GANDINGAN ZUL AARYAN DAN ZARA ANDREA BAKAL CETUS DEBARAN PENONTON

Written by

in

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2026 — Selepas mencipta fenomena dalam kalangan pembaca dengan lebih 2.48 juta bacaan di Wattpad serta jualan melebihi 40,000 naskhah, karya popular Wnfhanna, Yes! Captain Zul Aaryan, kini melangkah ke kaca televisyen menerusi slot Akasia TV3 dengan sokongan Cadbury Dairy Milk Biscoff. Drama bersiri 30 episod terbitan Zamriez Golden Picture Sdn Bhd itu menampilkan Jazmy Juma dan Anna Jobling sebagai peneraju utama, dengan gandingan mereka membawa kisah cinta penuh konflik, ego dan emosi ke layar.

Mula menemui penonton pada 10 Julai 2026, drama arahan Nizam Zakaria dan skrip nukilan Rozie Rashid ini turut menampilkan Natasha Sass, Nafiz Muaz, Daniel Fong serta barisan pelakon lain. Kisahnya berpusat kepada Zul Aaryan, seorang juruterbang yang juga CEO, yang memilih untuk menutup pintu hatinya selepas dikhianati bekas kekasih. Namun, kehidupannya berubah apabila dia bertemu Zara Andrea, seorang pelatih praktikal yang berani, tegas dan tidak mudah tunduk kepada sesiapa.

Pertemuan pertama mereka tidak berlangsung dengan mudah apabila perbezaan personaliti dan pendirian sering mencetuskan pertelingkahan. Zul yang terkenal dengan sifat tegas bertemu Zara yang berani menyuarakan pandangan, menjadikan hubungan mereka dipenuhi sindiran, konflik dan salah faham. Namun, apabila tekanan keluarga membawa mereka ke dalam satu ikatan yang tidak pernah dirancang, kedua-duanya mula berdepan persoalan sama ada hubungan yang bermula dengan perselisihan itu mampu berkembang menjadi sesuatu yang lebih bermakna.

Jazmy Juma menyifatkan watak Captain Zul Aaryan sebagai satu pengalaman yang cukup istimewa, malah peluang membawakan watak juruterbang turut merealisasikan salah satu impiannya sebagai pelakon. Menurutnya, penglibatan dalam drama ini membolehkannya memahami tanggungjawab seorang captain dengan lebih dekat, selain meneroka sisi karakter yang berbeza. Jazmy turut memuji keserasian bersama Anna Jobling yang banyak membantu mereka menjayakan babak-babak melibatkan hubungan Zul Aaryan dan Zara Andrea.

Bagi Anna Jobling pula, kekuatan Yes! Captain Zul Aaryan bukan hanya terletak pada kisah romantik antara dua watak utama, tetapi turut mengetengahkan perjalanan emosi mereka dalam menghadapi konflik, salah faham, kepercayaan, pengorbanan dan kasih sayang. Perubahan hubungan Zul dan Zara digambarkan secara berperingkat, memberikan ruang kepada penonton untuk mengikuti perkembangan kedua-dua watak sepanjang cerita.

Sementara itu, pengarah Nizam Zakaria memberi penekanan terhadap aspek realisme dalam membawa dunia penerbangan ke kaca televisyen. Beberapa lokasi seperti kokpit, pesawat, hangar dan lapangan terbang digunakan sepanjang penggambaran bagi memberikan gambaran lebih dekat mengenai persekitaran dunia penerbangan. Pendekatan tersebut turut digabungkan dengan visual dan penceritaan yang menyokong perkembangan emosi watak, sekali gus membawa penonton mengikuti perjalanan Zul Aaryan dan Zara Andrea dari awal hingga akhir.

Bersempena pelancaran drama berkenaan, Majlis Tayangan Perdana Episod Pertama dan Sidang Media turut berlangsung dengan kehadiran novelis Wnfhanna, wakil penerbit Idea Kreatif, barisan pelakon utama serta pasukan produksi. Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan runut bunyi rasmi drama, Lumangad Oku Dika oleh Ryenald Guntabid, selain Surat yang dipersembahkan secara akustik oleh Dukes.

Drama ini turut menampilkan kerjasama bersama Cadbury Dairy Milk Biscoff, yang mengetengahkan padanan antara kelembutan coklat susu dan rangupan karamel Biscoff. Gandingan tersebut menjadi pelengkap kepada kisah Zul Aaryan dan Zara Andrea yang turut melalui perjalanan daripada dua personaliti yang sering bertentangan kepada hubungan yang semakin sukar untuk dinafikan.

Yes! Captain Zul Aaryan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam menerusi slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menyaksikan episod baharu secara eksklusif di iQIYI, satu jam selepas siaran di TV3, menerusi laman web atau aplikasi iQIYI.