Konsert berskala mega bakal menggamatkan Axiata Arena pada 27 September 2025 apabila Dato’ M. N46ir kembali dengan pementasan “Cipta 3”. Acara yang dijadualkan bermula jam 8 malam ini dianjurkan oleh Icon Entertainment dan menjanjikan sebuah persembahan penuh energi dengan gabungan karya-karya ikonik yang telah merentas generasi.
Malam bersejarah ini akan dibuka dengan segmen pembukaan yang menampilkan lagu-lagu hebat seperti “Isi Atau Kulit”, “Musnah” dan “Jerangkung Dalam Almari”. Seterusnya, suasana akan diteruskan dengan “Pembakar Perasaan”, “Opera Hidup” serta “Apa Lagi” yang pastinya membakar semangat penonton.
Segmen kedua menampilkan sisi romantis dengan rangkaian karya seperti “Laila Namamu Teratas”, “Srikandi Cintaku” serta pilihan lagu penuh emosi “Jiwa-Jiwa Luka” dan “Rupa Tanpa Wajah”. Momentum kemudian diteruskan ke segmen ketiga yang membawa penonton menyusuri perjalanan muzik menerusi “Pertama Dan Selamanya”, “Rendang Tak Berbuah”, “Mahligai Syahdu” serta pilihan lagu klasik “Falsafah Cinta”, “Dibayang Awan”, “Ukiran Jiwa” dan “Meniti Titian Usang”. Penonton turut berpeluang menyaksikan persembahan penuh dramatik menerusi “Di Jalan Sesat”, “Kau Ratnaku”, “Hipokrasi” serta “Aku Dah Bosan”.
Segmen keempat memperlihatkan sisi balada penuh syahdu dengan “Cinta Sepi”, “Saatku Idamkan” dan “Gemuruh” yang akan menambah getaran jiwa setiap yang hadir. Persembahan diteruskan ke segmen kelima yang menampilkan karya kolaborasi bersama kumpulan legenda Kembara melalui “Impian Seorang Nelayan”, selain himpunan lagu perjuangan seperti “Hati Emas”, “Gerhana” dan “Duit Duit” yang begitu sinonim dengan perjuangan muzik rock tanah air.

Sebagai penutup yang epik, pentas “Cipta 3” akan menutup tirai dengan “Apokalips” serta versi khas “Pawana” dalam irama koplo yang dijangka mencetuskan fenomena di dalam arena.
Konsert ini turut menampilkan barisan pemuzik hebat yang mendukung kelainan bunyi dan keindahan muzik. Antara yang terlibat ialah Nan Alias dan Rafi Mohd di posisi gitar, Firdaus Mahmud dan Eddie Slam di keyboard, Norman Abdullah pada bass serta Ujang Exists di drum. Persembahan turut diperkaya dengan sentuhan percussion latin oleh Pa’ang Zaman, percussion tradisional oleh Awe Hisharudy, permainan gambus oleh Boy Razli serta alunan flute oleh Mohar. Kehadiran lima penyanyi latar iaitu Eja Muhamad Nor, Juanita Ismail, Sutan Yuaz, Awe Azran dan Widy Hamzah pula dijangka memberikan harmoni vokal yang lebih mantap.
Konsert “Cipta 3” turut mendapat sokongan padu daripada penaja utama seperti Etiqa selaku rakan strategik, DTC sebagai pengangkutan rasmi, manakala Era, Sinar, Gegar dan Zayan menjadi radio rasmi. Astro Gempak pula bertindak sebagai rakan digital rasmi. Dengan tema tatacara pakaian “Rock Cara Lu… Janji Rock”, penonton dijemput hadir dalam gaya paling bebas namun tetap mengekalkan semangat rock yang tidak pernah luntur.
Dengan gabungan susunan segmen yang bertenaga, barisan pemuzik hebat serta sokongan penuh penaja, “Cipta 3” dijangka menjadi antara konsert rock paling bersejarah dan dinanti-nantikan pada tahun 2025.
