Astro Shaw Perluas Semesta Sinematik Dengan “Kitab Kataha”

Astro Shaw terus memperkukuhkan dunia sinematik mereka denagan melancarkan Astro Shaw Cinematic Universe: Kitab Kataha, iaitu sebuah video baharu yang tampil dengan pelbagai elemen misteri dan petunjuk tersembunyi untuk peminat ASCU.

Sebelum ini, ASCU: The Beginning berjaya mencetuskan fenomena apabila menghubungkan beberapa karakter popular dalam satu semesta yang sama. Kini, Kitab Kataha hadir bukan sebagai sambungan cerita, tetapi sebagai pembayang kepada konflik dan dimensi lain yang bakal diterokai dalam ASCU.

Video berdurasi hampir dua minit itu membawa penonton menelusuri perjalanan seorang karakter misteri, selain memaparkan sebuah kitab dengan simbol segitiga yang dipercayai mempunyai kaitan besar dengan dunia ASCU. Kemunculan elemen tersebut segera mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

Projek ini diarahkan oleh Mshaffuan dan Sofyank, dua nama yang cukup dikenali dalam dunia kandungan digital dan VFX, manakala sinematografinya dikendalikan Nicholas Chin, penerima Anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34.

Bagi mengukuhkan lagi pengalaman peminat, Astro Shaw bersama Kopi WONDA turut memperkenalkan Spill The Beans (STB), sebuah platform kandungan digital yang menghimpunkan teori, petunjuk dan “easter eggs” berkaitan ASCU melalui karakter Wan Daud.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sambutan luar biasa terhadap video ASCU terdahulu membuktikan penonton kini lebih gemar menjadi sebahagian daripada perjalanan penceritaan dengan menganalisis setiap petunjuk yang diberikan.

Pelancaran ASCU: Kitab Kataha di Immersify Kuala Lumpur juga membuka ruang kepada pengalaman hiburan lebih imersif yang bakal diperluaskan menerusi filem-filem Astro Shaw akan datang seperti Malam Terlarang, Keluang Man dan Polis Evo.