CSR Kreatif: Hello Bam Bam Buka Mata Tentang Kesihatan Mental

Hello Bam Bam bukan sekadar sebuah drama biasa, tetapi lahir sebagai satu inisiatif seni yang membawa misi besar untuk membuka mata masyarakat terhadap isu kesihatan mental, trauma kanak-kanak, dan kehidupan insan terpinggir. Projek ini dihasilkan oleh penerbit Amy Mazurah dengan kerjasama MFI Group sebagai sebuah drama inspirasi yang sarat mesej positif, khususnya buat remaja yang berdepan tekanan hidup, masalah buli, kecenderungan bunuh diri, krisis identiti dan kezaliman sosial.

Sebagai sebuah projek CSR, Hello Bam Bam menekankan mesej utama bahawa hidup memang penuh cabaran, namun tidak bermakna kita harus berputus asa. Lebih menarik, drama ini hadir dengan konsep interaktif yang membolehkan penonton memilih sendiri pengakhiran kisah, sama ada berakhir dengan kegembiraan atau kesedihan. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan penonton lebih terlibat, tetapi juga menyedarkan mereka bahawa setiap pilihan dalam hidup memberi kesan besar terhadap perjalanan seseorang.

Selain menjadi medium hiburan, Hello Bam Bam turut membuka ruang kolaborasi kepada pempengaruh, artis tempatan, penaja dan rakan strategik untuk bersama menyuarakan isu kesedaran mental melalui platform digital TikTok yang begitu dekat dengan generasi hari ini. Antara pihak yang menyokong projek ini termasuk Tourism Johor serta beberapa penaja seperti Win Win Food Industries, Presgo Gateways, Tiger Base Camp, Berjaya Waterfront Hotel, Majalah Santai Travel dan Restoran Kopihut.

Projek ini juga menampilkan kehadiran seniman legenda era 90-an, Ady Wow, yang menyumbangkan sebuah lagu baharu berjudul “Luahan” sebagai runut bunyi rasmi drama Hello Bam Bam. Kehadiran lagu ini menambahkan lagi nilai emosi dan keindahan seni dalam naskhah yang penuh dengan makna kemanusiaan.

Dari segi jalan cerita, Hello Bam Bam membawa penonton menyelami kisah tiga jiwa yang terpinggir, yang masing-masing berjuang melawan trauma silam, depresi, serta kekejaman masyarakat. Awin, lakonan Shafie Naswip, merupakan seorang khunsa yang sejak kecil menderita akibat dera dan buli di asrama anak yatim. Hidupnya berubah selepas diselamatkan oleh Deddy, seorang pendandan rambut flamboyan lakonan Diva AA, yang memberinya sinar baharu. Pertemuan Awin dengan Jojo, lakonan Hello Angah, seorang tomboy lantang yang pernah hampir menamatkan riwayat hidupnya sendiri, melahirkan persahabatan erat yang menjadi kekuatan untuk mereka berdua terus bangkit.

Kehadiran Bam Bam, seorang kanak-kanak terbiar lakonan Bang Aji, membuka lembaran baharu dalam hidup mereka. Dalam keadaan serba kekurangan, Awin dan Jojo memilih untuk menjadi ibu dan ayah kepada Bam Bam yang hampir menjadi mangsa sindiket jalanan oleh ayah kandungnya sendiri. Keputusan itu bukan sahaja mengubah hidup mereka, malah menguji sejauh mana kasih sayang dan pengorbanan mampu bertahan dalam dunia yang penuh dengan tekanan, fitnah, dan kezaliman.

Watak-watak antagonis seperti Black, majikan lama Jojo yang pendendam, serta Cik Wawa, tuan rumah kaya yang tamak dan tidak berperikemanusiaan, menjadi cabaran besar dalam kehidupan mereka. Namun di sebalik kesempitan, Awin dan Jojo tidak menyerah. Dengan kekuatan kasih sayang, sokongan sahabat, dan semangat untuk terus melindungi Bam Bam, mereka memilih untuk bangkit meskipun setiap langkah dilingkari ancaman.

Hello Bam Bam hadir sebagai sebuah karya yang bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga mencerminkan realiti kehidupan tentang depresi, trauma, kemiskinan dan ketabahan insan yang sering dipinggirkan. Drama ini membawa mesej jelas bahawa kasih sayang, walaupun datang daripada insan yang tidak sempurna, mampu menyelamatkan jiwa dan memberi harapan baharu kepada mereka yang hampir berputus asa.