Dato’ Adi Putra Harungi Penghianatan Cinta, Dalam “Luka Di Hujung Setia” 

Slot Akasia TV3 bakal tampil dengan sebuah drama sarat emosi berjudul Luka Di Hujung Setia, yang mengangkat kisah tentang cinta, pengorbanan dan kesetiaan yang mula terhakis akibat tekanan kehidupan.

Drama 28 episod terbitan Country & Universal Sdn Bhd ini menggabungkan Dato’ Adi Putra dan Zara Zya sebagai tunjang utama, selain dibarisi pelakon seperti Irfan Zaini, Cahaya Nilam, Angella Joliey dan Puteri Khareeza. Ia akan mula bersiaran pada 2 Jun 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3.

Watak Dhia digambarkan sebagai seorang isteri yang sanggup meninggalkan keluarga demi membantu suaminya, Irsyad, yang kehilangan pekerjaan tetap dan dibebani masalah kewangan keluarga. Demi kelangsungan hidup, Dhia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan, walaupun terpaksa berjauhan dengan anak mereka.

Namun, pengorbanan itu akhirnya membawa perubahan besar dalam hubungan rumah tangga mereka. Ketika berdepan tekanan hidup di kota, Dhia mula rapat dengan Faris, seorang pengurus projek yang sentiasa berada di sisinya. Hubungan itu akhirnya mencetuskan konflik yang meruntuhkan perkahwinannya bersama Irsyad.

Selepas melalui episod hitam tersebut, Irsyad membesarkan anak mereka seorang diri sambil cuba meneruskan hidup. Kehadiran Zulin yang banyak membantu keluarga mereka sedikit demi sedikit memberi sinar baharu kepada Irsyad untuk bangkit daripada luka lama.

Dato’ Adi Putra menyatakan watak Irsyad menuntut penghayatan emosi yang mendalam kerana dia perlu menanggung kesakitan dalam diam demi mempertahankan keluarga. Zara Zya pula percaya penonton akan melihat sisi manusiawi Dhia yang membuat kesilapan ketika berada dalam keadaan emosi yang rapuh.

Dengan jalan cerita yang penuh konflik dan emosi, Luka Di Hujung Setia dijangka menjadi antara drama yang mampu menyentuh hati penonton sepanjang tayangannya nanti.

Episod terbaharu drama ini juga boleh distrim lebih awal selama 24 jam di platform Tonton melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.