Safi memperkenalkan wajah baharu rangkaian Safi Youth Gold Rania menerusi kempen Semarakkan Seri Keremajaan yang mengetengahkan mesej lebih bermakna mengenai kecantikan dan keyakinan wanita. Pelancaran semula ini bukan sahaja menampilkan pembaharuan dari segi produk, malah membawa pendekatan yang lebih dekat dengan pengalaman serta cabaran wanita Malaysia pada masa kini.
Menerusi kempen tersebut, Safi ingin mengubah persepsi bahawa penjagaan kulit anti-penuaan hanya bertujuan untuk kelihatan lebih muda. Sebaliknya, jenama itu menekankan bahawa kecantikan sebenar bermula daripada keyakinan diri, kesejahteraan emosi dan penghargaan terhadap diri sendiri.

Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, Safi Youth Gold Rania kini diperkasakan dengan teknologi Peptida Kolagen yang direka untuk membantu meningkatkan keanjalan dan seri kulit. Pada masa sama, Safi turut memperkenalkan tiga inovasi baharu iaitu PDRN Booster Repair Serum yang merupakan serum PDRN Spicule Halal pertama di Malaysia, CycloPeptide Water Elixir yang menggunakan teknologi CycloPeptide pertama di negara ini serta Beauty Miracle Oil.
Keistimewaan rangkaian ini terletak pada pembangunan formulanya yang disesuaikan dengan keperluan kulit wanita Malaysia. Dengan mengambil kira faktor cuaca panas dan lembap sepanjang tahun, setiap produk dibangunkan menggunakan teknologi penjagaan kulit bertaraf antarabangsa bagi memberikan hasil yang lebih berkesan kepada pengguna tempatan.
Menurut Safi, keberkesanan produk ini turut disokong oleh ujian klinikal yang menunjukkan kulit boleh kelihatan lebih cerah, anjal dan berseri dalam tempoh seawal tiga hari penggunaan.
Selain memperkenalkan inovasi baharu, Safi turut mengembalikan nama Rania yang pernah menjadi pilihan ramai pengguna. Nama tersebut dikekalkan sebagai simbol keanggunan, kecantikan dan keyakinan wanita yang terus relevan sepanjang zaman.

Pakar Jenama dan Tinjauan Maklumat Safi Malaysia, Kazlina Mohd Kassim berkata, hasil kajian yang dijalankan mendapati ramai wanita sebenarnya mengimpikan lebih daripada sekadar kulit yang muda. Mereka mahu mengembalikan semangat, keyakinan dan kekuatan diri yang mungkin semakin pudar akibat tekanan kehidupan seharian.
Beliau berkata, wanita hari ini sering meletakkan keperluan keluarga dan kerjaya sebagai keutamaan sehingga terlupa untuk menjaga kesejahteraan diri sendiri. Justeru, kempen Semarakkan Seri Keremajaan diwujudkan bagi mengingatkan wanita bahawa menghargai diri adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kehidupan yang lebih seimbang.
Bagi menghidupkan aspirasi kempen tersebut, Safi mengumpulkan kisah daripada 100 wanita Malaysia yang berkongsi pengalaman hidup mereka. Daripada jumlah itu, lima wanita dipilih untuk menjalani program transformasi yang memberi tumpuan kepada pembangunan keyakinan, kasih sayang terhadap diri dan pertumbuhan peribadi.
Perjalanan mereka kemudiannya dijadikan kandungan inspirasi yang memaparkan pelbagai kisah kehidupan sebenar termasuk cabaran sebagai ibu sepenuh masa, pengalaman ibu tunggal, perubahan selepas bergelar ibu, hubungan dengan pasangan yang mempunyai jurang usia serta usaha membina semula keyakinan diri selepas melalui pelbagai ujian.
Dalam majlis yang sama, pelakon dan usahawan Fasha Sandha diumumkan sebagai duta baharu Safi Youth Gold Rania. Pemilihannya dilihat selari dengan mesej kempen kerana beliau dikenali sebagai wanita yang cekal, berdikari dan sentiasa positif dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Menurut Kazlina, perjalanan hidup Fasha menjadi gambaran bahawa setiap wanita mempunyai peluang untuk bangkit semula dan menyerlahkan potensi diri tanpa mengira usia atau pengalaman yang dilalui.
Sebagai pelengkap kepada kempen ini, Safi turut memperkenalkan versi baharu lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor dengan lirik yang diolah semula. Lagu tersebut membawa mesej bahawa setiap wanita masih mempunyai peluang untuk mencipta detik paling gemilang dalam hidup mereka, walau apa jua cabaran yang pernah ditempuhi.
Melalui pelancaran semula Safi Youth Gold Rania, Safi berharap dapat terus menjadi jenama yang bukan sahaja menawarkan penyelesaian penjagaan kulit, malah memberi inspirasi kepada wanita Malaysia untuk menghargai diri, membina keyakinan dan meraikan kecantikan yang datang daripada kekuatan dalaman.
