Astro kembali menghidupkan jenama popular Kilauan Emas menerusi edisi terbaharu, Kilauan Emas Selebriti 2026, yang hadir dengan konsep lebih segar dan berbeza daripada musim-musim terdahulu. Program ini akan mula bersiaran pada 22 Ogos 2026, setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Prima (Saluran 105). Penonton juga boleh mengikuti rancangan ini menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Berbeza dengan format sebelum ini, Kilauan Emas Selebriti 2026 menampilkan peserta yang terdiri daripada selebriti veteran terkenal dan bukannya penyanyi profesional. Bagi mengekalkan keaslian pertandingan, peserta mestilah warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke atas, bukan penyanyi profesional atau individu yang pernah menerima latihan nyanyian secara profesional, serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik.
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, Kilauan Emas Selebriti bukan sekadar pertandingan nyanyian tetapi turut membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep “Talent That Gives Back”. Melalui inisiatif ini, setiap kemenangan mingguan akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang meraikan bakat sambil memberi impak positif kepada masyarakat.
Beliau turut menjelaskan bahawa musim kali ini memperkenalkan segmen khas “Telan Kaset”, yang akan menampilkan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu. Segmen tersebut diwujudkan bagi mengimbau nostalgia penonton serta menghidupkan kembali kenangan era kegemilangan muzik tempatan yang menjadi antara tarikan utama Kilauan Emas sejak diperkenalkan.
Musim baharu ini bakal menyaksikan seramai 10 selebriti veteran bersaing di pentas Kilauan Emas Selebriti bagi mengumpul kemenangan yang akan diterjemahkan kepada sumbangan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Kilauan Emas Selebriti 2026 turut menyaksikan kepulangan Raja Azura sebagai pengacara utama selepas pernah mengendalikan program ini dari musim pertama hingga musim kelima. Beliau akan digandingkan bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara bagi memeriahkan lagi perjalanan pertandingan.
Barisan juri pula dibarisi Jihan Muse sebagai juri tetap bersama Datuk Yusry KRU, selain menampilkan juri jemputan istimewa yang akan bertukar setiap minggu.
Penerbitan musim ini turut disokong oleh Astro Gempak sebagai rakan digital dan SINAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini juga boleh distrim menerusi Astro GO, Sooka serta On Demand bagi memudahkan penonton mengikuti setiap episod.
Kilauan Emas Selebriti 2026 dibawakan khas oleh Arabic Gold dengan tema “Emas Tetap Emas”, yang meraikan nilai, pengalaman serta sumbangan individu yang terus menyerlah seiring peningkatan usia.
Selain Kilauan Emas Selebriti, Astro turut menawarkan pelbagai filem, drama dan program Signature Live di semua platformnya. Orang ramai juga boleh mendapatkan Pek Astro X3 yang menawarkan pengalaman penstriman tanpa memerlukan dekoder, pemasangan atau kontrak, bermula daripada RM39.99 sebulan.
