Festival Budaya AKAR//NEXT 2026 Tarik Lebih 50,000 Pengunjung ke Pasar Seni
Penganjuran festival budaya kontemporari AKAR//NEXT 2026 di Pasar Seni berjaya mencipta impak besar apabila merekodkan lebih 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara dari 30 Oktober hingga 1 November 2026. Diterajui oleh Goodseed Event dengan sokongan Hotlink sebagai penaja utama, festival bertemakan “One Root. Infinite Futures.” ini mempertemukan 160 vendor tempatan dan 23 persembahan seni dalam satu lokasi bersejarah.

23 Persembahan Muzik Kontemporari dan Seni Warisan di AKAR//NEXT 2026
Berlangsung meriah di ruang dalaman Pasar Seni, kawasan parkir serta Benteng Pasar Seni, festival ini menjadi magnet kepada golongan Gen Z, pencinta seni serta keluarga. Pengisian 23 persembahan dari siang hingga ke malam menampilkan eksplorasi muzik segar seperti adunan Afrobeat bersama irama Nusantara, muzik elektronik serta gabungan Gambus dan Tabla klasik dengan elemen moden oleh barisan artis termasuk D’Pujangga, Satwo, Aliff dan OUG.


Warisan budaya terus diraikan secara inklusif menerusi persembahan Gamelan, Cak Lempong, Ghazal, Teater Randai, Dikir Barat dan tarian tradisional. Pada masa yang sama, pengunjung seisi keluarga turut meluangkan masa di sudut melukis kanak-kanak serta bermain permainan rakyat tradisional seperti batu seremban dan congkak.

160 Vendor Tempatan Perkukuh Ekonomi Kreatif Sepanjang AKAR//NEXT 2026
Kehadiran 160 vendor pula membuka ruang luas buat usahawan makanan dan jenama gaya hidup tempatan menjana pendapatan. Pelbagai hidangan mengenyangkan dan kudapan seperti Beriani Johor, Tahu Begedil, Takoyaki, Tahu Crispy, Popiah Fusion, makanan tradisional Sabah, aneka kek, biskut, coklat, strawberi, matcha dan kopi menjadi tumpuan ramai. Turut mencuri perhatian ialah jualan pakaian, minyak wangi, beg tangan, kasut serta aksesori tempatan yang membuktikan potensi besar industri kreatif tanah air.












