HANYA YANG FENOMENAL DI SINI! TV3 MERAIKAN 42 TAHUN SEBAGAI RUMAH DRAMA TANAH AIR
4 min read
Stesen televisyen nombor satu negara, TV3, meraikan ulang tahun ke-42 dengan tema “Hanya Yang Fenomena Di Sini” yang mencerminkan kedudukannya sebagai rumah drama tanah air serta peneraju utama industri hiburan tempatan. Sepanjang lebih empat dekad, TV3 telah menjadi platform penting yang bukan sahaja mencorakkan landskap penyiaran negara, malah menjadi sebahagian daripada budaya tontonan rakyat Malaysia merentasi generasi.
Sejak penubuhannya, TV3 telah melahirkan pelbagai karya drama yang mencetus fenomena serta menjadi memori kolektif penonton, di samping membuka ruang kepada ramai bakat seni yang kini bergelar nama besar dalam industri hiburan. Keupayaan saluran ini dalam menyajikan kandungan yang dekat dengan kehidupan masyarakat menjadikannya terus relevan sebagai destinasi utama drama tempatan.
Dalam era digital dan perubahan tabiat tontonan penonton, TV3 terus membuktikan keupayaannya untuk kekal berdaya saing dengan memperluaskan kandungan termasuk drama bersiri mikro yang mencatat lebih 200 juta capaian di platform media sosial. Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan TV3 sebagai jenama hiburan yang sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, selain menambah keterujaan terhadap barisan drama baharu yang bakal disiarkan pada separuh kedua tahun 2026 seperti Yes! Captain Zul Aaryan, Anom Suraya, Jiwa Seorang Pentaksub, Neraka Yang Terhijab, Luka Di Hujung Setia serta drama mikro Offside Husband.

Menurut Puan Farah Shamsudin, Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, tema “Hanya Yang Fenomena Di Sini” melambangkan komitmen TV3 dalam menghasilkan kandungan berkualiti yang memberi impak besar kepada penonton. Beliau menegaskan bahawa TV3 bukan sekadar saluran hiburan, tetapi juga platform yang telah melahirkan ramai pelakon, pengarah dan penulis skrip berbakat yang kini menjadi tonggak industri seni tanah air.
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-42, TV3 turut meraikannya bersama peminat menerusi pelbagai aktiviti istimewa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026. Acara ini menampilkan barisan bintang drama TV3 serta personaliti Media Prima, di samping pelancaran dua drama terbaharu iaitu Yes! Captain Zul Aaryan dan Anom Suraya yang bakal bersiaran pada Julai. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan tayangan eksklusif trailer serta menyertai sesi meet & greet dan autograf bersama pelakon, pengarah dan penulis.
Sambutan ini turut diserikan dengan kehadiran personaliti Media Prima serta sambutan ulang tahun ke-10 Ejen Ali, menjadikan acara tersebut lebih meriah dan interaktif. Melangkah ke hadapan, TV3 terus komited memperkukuh peranannya sebagai peneraju industri penyiaran negara dengan membawakan kandungan yang dekat di hati penonton, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai saluran yang “sentiasa bersamamu”.