Kuala Lumpur, 4 Jun 2026 – Filem terbaharu arahan Syed Fariz, 5 Bomoh, hadir sebagai sebuah naskhah komedi sosial yang mengangkat persoalan tentang sejauh mana manusia sanggup bergantung kepada kepercayaan tertentu dalam usaha mencapai impian atau mencari jalan penyelesaian segera. Filem ini membuka perbincangan tentang realiti masyarakat yang sering mencari jalan pintas ketika berdepan tekanan hidup, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kepercayaan tersebut benar-benar membantu atau sekadar membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, diedarkan oleh Skop Production Sdn Bhd dan dipasarkan oleh Primeworks Studios bersama Mask Team, 5 Bomoh menampilkan barisan pelakon popular seperti Dato’ Aaron Aziz, Scha Alyahya, Khairy Jamaluddin, Ungku Hariz, Tiara Rose, Dato’ Afdlin Shauki, Johan, Amy Search, Aedy Ashraf dan Ozlynn Waty. Gabungan pelakon berpengalaman dan latar komedi yang pelbagai menjadikan filem ini lebih segar dengan situasi lucu yang dekat dengan kehidupan harian masyarakat.
Kisahnya berpusat kepada Rashdan, seorang ahli perniagaan yang sejak kecil mempercayai amalan tradisional dan petua turun-temurun, berbeza dengan isterinya Sakinah yang lebih berpegang kepada ilmu, pendidikan dan nilai keagamaan. Konflik bermula apabila anak mereka, Nisa, gagal dalam peperiksaan penting, lalu mendorong Rashdan untuk mencari penyelesaian segera demi memastikan impian keluarganya tercapai. Keadaan ini membawa keluarga tersebut dalam pengembaraan mencari beberapa bomoh di seluruh negara, yang akhirnya mendedahkan pelbagai bentuk penipuan serta eksploitasi kepercayaan masyarakat.
Melalui perjalanan tersebut, 5 Bomoh tidak hanya menawarkan komedi, tetapi turut menyelitkan sindiran sosial terhadap sikap manusia yang mudah terpengaruh dengan janji-janji jalan pintas. Filem ini juga mengetengahkan isu kekeluargaan, tekanan ibu bapa terhadap anak-anak, serta perbezaan pandangan dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.
Menurut pengarah Syed Fariz, filem ini bertujuan menyampaikan mesej bahawa kejayaan tidak datang secara mudah tanpa usaha, ilmu dan doa yang berterusan. Beliau menegaskan bahawa komedi digunakan sebagai medium untuk mendekati penonton sambil menyampaikan pengajaran yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
Dengan gabungan elemen humor, emosi dan mesej sosial yang kuat, 5 Bomoh dijangka menjadi antara filem komedi yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membuka ruang refleksi kepada penonton mengenai nilai sebenar usaha, kepercayaan dan tanggungjawab dalam kehidupan.
Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif 5 Bomoh, ikuti platform media sosial rasmi Primeworks Studios.
