Selepas tiga tahun memfokuskan masa di dalam studio, Chubb-E kembali menyapa pendengar melalui single baharu “Tetap Di Sini” yang menemui peminat pada 23 Oktober 2026 terbitan 1711 Music. Lagu yang ditulis, digubah dan diterbitkan sendiri oleh Chubb-E, ini mengangkat tema cinta yang lebih luas bahawa mencintai seseorang tidak semestinya bermaksud memiliki mereka selamanya.

Menurut Chubb-E, idea lagu ini tercetus daripada pemerhatian beliau terhadap masyarakat moden serta pengalaman sendiri yang melihat ramai individu sukar melepaskan apabila hubungan sudah tidak sehaluan. Beliau menegaskan bahawa mencintai dengan tulus bermaksud menghormati impian dan perjalanan hidup insan lain serta menerima ketentuan apabila jodoh tidak tertulis.
Judul “Tetap Di Sini”, jelas Chubb-E tidak membawa maksud seseorang terperangkap menunggu bekas kekasih kembali, melainkan merujuk kepada segala kenangan, detik indah dan perasaan yang tetap hidup dalam ingatan walaupun perpisahan telah berlaku. Kejujuran emosi menjadi prinsip utama beliau dalam berkarya kerana enggan menulis tentang sesuatu yang tidak benar-benar dirasai dan difahami jiwanya.
Walaupun sarat dengan emosi sedih dan romantis, Chubb-E mengekalkan gaya hip hop dan rap miliknya dengan memasukkan elemen groove serta swag ke dalam balutan pop balada, mengekalkan signatur bittersweet seperti dalam lagu Biru Malam dan Tiada Noktah. Respon awal terhadap “Tetap Di Sini” amat positif, terutama daripada pendengar lelaki yang terkesan dengan mesej perjuangan cinta dalam video muziknya.
Chubb-E turut berkongsi bahawa seorang rakan pelakon terkenal menitiskan air mata ketika menonton draf awal video muzik tersebut sebelum sempat sampai ke babak kejutan di akhir cerita. Beliau menjelaskan bahawa sepanjang tiga tahun lalu, beliau aktif menimba ilmu, bereksperimentasi dan menyiapkan puluhan lagu untuk fasa seterusnya termasuk EP, album serta projek kolaborasi dua rakan tahun depan. Kini, “Tetap Di Sini” sudah pun memasuki playlist Spotify seperti Carta Malaysia 50, Made in Malaysia, Pop Terkini, New Music Friday Malaysia dan New Music Friday Singapore sementara video muziknya boleh ditonton di YouTube Seventeen Eleven Music.
Chubb-E – Tetap Di Sini (Official Music Video): https://youtu.be/1ORiPqzoAXQ?si=HWmGmO0Vp8xTxC0x













