Industri acara tempatan melangkah ke era baharu menerusi pengumuman festival muzik berskala besar, NU FEST 2027, yang akan berlangsung buat julung kalinya di Stadium Merdeka pada 30 Januari 2027. Inisiatif anjuran COMs. Creative Studio bersama AKE Seni ini membawa visi untuk menaik taraf definisi festival muzik di Malaysia agar setaraf dengan penanda aras antarabangsa yang menggabungkan elemen hiburan, budaya, dan gaya hidup moden.
Festival ini menampilkan integrasi pengisian yang luas, merangkumi zon Grandstand, Rock Zone, pasar seni kreatif, serta program pengaktifan jenama (brand activation). Wakil COMs. Creative Studio, Encik Zairul Addry Helmy, menjelaskan bahawa NU FEST berhasrat menjadi platform tahunan yang menyokong perkembangan ekosistem kreatif tempatan dengan memberi ruang kepada usahawan muda, jenama lokal, dan penggiat muzik berkembang bersama komuniti mereka.
Barisan artis yang diumumkan melibatkan penggiat muzik rentas generasi dan sempadan, antaranya The Changcuters, Masdo, Nidji dengan slot persembahan 90 minit, serta Band D_Va, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja, Monosterio, dan komuniti DJ Beats & Brew. Dijual pada harga mampu milik bermula serendah RM88 untuk tiket kategori Standing, penganjur turut menyediakan pakej pembelian berkumpulan bagi memudahkan para peminat menghadiri acara gilang-gemilang ini di venue ikonik negara.












