
KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2026 – Sebuah perkahwinan yang dibina bukan atas dasar cinta, sebaliknya didorong oleh dendam dan rahsia masa lalu menjadi nadi utama drama terbaharu Akad Tak Dipinta, yang bakal menemui penonton menerusi slot Samarinda TV3 mulai 30 Julai hingga 2 September 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam.
Drama melodrama psikologi-romantis sebanyak 20 episod ini menampilkan barisan pelakon seperti Redza Rosli, Nasuha Sulaiman, Faa Zaini, Darien Aeldra dan Sharifah Shahora. Mengangkat elemen konflik emosi, manipulasi, pengkhianatan serta misteri kematian, drama ini membawa penonton menyelami kehidupan watak-watak yang terperangkap dalam permainan takdir dan pertelingkahan keluarga.
Akad Tak Dipinta mengisahkan Seri (Nasuha Sulaiman), seorang akauntan yang cuba meneruskan kehidupannya selepas kehilangan cinta pertama, Saif (Fendy Bakry), dalam sebuah kemalangan tragis. Namun, kehidupannya kembali berubah apabila Seri bertemu Seth (Redza Rosli), majikannya yang bersikap dingin dan menyimpan pelbagai rahsia. Dalam usaha membebaskan diri daripada sebuah perkahwinan yang mengongkong, Seri menerima lamaran Seth tanpa mengetahui bahawa keputusan tersebut bakal membawanya ke dalam sebuah hubungan yang penuh penderitaan.
Selepas bergelar suami isteri, Seri akhirnya mengetahui bahawa Seth sebenarnya merupakan adik kandung kepada arwah Saif. Perkahwinan itu rupanya dirancang atas dasar dendam, apabila Seth mahu membalas apa yang dipercayainya sebagai kehancuran terhadap keluarganya. Seri kemudian menjadi sasaran kemarahan Seth meskipun dirinya tidak pernah melakukan kesalahan yang didakwa menjadi punca kepada segala tragedi tersebut.
Konflik semakin rumit dengan kemunculan Harlyn (Faa Zaini), watak yang menggunakan tipu helah dan manipulasi untuk mendapatkan Seth serta menghancurkan kehidupan Seri. Dalam masa yang sama, pertelingkahan keluarga dan konflik di dunia korporat membuka ruang kepada pelbagai rahsia lama untuk terbongkar satu demi satu.
Menurut Redza Rosli, watak Seth memberikan cabaran tersendiri kerana karakternya berdepan pergelutan antara rasa benci yang mendalam dengan perasaan yang mula berubah tanpa disedari. Perkahwinan yang bermula dengan dendam itu turut menguji batas emosi setiap watak apabila kebenaran mula muncul dan memaksa mereka berdepan dengan kesan daripada keputusan masa lalu.
Lebih daripada sekadar kisah rumah tangga yang penuh konflik, Akad Tak Dipinta menggabungkan unsur psikologi, romantik dan suspens untuk meneroka persoalan tentang kejujuran, pengorbanan, dendam serta kesan kebencian terhadap kehidupan seseorang. Dengan misteri kematian Saif yang masih belum terungkai sepenuhnya, penonton turut dibawa mengikuti perjalanan Seri dalam mencari kebenaran di sebalik tragedi yang mengubah hidupnya.
Mampukah Seri membebaskan dirinya daripada dendam yang bukan miliknya, dan adakah kebenaran akhirnya mampu mengubah hubungan antara Seri dan Seth? Jawapannya boleh disaksikan menerusi Akad Tak Dipinta, bermula 30 Julai 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.