Sinopsis Dan Barisan Pelakon Drama PL I Love You
Perseteruan tradisi antara dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan The Blues, Chelsea, kini diangkat menerusi sebuah naskhah drama komedi romantik baharu terbitan Michael Ang berjudul PL, I Love You. Bersiaran sejak 30 September lalu setiap hari Rabu dan Khamis pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria serta platform Sooka, drama lapan episod berdurasi sejam ini menawarkan kelainan apabila menyatukan dunia percintaan dengan keghairahan sukan bola sepak antarabangsa. Naskhah ini membariskan barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Intan Serah, Evertts Gomes, Theebaan G, Hawa Rizwana, Nina Jasmin, dan Sean Lee.

Penceritaan berkisar kepada konflik yang dihadapi oleh watak Lily, lakonan Intan Serah, seorang peguam yang juga penyokong tegar Arsenal. Dia terikat dengan impian arwah bapanya untuk berkahwin dengan lelaki yang mempunyai sokongan kelab yang sama. Namun, takdir mempertemukannya dengan Adam, yang digayakan oleh Kamal Adli, seorang pemilik bengkel kereta yang bukan sahaja merupakan penyotong setia Chelsea, malah memikul dendam peribadi terhadap Arsenal. Keadaan menjadi semakin rumit dan mencuit hati apabila Adam mengalami kemalangan, tergelincir, dan hilang ingatan (amnesia), memberi ruang kepada Lily untuk cuba mengubah pendirian serta kesetiaan bekas teman lelakinya itu terhadap kelab kesayangannya.
Kolaborasi Rasmi Bersama Premier League
Di sebalik konflik berat mengenai amnesia, hubungan yang gagal, dan janji kepada yang telah tiada, drama ini bijak mengimbangi penceritaan menerusi elemen komedi santai dan dialog bersahaja. Barisan pelakon turut mendedahkan cabaran tersendiri sepanjang penggambaran, termasuk Hawa Rizwana yang memegang watak sebagai wanita cacat penglihatan bernama Zara, serta Theebaan G dan Evertts Gomes yang mengakui drama ini memberikan mereka perspektif baharu terhadap sukan bola sepak. Lebih menarik, PL, I Love You turut mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat kolaborasi rasmi bersama pihak Premier League, lengkap dengan kemunculan istimewa pemain kelab Inggeris sebagai cameo, sekaligus menjadikannya sebuah tontonan wajib buat peminat drama tempatan dan sukan bola sepak.










