Perjalanan empat dekad mengangkat suara, pencapaian dan keazaman wanita Malaysia diraikan dalam suasana penuh bermakna menerusi majlis NONA Media Soirée di The Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur. Mengangkat tema “An Afternoon Among Trailblazers & Icons”, perjumpaan eksklusif ini menjadi pengenalan rasmi kepada sambutan Jubli Delima NONA, sebuah jenama yang tidak pernah lelah mendokumentasikan jatuh bangun serta kegemilangan wanita sejak penubuhannya pada tahun 1986.
Ulang tahun kali ini membawa misi penting dalam menghubungkan naratif merentas zaman, bermula daripada tokoh terdahulu yang meletakkan asas kukuh sehingga kepada generasi masa kini yang memecahkan tradisi. Pratonton NONA Gala Awards 2026 memperlihatkan dedikasi tersebut menerusi pengenalan “NONA Rising 40 Under 40 serta NONA People’s Choice Icons of the Year”, yang menilai bakat dan kecekalan wanita muda dalam memimpin pelbagai sektor penting tanah air.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, sambutan Jubli Delima ini adalah cerminan kepada evolusi peranan wanita dalam masyarakat. NONA mahu memastikan bahawa kisah ketabahan, daya saing dan wawasan yang dipaparkan mampu menjadi sumber kekuatan kepada anak muda, sekali gus memperkukuh ekosistem sokongan wanita untuk terus melakar impak mampan dalam tempoh empat dekad akan datang.


Malam kemuncak NONA Gala Awards 2026 berlangsung dengan penuh gemilang, menyemarakkan sambutan Jubli Delima sempena ulang tahun ke-40 NONA. Menerusi penstriman langsung di YouTube dan Facebook rasmi NONA serta Mingguan Wanita, masyarakat berpeluang menyaksikan detik penghargaan terhadap wanita yang berjaya mencipta nama dan memberi sumbangan bermakna kepada negara. Penganjuran bersama rakan strategik seeNI dan sokongan penaja utama SFJ turut menyerlahkan komitmen berterusan dalam meraikan pencapaian wanita serta mengangkat mereka sebagai inspirasi kepada generasi akan datang.











