Rakyat Malaysia Raikan Merdeka di “Bersama Satu Bazaar” Anjuran MR D.I.Y.

Sambutan Hari Merdeka tahun ini dijangka lebih meriah apabila Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad menganjurkan semula bazaar Merdeka yang mendapat sambutan hangat pada tahun lalu. Dengan tema “Bersama Satu Bazaar”, acara selama empat hari ini akan diadakan di Tempat Letak Kereta Terbuka Sunway Pyramid dari 29 Ogos hingga 1 September 2025, selaras dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-68.

Bazar ini menampilkan lebih 100 gerai yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan gaya hidup daripada vendor tempatan yang popular. Pengunjung juga dapat menikmati produk daripada jenama Kumpulan MR D.I.Y. termasuk MR. D.I.Y., MR. TOY, dan MR. DOLLAR. Antara sajian tempatan yang disediakan ialah roti canai, nasi lemak, laksa, burger, mi, pencuci mulut, dan pelbagai minuman. Jenama-jenama terkenal seperti Coca-Cola, ZUS Coffee, Tealive dan Oriental Kopi turut memeriahkan acara ini.

Selain peluang membeli-belah dan menikmati makanan, bazaar ini menyediakan pelbagai pengalaman interaktif seperti permainan, bengkel kreatif, persembahan budaya dan kontemporari, taman permainan belon gergasi, bubble dome, serta zoo mini. Aktiviti-aktiviti ini direka untuk memastikan keseronokan kepada pengunjung dari semua peringkat umur.

Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh, berkata bahawa bazaar Bersama Satu Bazaar yang pertama mendapat sambutan memberangsangkan dari rakyat Malaysia. Oleh itu, acara ini kembali diadakan dengan lokasi baharu agar lebih ramai pengunjung dapat menyertainya. Acara ini bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dalam meraikan Hari Merdeka sambil menyokong perniagaan, usahawan, dan penggiat seni tempatan. Beliau menekankan bahawa MR D.I.Y. bukan sahaja komited menyediakan produk berkualiti dengan harga berpatutan tetapi juga berusaha mencipta pengalaman bermakna yang menyatukan masyarakat.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ini, MR D.I.Y. akan mengedarkan beg tote percuma setiap hari kepada pengunjung yang mengambil bahagian dalam Cabaran Pasport Bazaar. Para pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai sehingga RM8,000. Selain itu, promosi istimewa turut ditawarkan untuk 98 produk di semua cawangan MR D.I.Y. di seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai bazaar ini boleh diperoleh di laman MR D.I.Y. Bersama Satu Bazaar 2025, manakala maklumat tentang MR D.I.Y. secara keseluruhan boleh diakses di mrdiy.com serta melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok.