.
Sementara itu, Marsha Milan, yang berjaya memberikan vokal penuh emosi dalam lagu ini, telah membuktikan mengapa dia dianggap sebagai salah seorang penyanyi terbaik di Malaysia. “Kerjasama dengan Ikhwan berjalan dengan sangat lancar. Ini kali pertama kami bekerjasama, dan hasilnya sangat memuaskan. Saya berasa sangat gembira kerana Ikhwan memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk menghidupkan lagu ini,” ujar Marsha.
Marsha juga menzahirkan rasa terima kasihnya kepada pihak Alternate Records & Talent kerana sentiasa memberi sokongan dalam setiap langkah kerjayanya. Beliau juga mendedahkan bahawa lebih banyak lagu dan album bakal dilancarkan dalam masa terdekat, serta perancangan untuk mengadakan konsert pada masa hadapan.
Untuk mengikuti perkembangan terkini Marsha, peminat boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Alternate Records & Talent di Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.
Keberhasilan Hening Rindu di AJL39 jelas menunjukkan betapa pentingnya kerjasama yang penuh kepercayaan antara komposer dan penyanyi, serta bagaimana sebuah lagu dapat menyentuh hati pendengar dengan penghayatan dan elemen emosi yang tepat.
Penyanyi popular Andi Bernadee kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan pelancaran lagu raya terbaharunya bertajuk “Inikan Hari Raya”. Ini merupakan karya sulung beliau bersama Universal Music Malaysia dan juga lagu Hari Raya pertama yang dinyanyikan secara solo.
Dengan gabungan elemen moden dan tradisional, lagu ini dijangka memberikan kelainan serta menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri dengan melodi yang segar dan irama yang rancak. Lagu ini dicipta oleh Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K, manakala liriknya turut mendapat sentuhan Andi sendiri bersama ketiga-tiga komposer berbakat tersebut.
Menurut Andi, proses rakaman lagu ini dilakukan dalam dua sesi bagi memastikan hasil yang terbaik. Pada sesi pertama, beliau merakamkan vokal utama sebagai demo untuk mendapatkan rasa dan emosi yang tepat sebelum berbincang lanjut bersama komposer mengenai susunan muzik, adunan serta kesesuaian lirik. Selepas segala keputusan dimuktamadkan, sesi rakaman kedua dijalankan untuk menghasilkan versi akhir lagu ini.
“Saya mahu semua pendengar bukan sahaja menikmati melodi lagu ini tetapi juga menghayati mesej yang disampaikan. Selain menceriakan suasana Hari Raya, lagu ini juga mengandungi unsur nasihat yang menggambarkan perjalanan sebuah keluarga pulang ke kampung serta pelbagai kisah yang berlaku dalam persiapan dan sambutan Aidilfitri,” ujar Andi.
Mengulas mengenai pengalaman bekerja dengan barisan komposer berbakat, Andi menyatakan bahawa beliau sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa sahaja. Baginya, kerjasama yang baik, pertukaran idea dan komunikasi yang lancar akan menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan bermakna.
Dengan pelancaran rasmi lagu “Inikan Hari Raya” pada 28 Februari 2025, para peminat boleh menikmatinya di semua platform digital. Andi berharap lagu ini akan membawa keceriaan kepada semua pendengar serta menjadi sebahagian daripada memori indah Aidilfitri tahun ini. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar dan menghayati lagu ini bagi menambah kemeriahan sambutan Hari Raya anda!
Setelah pentas finale yang memukau penonton, keseronokan dalam program Calpis Soda One in a Million (CSOIAM) terus berlanjutan melalui acara istimewa Malam Fizz & Chill. Acara ini memberikan kesempatan kepada peminat dan pihak media untuk meraikan empat finalis yang luar biasa, serta memberi mereka peluang untuk berinteraksi secara lebih rapat dengan artis kegemaran mereka. Bertempat di APW Bangsar, malam tersebut menampilkan Marygrace sebagai juara CSOIAM, bersama finalis berbakat lainnya – Kai Deva, Jimi, dan Zazzleen, dalam suasana penuh keterujaan dan kehangatan.
Dipandu dengan penuh keceriaan oleh Fiza Frizzy, pengacara yang enerjik dan sepadan dengan semangat Calpis Soda, acara tersebut memberi peluang eksklusif kepada lebih 120 peminat yang hadir untuk berinteraksi dengan para finalis. Malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu single terbaru yang dibawakan oleh Marygrace, Kai Deva, Jimi, dan Zazzleen. Semua yang hadir teruja dengan penampilan khas ini, yang menjadikan malam itu tidak hanya sebagai sesi ramah mesra tetapi juga satu pengalaman muzik yang tidak dapat dilupakan.
Santharuban Thurai Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Group of Companies, mengungkapkan bahawa Malam Fizz & Chill adalah penutup sempurna untuk musim pertama CSOIAM, di mana ia membuka peluang lebih dekat untuk peminat dan peserta bertemu. Menurut beliau, program ini tidak hanya berjaya dari segi tontonan, tetapi juga memberi impak yang besar terhadap industri muzik Malaysia. “Kami sangat gembira dengan sambutan luar biasa yang diterima. CSOIAM bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform untuk mengangkat bakat-bakat baru dan menginspirasi lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk mengejar impian dalam dunia muzik,” katanya.
Setelah lapan episod penuh emosi dan debaran, Marygrace akhirnya dinobatkan sebagai juara CSOIAM dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM1 juta. Hadiah tersebut termasuklah sebuah kereta PEUGEOT 408 GT bernilai RM195,000, wang tunai RM500,000, dan kontrak rakaman bersama Alternate Records. Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan bakatnya, tetapi juga menandakan bahawa dia adalah bintang yang sedang bersinar di industri muzik Malaysia.
Program CSOIAM tidak hanya popular di kaca televisyen, tetapi juga mencipta fenomena di media sosial. Dengan lebih 100 juta tontonan sepanjang musim ini dan hampir separuh daripadanya datang dari platform TikTok, program ini menjadi perbualan utama di kalangan peminat muzik Malaysia. Finale sahaja mencatatkan lebih 190,000 undian dan meraih lebih 4.5 juta penonton di TV, menjadikannya antara acara hiburan paling banyak ditonton pada tahun ini.
Walaupun pertandingan telah berakhir, perjalanan para finalis baru sahaja bermula. Program CSOIAM akan terus menyokong mereka dengan bimbingan dari pakar industri, kelas J-pop eksklusif, dan pendedahan kepada dunia muzik global. Mereka juga akan berkolaborasi dengan penyanyi Indonesia, Ade Govinda, dalam sebuah single dan muzik video, membuka langkah pertama mereka ke dunia muzik profesional.
Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., juga menyatakan bahawa program ini lebih daripada sekadar pencarian bakat, ianya adalah satu pergerakan yang menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik. “Kami berbangga dengan kejayaan CSOIAM dan akan terus memperkasa bakat-bakat muda dalam industri hiburan Malaysia,” ujarnya.
Dengan kejayaan yang cemerlang sepanjang musim pertama, CSOIAM telah mencipta sejarah dalam industri muzik Malaysia. Malam Fizz & Chill adalah penutup yang sempurna, dan kini para finalis, terutamanya Marygrace, sedang memulakan perjalanan baru mereka dalam industri muzik. Program ini telah membuktikan bahawa impian untuk berjaya dalam dunia seni dan muzik adalah sesuatu yang berbaloi untuk diperjuangkan, dan Calpis Soda terus menjadi pembawa harapan kepada bakat muda yang berani bermimpi.
28 Februari 2025, Kuala Lumpur – Menjelang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Gempak dengan bangganya mengumumkan kolaborasi bersama susu Goodday untuk mempersembahkan program realiti drama masakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertajuk Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton. Program inovatif ini akan menemui penonton di saluran Astro Ria setiap hari sepanjang Ramadan, bermula 1 Mac pada pukul 5.30 petang. Selain itu, penonton juga boleh menonton program ini melalui platform On Demand dan Astro GO.
Satu aspek menarik mengenai program ini adalah konsep ‘tengok hari ini dan esok boleh beli!’ yang membolehkan penonton membeli masakan yang disiarkan dalam program tersebut di gerai bazaar Ramadan yang terletak di Stadium Shah Alam. Bazaar ini akan berlangsung dari 2 Mac hingga 29 Mac, memberi peluang kepada penggemar masakan untuk menikmati hidangan yang mereka lihat di kaca televisyen.
Program ini menjanjikan pelbagai juadah popular yang sering dihidangkan sepanjang bulan Ramadan, termasuk nasi hujan panas, roti john, bread and butter pudding, kari ikan bawal, ayam percik, dan banyak lagi. Setiap resipi yang disediakan dalam program ini akan menggunakan susu Goodday sebagai salah satu ramuan utama, menjadikan setiap hidangan lebih kaya dengan rasa dan tekstur.
Di samping itu, bazaar Ramadan ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh semua pengunjung. Antaranya adalah ‘fortune wheel’, di mana pengunjung berpeluang untuk beramah mesra dengan selebriti dari program Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton, serta memenangi hadiah istimewa daripada Astro Shaw dan susu Goodday. Terdapat juga kemudahan kod QR yang boleh diimbas untuk mendapatkan resipi menu pada hari tersebut, menjadikan pengalaman pengunjung lebih interaktif dan menarik.
Program Dapur Goodday ini menampilkan watak-watak ikonik yang telah dikenali ramai dari drama Ramadan tahun lalu, Khun:sa. Antara watak utama yang kembali adalah Che Ton yang dilakonkan oleh Sherry Alhadad, Sarimah oleh Zarina Zainoordin, dan Tuyah lakonan Ezu Hashim. Dalam episod ini, Che Ton akan berkolaborasi dengan Sarimah dan Tuyah yang kembali ke bumi setelah diculik oleh UFO. Mereka kini diberikan satu misi oleh seorang lelaki misteri untuk melakukan kebaikan dalam tempoh 29 hari. Jika mereka berjaya menyelesaikan misi tersebut, mereka berpeluang untuk tinggal di bumi selama-lamanya.
Setiap episod juga akan menampilkan tetamu jemputan istimewa yang terdiri daripada watak-watak ikonik tanah air yang muncul dalam filem dan drama popular. Antara mereka adalah Zizan Razak dari Polis Evo, Datuk Rosyam Noor dari Kala Malam Bulan Mengambang, Scha Al-Yahya dari Awan Dania, Naim Daniel dari Project: High Council, Joey Daud dari Kampung Pisang Bersiri-Siri, dan Tony Eusoff dari P Ramlee.
Menurut Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad, program ini bukan sekadar sebuah program realiti drama masakan. Beliau menyatakan bahawa Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton merupakan sebuah inovasi dalam pengalaman kandungan yang menghubungkan dunia hiburan dengan realiti. “Buat pertama kalinya, penonton bukan hanya menonton kulinari dan belajar resipi di kaca televisyen, tetapi kita bawakan secara dekat kepada penonton untuk merasai sendiri hidangan yang disaksikan dengan membelinya di bazaar Ramadan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, barisan selebriti yang terlibat dalam program ini akan turut hadir di bazaar pada hujung minggu sepanjang Ramadan untuk beramah mesra dengan peminat dan pembeli. Ini membuka peluang baharu dalam industri kandungan, menggabungkan hiburan, pengalaman pengguna, dan nilai komersial yang lebih luas. “Kami rasa berbesar hati usaha ini mendapat kerjasama strategik susu Goodday dan mengharapkan dapat memberi nilai tambah baru kepada kandungan tanah air serta pengalaman baru kepada penonton,” katanya.
Dengan semua elemen menarik yang ditawarkan dalam program ini, Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton dijangka akan menjadi salah satu program masakan yang paling dinantikan sepanjang Ramadan ini. Saksikan program ini di saluran Astro Ria setiap hari mulai 1 Mac, 5.30 petang, dan jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan-hidangan lazat yang diperkenalkan dalam program ini!
Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) menjadi bukti terbaru keunggulan muzik Malaysia, di mana dua bintang Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera, menyaksikan kehebatan persembahan mereka yang memukau hati peminat muzik tempatan. Malam penuh magis ini menyaksikan kedua-dua artis bukan sahaja mempamerkan bakat luar biasa mereka, tetapi juga menyentuh emosi penonton di seluruh Malaysia.
Dalam persediaan menjelang AJL39, Hael Husaini menerima kejutan yang sangat bermakna – sebuah mikrofon kristal Swarovski berwarna hijau, hadiah daripada seseorang yang amat penting dalam hidupnya. Kejutan ini menyempurnakan busana rekaan Rizman Ruzaini yang dipakai Hael, memberikan sentuhan peribadi yang mendalam untuk persembahannya. Sementara itu, bagi Nadeera, detik yang paling menyentuh hati datang ketika dia mendengar lagu “Bukan Lagi Kita” berkumandang di Axiata Arena. Air mata kegembiraan mengalir di wajahnya, menandakan betapa pentingnya perjalanan ini baginya setelah bertahun-tahun berusaha mencapai impian untuk berdiri di pentas berprestij seperti AJL.
Di karpet merah, Nadeera tampil mempesona dengan gaun merah rekaan Farrarahim Atelier, dipadankan dengan barang kemas eksklusif bernilai RM2 juta dari jenama Ceres Jewels. Penampilannya yang elegan melengkapi statusnya sebagai seorang bintang. Hael Husaini juga tidak kurang hebat, dengan tajaannya dari jenama terkenal antarabangsa, Dolce & Gabbana, menambah lagi pesona dirinya sebagai artis utama. Penampilan luar biasa mereka digabungkan dengan latihan vokal yang intensif di bawah bimbingan vokalis terkenal, Dato’ Syafinaz Selamat, memastikan mereka memberikan persembahan yang luar biasa.
Pada malam AJL39, persembahan kedua-dua bintang ini bukan hanya tentang nyanyian, tetapi juga tentang penceritaan yang penuh emosi. Nadeera yang mengenakan persalinan putih daripada Haute Couture by Rizalman Ibrahim sepatutnya menyampaikan gimik ‘flying veil’ yang dijangka akan mencuri perhatian. Namun, masalah teknikal menyebabkan perubahan dilakukan pada saat akhir dan digantikan dengan ‘The Fallen Veil’. Walaupun begitu, Nadeera berjaya menguasai pentas dengan penuh keyakinan dan memukau penonton, berjaya meraih standing ovation. Persembahan ini menunjukkan betapa dalamnya penghayatan Nadeera terhadap lagu “Bukan Lagi Kita” yang begitu menyentuh jiwa.
Sementara itu, Hael Husaini pula mengalami insiden kecil apabila terjatuh di atas pentas ketika menyanyikan lagu “Diam”. Namun, dengan semangat juang yang tinggi, Hael bangkit dan meneruskan persembahannya tanpa henti. “The show must go on,” katanya, membuktikan dedikasi dan komitmennya sebagai seorang penghibur sejati. Reaksi Hael yang mengalirkan air mata ketika menyaksikan persembahan Nadeera turut mencuri perhatian, mencetuskan perbualan hangat di media sosial mengenai hubungan erat dan sokongan antara mereka.
Rocketfuel Entertainment merakamkan rasa bangga atas pencapaian kedua-dua artis ini. Hael Husaini, bekas juara AJL, sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam dunia muzik, terutamanya sebagai seorang komposer. Lagu ciptaannya, “Bukan Lagi Kita”, telah dinobatkan sebagai salah satu lagu terbaik tahun ini. Nadeera, yang telah bertahun-tahun berjuang untuk mendapatkan tempat di pentas AJL, akhirnya berjaya menempatkan diri di posisi naib juara AJL39 – pencapaian yang amat membanggakan.
Menurut Hael, “Alhamdulillah, Nadeera berkongsi rezeki yang sangat besar dengan saya. Saya doakan yang terbaik buat Nadeera. Semoga dia setaraf dengan artis-artis lain yang pernah berdiri di pentas AJL.”
Nadeera pula berkata, “Dapat masuk ke final AJL ini sudah menjadi satu kemenangan besar untuk saya. Dan mendapat tempat naib juara ini adalah rezeki yang sangat besar dan berharga buat saya.”
Kejayaan di AJL39 bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan untuk Hael dan Nadeera dalam dunia seni. Rocketfuel Entertainment sudah merancang lebih banyak projek menarik untuk kedua-dua artis ini dalam masa terdekat. Peminat tentu tidak sabar untuk menyaksikan karya-karya baru yang bakal mereka tampilkan, dan AJL39 hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang dalam industri muzik Malaysia.
Dengan sokongan penuh daripada Rocketfuel Entertainment dan kesungguhan Hael serta Nadeera, mereka semakin dekat dengan puncak kejayaan. Kekuatan persembahan dan hubungan erat antara dua bintang ini membuktikan bahawa impian dan dedikasi mampu mencipta kejayaan yang luar biasa.
Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) mengakhiri musim pertamanya dengan satu acara yang benar-benar memukau, mengubahnya daripada sebuah pertandingan nyanyian kepada satu fenomena besar yang mendominasi dunia hiburan Malaysia. Pada malam 14 Februari 2025, Listening Party & Meet & Greet yang diadakan di APW Bangsar menjadi penutup yang sempurna untuk perjalanan CSOIAM, dengan para finalis berpeluang berinteraksi secara eksklusif dengan peminat dan keluarga mereka.
Acara yang dimulakan pada jam 8.30 malam itu menawarkan lebih daripada sekadar sekumpulan peminat bertemu bintang kegemaran mereka. Ia adalah malam penuh emosi, di mana peminat dapat mendengar showcase eksklusif finalis, berkongsi kenangan, bergambar bersama, serta berbual mesra. Ini adalah tanda penghargaan kepada setiap individu yang telah menyokong sepanjang perjalanan CSOIAM. Dalam suasana yang santai tetapi penuh dengan penghargaan, acara ini menandakan akhir perjalanan CSOIAM tetapi juga merupakan permulaan baru untuk bintang-bintang yang telah bersinar terang.
Setelah lapan minggu bersiaran, CSOIAM telah mencatatkan pencapaian luar biasa dengan 4.5 juta tontonan TV dan 2 bilion penonton mingguan di media sosial. Tidak hanya dominasi di TV, CSOIAM telah membuat kejutan besar dalam platform digital, dengan 100 juta tontonan sosial, dan TikTok menyumbang hampir 50% daripada jumlah tontonan tersebut. Ini membuktikan program ini begitu diterima oleh Generasi Z, dengan peningkatan sebanyak 30% dalam tontonan digital menjelang minggu akhir.
Keputusan pada malam finale menyaksikan MaryGrace dinobatkan sebagai juara, setelah mengalahkan Kai Deva, Jimi, dan Zazzleen dalam satu pertandingan vokal yang menakjubkan. Pemilihan pemenang ini bukan sahaja mencerminkan bakat luar biasa para finalis, tetapi juga sambutan hebat daripada penonton, yang mengundi secara aktif dengan 190,000 undian pada malam tersebut.
Program ini bukan hanya menampilkan bakat-bakat luar biasa, tetapi juga menyemarakkan perkembangan bakat dengan Mentorship Bootcamp, yang memberi peluang kepada para peserta untuk dilatih oleh pakar industri dalam aspek vokal, penjenamaan diri, dan kawalan pentas. Mereka juga menerima latihan bertaraf antarabangsa, termasuk peluang berkolaborasi dengan artis ternama seperti Ade Govinda. Setiap finalis mempunyai peluang untuk merakamkan single eksklusif dan muzik video profesional.
Dengan kejayaan CSOIAM yang besar ini, Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, mengucapkan rasa bangga dan terima kasih atas kejayaan yang dicapai. “Calpis Soda One In A Million bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform yang menginspirasi. Kami sangat berterima kasih kepada peminat dan semua yang terlibat. Impak dari musim ini akan terus dirasai, mencipta artis-artis baharu yang akan terus mewarnai industri muzik negara.”
Sebagai penutup, CSOIAM tidak hanya mencipta bintang baru, tetapi turut mendefinisikan semula cara muzik dan hiburan disampaikan di Malaysia. Dengan kesan yang mendalam di TV, media sosial, dan platform digital, CSOIAM pastinya akan dikenang sebagai salah satu program hiburan paling berpengaruh di tanah air. Kejayaan ini menandakan babak baru yang penuh kemungkinan, di mana sejuta soda, satu juara terus menjadi simbol semangat CSOIAM yang tidak akan pudar dalam ingatan peminat Malaysia.
Astro Shaw mengejutkan peminat filem tempatan dengan pengumuman filem terbaru mereka berjudul Wantugo, yang merupakan filem pertama di Malaysia mengangkat genre ‘Battle Royale’. Dijadualkan menemui penonton penghujung tahun ini, Wantugo bukan sekadar filem aksi biasa – ia membawa penonton menyelami kisah survival, moral, dan dilema psikologi yang sukar dilupakan. Barisan pelakonnya pula menampilkan nama-nama besar seperti Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Elizabeth Tan, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Nia Atasha, Yusof Hashim, dan Arfie Shah.
Di sebalik tabir filem ini, berdirilah Nurhanisham Muhammad atau Labu sebagai pengarah, yang sebelum ini pernah mengarahkan drama premium X-Change. Skripnya pula hasil nukilan Ashraf Modee Zain, seorang penulis skrip yang tidak asing dalam dunia hiburan tempatan. Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw dan penerbit eksekutif Wantugo, mengakui filem ini merupakan usaha berani untuk membawakan pengalaman sinematik berbeza kepada penonton.
“Kami mahu penonton merasai debaran sebenar – seolah-olah mereka turut terperangkap dalam permainan itu,” kata Raja Jastina sambil tersenyum. Memang benar, Wantugo bukan sahaja menguji watak-wataknya tetapi turut mencabar penonton berfikir: “Apa yang saya akan lakukan jika berada di tempat mereka?”
Filem ini berkisar tentang Zak dan kumpulan rakan karibnya, ‘The Clique’, yang pada awalnya hanya mahu berseronok di sebuah taman tema terbiar. Namun, kegembiraan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka dipaksa menyertai permainan maut dikendalikan oleh seorang ‘Game Master’. Setiap pusingan permainan bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi turut menggugat kepercayaan dan persahabatan mereka.
Labu berkongsi bahawa penggambaran filem ini merupakan pengalaman yang mencabar namun sangat berbaloi. “Kami mahu adegan-adegan berbahaya kelihatan nyata, jadi banyak babak dilakukan tanpa kesan khas berlebihan. Pelakon-pelakon turut menjalani latihan intensif sebelum penggambaran bermula,” katanya. Hasilnya, penonton bakal disajikan dengan aksi mendebarkan yang kelihatan sangat autentik.
Zul Ariffin, yang memegang watak utama sebagai Zak, menyifatkan watak ini antara yang paling kompleks dalam kariernya. “Zak seorang yang kelihatan tenang, tapi dalam dirinya ada pergolakan besar. Ada babak yang buat saya terfikir lama – ‘Kalau aku betul-betul dalam situasi ini, apa aku akan buat?’” ujarnya. Daiyan Trisha pula mendedahkan dia perlu mengatasi ketakutannya terhadap ketinggian demi menjayakan beberapa babak aksi.
Menariknya, Wantugo tidak berhenti sekadar di layar pawagam. Astro Shaw merancang untuk membawa pengalaman filem ini lebih dekat kepada penonton dengan pelbagai inisiatif interaktif. Penonton berpeluang menyertai cabaran-cabaran seperti dalam filem ini, menjadikan pengalaman menonton lebih mendalam dan menyeronokkan.
“Kami mahu penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut merasai apa yang dialami watak-watak dalam Wantugo. Harapnya ini akan mencipta kenangan yang sukar dilupakan,” tambah Raja Jastina. Dengan sinematografi yang memukau dan penceritaan yang penuh emosi, filem ini dijangka menjadi bualan hangat di kalangan peminat filem tempatan.
Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan filem ini, Astro Shaw menyediakan pelbagai kandungan menarik di media sosial. Gunakan hashtag #Wantugo di platform seperti Facebook, Instagram, X, dan TikTok untuk berhubung dengan peminat lain serta mendapatkan berita terkini.
Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman menonton Wantugo, filem yang menjanjikan aksi mendebarkan dan kisah yang menyentuh hati. Siapakah yang akan bertahan hingga ke akhir? Segalanya terjawab di pawagam hujung tahun ini.
Peminat muzik tanah air sekali lagi diberi peluang untuk menikmati satu konsert yang penuh dengan keajaiban dan emosi. Dato’ Jamal Abdillah, dengan karismanya yang tidak pernah pudar, menghidupkan kenangan indah melalui konsert “Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura” yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur. Malam tersebut bukan hanya satu persembahan, tetapi sebuah perjalanan mendalam yang membawa penonton menelusuri sejarah muzik beliau dan cinta sejati yang tidak akan pudar.
Tirai konsert dibuka dengan penuh keanggunan apabila Dato’ Jamal membawakan lagu klasik “Kau Lupa Janji”. Seakan-akan membawa peminat kembali ke era kegemilangan beliau, suaranya yang masih padu dan merdu memikat hati para penonton. Mengikuti lagu tersebut, beliau terus menyanyikan “Kekasih Awal Dan Akhir”, sebuah lagu yang telah menjadi simbol cinta yang mendalam dalam kalangan pasangan di Malaysia.
Kehangatan konsert berterusan apabila Dato’ Jamal menyanyikan “Perjalananku”, sebuah lagu yang penuh makna mengenai kehidupan dan perjalanan seni yang penuh cabaran. Tidak lama kemudian, beliau mempersembahkan “Gadis Melayu”, sebuah karya yang meraikan kecantikan dan kelembutan wanita Melayu, yang diiringi sorakan gemuruh dari penonton.
Salah satu momen yang sangat berkesan malam itu adalah medley khas yang menyatukan empat lagu legendarisnya – “Nasib Diriku”, “Ke Mana Ku Bawa”, “Sendiri”, dan “Cenderawasih”. Melodi dan lirik yang disampaikan dengan penuh penghayatan menggamit nostalgia dan memperlihatkan kedalaman karya seni beliau yang kekal abadi hingga kini.
Namun, kehangatan konsert ini semakin terasa apabila Osama Yamani, anak kepada Dato’ Jamal, tampil memberikan persembahan dengan lagu terbaru beliau, “Bunga Seroja”. Dengan suara merdu dan penghayatan yang mendalam, Osama memberikan kesegaran baru dalam konsert ini, memperlihatkan bakat yang diwarisi dari bapanya. Detik ini menjadi antara yang paling dikenang oleh peminat yang hadir.
Memasuki segmen kedua, Dato’ Jamal kembali ke pentas dengan lagu yang amat bermakna, “Takdir Penentu Segala”. Lagu ini membawa elemen emosi yang mendalam dan menunjukkan kedalaman pemikiran beliau dalam menghadapi kehidupan yang penuh cabaran. Setiap lagu yang disampaikan menambahkan lagi kekuatan konsert ini, dan sorakan penonton semakin memuncak apabila beliau menyanyikan “Penghujung Rindu”, sebuah lagu yang penuh dengan melodi sedih dan kisah cinta yang terputus di tengah jalan.
Kemuncak yang paling menggembirakan ialah ketika Wany Hasrita muncul di atas pentas untuk berduet bersama Dato’ Jamal dalam lagu malar segar, “Sandarkan Pada Kenangan”. Gabungan suara mereka yang begitu serasi menghidupkan semula lagu ini dengan penuh makna, membuatkan penonton turut menyanyi bersama dalam suasana penuh keharuan.
Konsert diteruskan dengan “Aku Penghibur”, yang menggambarkan dedikasi beliau sebagai seorang seniman yang setia menghiburkan peminat-peminatnya. Lagu tersebut menjadi simbol perjuangan seorang penghibur yang tidak pernah lelah memberikan hiburan kepada dunia. Diikuti dengan “Aku (OST)”, yang menambahkan elemen dramatik dalam keseluruhan persembahan malam tersebut.
Tetapi detik yang paling menyentuh hati sepanjang malam itu berlaku ketika Dato’ Jamal menyanyikan lagu “Azura”. Ketika itu, beliau menjemput anak perempuannya, Nor Azura Yamani, untuk naik ke pentas bersamanya. Saat itu, “Mencari Azura” bukan hanya merujuk kepada lagu, tetapi juga mencerminkan pencarian kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya. Suasana penuh emosi dan keakraban di antara bapa dan anak ini membuatkan penonton turut terharu.
Sebagai penutup, Dato’ Jamal mempersembahkan “Seniman Menangis”, sebuah lagu yang mencerminkan perjalanan seorang penghibur sepanjang karier seni. Malam itu ditutup dengan detik yang amat berharga apabila kesemua anak-anak beliau muncul di atas pentas. Zaky Yamani, Nor Azura Yamani, El Zack Yamani, Ryan Iskandar Yamani, Laura Salsabila Yamani, dan Magdalena Yamani bersama-sama dengan Dato’ Jamal, memberi isyarat bahawa warisan seni beliau akan terus berkembang dalam keluarga ini.
Malam tersebut, bukan hanya satu persembahan yang berlangsung, tetapi sebuah perjalanan emosi yang akan terus dikenang sepanjang hayat oleh setiap jiwa yang hadir.