Kolaborasi Antarabangsa Dalam Filem Sayang Sayang
KUALA LUMPUR – Filem terbaharu arahan pembikin filem tersohor Tang Hsiang-Chu, Sayang Sayang, bakal menerjah pawagam seluruh Malaysia bermula 5 November 2026 susulan kejayaan majlis tayangan perdana di Taipei baru-baru ini. Menghimpunkan barisan penerbit di sebalik fenomena Abang Adik seperti Yeh Jufeng, Jin Ong, dan penerbit Nicole Teoh, naskhah kolaborasi antarabangsa ini menampilkan gabungan pelakon hebat termasuk Sasha Tang, Lee Lee-Zen, Mhia Firdaus, Farah Ahmad, Nandagopall Mohan, dan Jo Kukathas. Berlatarbelakangkan keindahan Pantai Timur Malaysia, filem ini mengisahkan suka duka tiga anak muda daripada latar belakang berbilang kaum yang mengharungi cabaran hidup, persahabatan, serta kekeluargaan dengan penuh keberanian.

Pencalonan Berprestij Di Anugerah Golden Horse Ke-63
Kecemerlangan naskhah ini turut diiktiraf di persada antarabangsa apabila merangkul lima pencalonan berprestij pada Anugerah Golden Horse ke-63, meliputi kategori Lakon Layar Asal Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, serta pencapaian cemerlang dua bakat mudanya iaitu Mhia Firdaus menerusi pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Nandagopall Mohan bagi kategori Pelakon Baharu Terbaik. Kejayaan tersebut mengukuhkan lagi momentum global filem ini yang kini dalam proses memuktamadkan hak penstriman bersama Intritale Films bagi pasaran luar negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, dan beberapa negara Eropah lain.
Pengalaman Sinematik Dan Nilai Kemanusiaan
Menjelang penayangannya, barisan pelakon teruja membawa kisah penuh nilai kemanusiaan ini kepada penonton tempatan, di samping berhasrat menyarungkan busana tradisional Malaysia seperti kebaya Nyonya ke pentas Golden Horse. Dibantu oleh pasukan belakang tabir tersohor serta himpunan lebih 100 kru dari Malaysia, Taiwan, dan India, Sayang Sayang sedia menawarkan pengalaman sinematik yang menyentuh jiwa kepada masyarakat Malaysia.













