
Aura diraja benar-benar membawa tuah buat Muhammad Aidil Luqman Hakim dan si bulus kesayangannya, Sashimi, apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan Purina Felix Cat Fashion Week, sekali gus membawa pulang gelaran “Super Meow-del” berserta trofi dan wang tunai RM5,000. Menerusi persembahan bertemakan “The Royal Golden Renaissance”, pasangan duo ini memukau penonton dan barisan juri dengan babak pertempuran berpedang sebelum Sashimi melangkah megah ke pentas peragaan sebagai figura diraja yang diiringi dua pengawal peribadi.

Kejayaan tersebut didorong oleh keserasian serta penampilan unik Sashimi yang berbadan besar dan berwajah garang, di mana Luqman bijak menterjemahkan karektor kucing kesayangannya itu ke dalam busana mewah penuh karisma. Pentas akhir turut menyaksikan saingan sengit daripada finalis lain, termasuk Ahmad Fazwan dan Athity Amore di tempat kedua menerusi “Silver Purrince of Perak”, serta Syazreen Damia bersama Micco yang menduduki tempat ketiga dengan konsep diva yang glamor.
Penganjuran musim kedua ini turut dimeriahkan dengan pengenalan sesi masterclass dan kolaborasi fesyen bersama pereka terkenal Kashfi Zulkufli, yang membantu para finalis menterjemahkan idea kreatif mereka ke pentas peragaan. Dikendalikan oleh Fiza Frizzy dan Sissy Imann, acara berprestij ini turut diserikan dengan persembahan bertenaga daripada artis popular seperti Aina Abdul, Ayda Jebat, dan Nabila Razali.










