Menjulang 35 trofi dalam tempoh 13 tahun serta menduduki ranking No.1 di Asia Tenggara sememangnya satu pencapaian luar biasa. Namun bagi Johor Darul Ta’zim FC (JDT), kejayaan di padang perlu seiring dengan pembangunan model perniagaan dan penjenamaan global yang kukuh. Langkah terbaharu kelab menerusi pelancaran platform penstriman JDT+ dan filem dokumentari “UNTAME“ membuktikan visi jauh pengurusan kelab ini.
JDT+ diperkenalkan sebagai platform penstriman eksklusif kelab yang menghimpunkan siri original dan kandungan premium bermutu tinggi. Membawa mandat sebagai “The Home of JDT Originals”, platform ini bukan sekadar alat hiburan penyokong, tetapi aset komersial strategik untuk mengkomersialkan nilai jenama Southern Tigers ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia menegaskan bahawa dalam bola sepak moden, struktur organisasi, budaya profesional, dan keupayaan mengekalkan standard tinggi adalah penentu utama kejayaan jangka panjang sesebuah kelab berprestasi tinggi.
“UNTAMED memberi gambaran jelas tentang visi, keputusan penting, dan cabaran di sebalik tabir pembinaan empayar JDT. Menerusi JDT+, kami membawakan pendekatan yang sama ke arena digital untuk memperkukuh kedudukan JDT sebagai jenama sukan global,” katanya.
Dokumentari sulung berdurasi 76 minit ini menampilkan pengkisahan mendalam daripada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sekaligus pemilik JDT, di samping barisan pengurusan kanan seperti Alistair Edwards dan Kevin Ramalingam, serta pemain tonggak pasukan.
Peminat korporat, penyokong setia, dan pemerhati industri boleh mendapatkan akses penuh ke platform ini menerusi langganan Season Pass berharga RM69 bagi musim 2026/27 di www.jdtplus.com. Pelanggan juga bakal menikmati pelbagai kandungan eksklusif lain termasuk siri OUTBOUND yang menyusul tidak lama lagi.









