TIKET POLONG TERUS LARIS, PENONTON MEMBANJIRI PAWAGAM DI SELURUH NEGARA
4 min read


Fenomena filem seram tempatan Polong terus mencuri perhatian apabila sambutan luar biasa daripada penonton masih berterusan di pawagam seluruh negara. Selepas mencatat kutipan RM5.5 juta dalam tempoh empat hari tayangan, filem arahan Zulkarnain Azhar itu kini dilihat semakin kukuh sebagai antara naskhah seram tempatan paling mendapat perhatian pada tahun ini.
Tinjauan di beberapa pawagam mendapati kebanyakan sesi tayangan, khususnya pada waktu petang dan malam, terus mencatat kadar jualan tiket yang memberangsangkan. Malah, terdapat beberapa sesi yang hampir dipenuhi penonton, membuktikan minat orang ramai terhadap filem ini masih berada pada tahap yang tinggi walaupun sudah memasuki minggu tayangan.
Sambutan berterusan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Polong sebelum ini berjaya menarik lebih 25,000 penonton menerusi tayangan awal dan menerima pelbagai reaksi positif daripada penonton. Di media sosial, ramai yang berkongsi pengalaman mereka menyaksikan filem tersebut, termasuk adegan-adegan mendebarkan yang mencetuskan jeritan spontan dan suasana tegang di dalam panggung.
Kekuatan Polong terletak pada gabungan elemen seram tradisional tempatan dengan penceritaan moden yang lebih dekat dengan jiwa penonton masa kini. Selain menawarkan pelbagai babak mengejutkan, filem ini turut mengetengahkan konflik psikologi, misteri serta kisah legasi ilmu hitam yang diwarisi merentasi generasi. Pendekatan tersebut menjadikan Polong lebih daripada sekadar sebuah filem seram biasa.
Diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) dengan sokongan pengedaran 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran Primeworks Studios dan Astro Shaw, Polong menampilkan gandingan pelakon berbakat seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa dan Amir Nafis. Filem ini mengisahkan Fatima, seorang wartawan bercita-cita tinggi yang tanpa sengaja membongkar rahsia silam seorang bomoh wanita bersiri bernama Maria Hadi. Tindakannya itu akhirnya membangkitkan satu kuasa gelap yang selama ini tersembunyi daripada pengetahuan ramai.
Melihat kepada momentum semasa, Polong dijangka terus mencatat prestasi cemerlang di pawagam dalam beberapa hari akan datang. Dengan permintaan tiket yang masih tinggi dan banyak sesi tayangan yang semakin penuh, penonton yang masih belum berpeluang menyaksikan filem ini disarankan membuat tempahan lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Kejayaan Polong sekali lagi membuktikan bahawa karya seram tempatan yang dihasilkan dengan kualiti, identiti budaya dan penceritaan yang mantap mampu menarik perhatian khalayak serta bersaing dengan filem-filem antarabangsa. Bagi peminat genre seram, inilah peluang untuk merasai sendiri pengalaman menonton yang sedang menjadi bualan hangat di seluruh negara.