
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2026 – Selepas mencipta fenomena sebagai pertunjukan fesyen kucing pertama di Malaysia, Cat Fashion Week (CFW) kembali untuk musim terbaharu dengan pengisian yang lebih meriah, kreatif dan menghiburkan. Menerusi Uji Bakat Online Cat Fashion Week, TV3 membuka peluang kepada pencinta kucing di seluruh negara untuk menampilkan keunikan serta personaliti si bulus kesayangan mereka, sekali gus merebut peluang beraksi di pentas Finale CFW.
Bermula 20 Julai hingga 15 Ogos 2026, pemilik kucing hanya perlu menghasilkan video berdurasi satu minit yang memaparkan haiwan peliharaan mereka dalam gaya paling bergaya dan kreatif. Penyertaan boleh dihantar menerusi e-mel kepada contest@tv3.com.my atau dimuat naik ke media sosial dengan menggunakan tanda pagar #CatFashionWeekTV3 sepanjang tempoh pertandingan.
Meneruskan kejayaan musim terdahulu, CFW sekali lagi mencari si bulus paling ‘slay’ di Malaysia dengan penilaian yang bukan hanya tertumpu kepada penampilan. Program ini turut mengambil kira karisma, personaliti dan keserasian antara kucing dengan pemiliknya, menjadikan CFW sebuah pertandingan yang meraikan hubungan istimewa antara manusia dan haiwan peliharaan menerusi gabungan fesyen, hiburan dan kreativiti.
Daripada keseluruhan penyertaan, sebanyak 30 kucing terbaik akan dipilih untuk menyertai sesi rakaman separuh akhir sebelum enam finalis terbaik dipilih untuk melangkah ke pentas Finale Cat Fashion Week. Pemilihan akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria, termasuk baka, gaya catwalk, keadaan fizikal dan penjagaan, keserasian antara pemilik dan kucing serta kreativiti yang ditampilkan.
Enam finalis yang terpilih bukan sahaja bakal berentap pada malam kemuncak, malah akan mengikuti siri kandungan eksklusif yang merakamkan perjalanan mereka menuju pentas akhir. Finale Cat Fashion Week dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2026, dengan pertunjukan penuh warna-warni, aksi lincah si bulus, persembahan istimewa dan pelbagai momen menghiburkan sebelum juara CFW dinobatkan.
Bagi pemilik yang merasakan kucing kesayangan mereka mempunyai personaliti memikat, gaya tersendiri dan keyakinan untuk beraksi di pentas peragaan, Uji Bakat Online Cat Fashion Week merupakan peluang untuk mengetengahkan keistimewaan si bulus kepada seluruh Malaysia. Program ini sekali gus membuka ruang kepada pencinta kucing untuk meraikan bakat, kreativiti dan ikatan bersama haiwan peliharaan dalam suasana yang menyeronokkan untuk seisi keluarga.
Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Cat Fashion Week dan program-program TV3, orang ramai boleh mengikuti laman sosial rasmi @TV3Malaysia di Facebook, X, YouTube dan Instagram.