
Selepas menerima sambutan menggalakkan menerusi program Oh Mummy sepanjang Ramadan, TV3 kembali dengan kesinambungan baharu berjudul Oh Mummy!+, sebuah siri spin-off realiti kekeluargaan yang tampil dengan pendekatan lebih segar, mendalam dan menyentuh emosi penonton. Bakal bersiaran mulai 5 Julai 2026, setiap Ahad jam 7.50 malam, program ini membawa penonton menyelami kehidupan peribadi penyanyi popular Wany Hasrita dalam mengharungi fasa baharu sebagai seorang ibu kepada anak perempuannya, Aishah Al Iman.
Menerusi siri mini lapan episod berdurasi 10 minit ini, Oh Mummy!+ mengetengahkan cabaran Wany sebagai seorang ibu yang menjalani kehidupan perkahwinan jarak jauh apabila suaminya bertugas di Sarawak. Dalam masa yang sama, beliau perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pengurusan rumah tangga serta kerjaya seninya yang padat, menjadikan setiap detik bersama anaknya penuh makna dan emosi. Program ini turut memaparkan realiti kehidupan ibu moden yang berdepan pelbagai cabaran harian, namun tetap cekal dalam membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.
Sebagai seorang figura seni yang telah lebih sedekad mencorak industri hiburan tanah air, Wany Hasrita bukan sahaja dikenali menerusi pencapaian muzik seperti di ABPBH 31 dan AJL35, malah kini melangkah ke fasa kehidupan yang lebih bermakna sebagai seorang ibu. Oh Mummy!+ menampilkan sisi peribadi Wany yang lebih jujur dan dekat dengan penonton, memperlihatkan perjalanan beliau membesarkan Aishah Al Iman dengan penuh pengorbanan, kesabaran dan kasih sayang.
Menerusi program ini, penonton berpeluang menyaksikan momen-momen manis dan mencuit hati antara Wany dan anaknya, sekali gus mengangkat nilai kekeluargaan yang menjadi teras utama dalam kehidupan seorang ibu. Oh Mummy!+ bukan sekadar sebuah rancangan realiti, tetapi sebuah refleksi perjalanan emosi seorang wanita dalam menyeimbangkan impian, kerjaya dan tanggungjawab keluarga, menjadikannya tontonan inspirasi untuk semua lapisan penonton di TV3 dan platform penstriman Tonton.