MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Langkah Jauh ke Hadapan: Bateriku Buka Pitstop di Destinasi Pelancongan Utama Negara

Sektor pelancongan di Pulau Langkawi terus menerima sokongan strategik apabila syarikat penyedia ekosistem bantuan kenderaan terkemuka, Bateriku, secara rasmi merasmikan cawangan baharu mereka, Pitstop Cenang, bertempat di Park N Ride Cenang. Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Tuan Nasrun bin Dato’ Mohd Sheriff, turut dimeriahkan dengan kehadiran komuniti setempat termasuk pengusaha kereta sewa, pekerja gig, serta wakil perniagaan. Langkah pembukaan cawangan ini amat bertepatan dengan sasaran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang menyasarkan kedatangan seramai 3.65 juta pelawat menjelang tahun 2026 bagi memperkukuh status pulau peranginan itu di persada antarabangsa.

Beroperasi setiap hari dari pukul 7.00 pagi hingga 11.59 malam, Pitstop Cenang menawarkan pelbagai perkhidmatan penting termasuk penggantian dan jump-start bateri, tunda kenderaan, penghantaran minyak kecemasan, bantuan tayar pancit, serta khidmat tukang kunci. Kemudahan sokongan ini menjadi tunjang penting dalam memastikan kelancaran mobiliti pelancong domestik mahupun antarabangsa yang kerap bergerak merentasi pelbagai tarikan ikonik di seluruh pulau. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, En. Azarol Faizi, kemudahan akses bantuan tepi jalan yang pantas dan boleh dipercayai ini mampu memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna jalan raya dalam menikmati pengalaman percutian yang lebih selamat.

Perluasan rangkaian ke Langkawi ini sekali gus memperkukuh peranan Bateriku yang kini mengendalikan lebih 260 cawangan di seluruh negara serta menyokong ekosistem pelancongan nasional, termasuk kerjasama terdahulu sebagai rakan rasmi bagi Visit Selangor 2026. Di samping menyediakan perkhidmatan automotif yang cekap, Bateriku turut komited mengamalkan elemen kelestarian Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) melalui inisiatif pelupusan bateri terpakai beretika serta memperkasakan ekonomi perkongsian komuniti tempatan.