Finalis Dewi Remaja 2025: 12 Pesona Baharu Siap Rebut Takhta

Program realiti paling ikonik Malaysia, Dewi Remaja kembali dengan edisi ulang tahun ke-40 yang cukup istimewa. Dengan membawa tema Pesonakan Bintangmu, Dewi Remaja 2025 memperkenalkan barisan 12 finalis baharu yang bakal mencuri perhatian penonton Malaysia. Edisi kali ini menjanjikan pengalaman tontonan lebih segar, penuh inspirasi dan dekat di hati generasi muda. Program utama akan mula bersiaran pada 10 Oktober 2025, jam 10 malam di Astro Ria serta turut distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Penonton bakal menyaksikan perjalanan mingguan para finalis melalui pelbagai tugasan, cabaran dan transformasi sehingga malam finale yang dijadualkan pada 28 November 2025.

Menambah kekuatan pertandingan kali ini adalah kehadiran barisan juri tetap yang berpengalaman luas dalam dunia seni dan hiburan. Nabila Huda, figura prolifik yang digelar Ratu Versatil Malaysia dengan lebih dua dekad pengalaman, tampil sebagai juri yang bukan sahaja menilai bakat dan keaslian tetapi juga keperibadian serta ketahanan finalis. Beliau digandingkan dengan Kamal Adli, pelakon dan personaliti televisyen yang kini bergelar antara hero utama layar perak. Karisma serta pengalamannya dari dunia peragaan hingga ke layar besar menjadikan Kamal sebagai mentor semula jadi yang memberi bimbingan seimbang kepada para finalis.

Kelebihan edisi ulang tahun ke-40 ini turut diserikan dengan kehadiran juri jemputan daripada barisan alumni Dewi Remaja yang kini menjadi ikon dalam industri seni, fesyen, media dan hiburan. Kehadiran mereka bukan sahaja menghidupkan legasi empat dekad Dewi Remaja tetapi juga memberi peluang kepada finalis untuk menerima panduan terus daripada individu yang pernah melalui perjalanan sama.

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Ria, Dewi Remaja bukan sekadar sebuah program hiburan, sebaliknya sebuah platform berimpak sosial yang mendalam. Beliau menegaskan bahawa apa yang penting bukan hanya angka tontonan, tetapi bagaimana program ini memberi kesan positif kepada generasi muda. Transformasi finalis daripada individu biasa kepada figura berkarisma akan menjadi inspirasi kepada penonton Malaysia.

Selain program utama, penonton turut berpeluang mengikuti kandungan tambahan seperti Diari Dewi Remaja yang akan bersiaran setiap Isnin bermula 6 Oktober serta Kapsul Dewi Remaja yang bersiaran setiap Khamis mulai 9 Oktober. Format baharu yang lebih dinamik ini menjadikan Dewi Remaja 2025 sebagai sebuah pengalaman tontonan 360 darjah merentasi kaca televisyen, platform digital dan media sosial.

Fiezreen Ahmad, Ketua Bahagian New Gen & Men’s merangkap Editor Pengurusan Remaja, turut menyatakan kebanggaan terhadap barisan finalis tahun ini. Beliau menegaskan bahawa mereka bukan sahaja memiliki rupa paras menawan, tetapi juga hadir dengan latar belakang, bakat dan kisah hidup yang sarat inspirasi. Ada yang datang dari dunia seni, akademik malah sukan negara, membuktikan definisi Dewi moden yang versatil, berprinsip dan berdaya saing.

Dewi Remaja 2025 turut mendapat sokongan daripada redONE Mobile selaku Rakan Telco rasmi. Kerjasama ini mencerminkan komitmen untuk mendekati generasi muda serta meraikan bakat baharu tanah air. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif redONE Mobile, Ameen Amaendran, kerjasama ini selari dengan aspirasi syarikat untuk memberi nilai lebih bermakna dalam kehidupan pelanggan sambil menyokong budaya, kreativiti dan semangat anak muda Malaysia.

Dengan barisan finalis yang berbakat, juri berpengalaman serta format baharu yang segar, Dewi Remaja 2025 bukan sahaja mengekalkan reputasi sebagai pertandingan paling berprestij di Malaysia, tetapi juga melakar era baharu dalam pencarian wanita muda yang bakal mencorakkan masa depan industri hiburan tanah air.