GAGA Entertainment dengan bangganya mengumumkan penganjuran pertandingan nyanyian Megastar Idol 2025 yang bakal berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025 di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor. Edisi kali ini dianjurkan dengan kerjasama Subang Parade sebagai Rakan Rasmi Lokasi, sekali gus memperkukuh komitmen kedua-dua pihak dalam membangunkan bakat seni suara tempatan.
Sebagai sebuah syarikat penganjuran acara yang komited dalam menyediakan platform hiburan berkualiti, GAGA Entertainment terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat-bakat baharu menerusi pertandingan, persembahan, dan kolaborasi strategik. Dengan tema “Dari Juara Untuk Bakal Juara”, Megastar Idol 2025 hadir sebagai pentas profesional untuk mengasah kemahiran vokal peserta yang berpotensi besar, di samping membuka peluang pembelajaran secara langsung daripada tenaga pakar industri muzik.
Pertandingan ini menampilkan barisan juri berpengalaman dan disegani dalam dunia seni suara tanah air, termasuk Idayu AF Megastar, penyanyi dan mentor vokal terkenal, serta Helen Yap, seorang komposer, penerbit dan pengarah muzik berpengalaman. Selain itu, seorang juri jemputan khas akan diumumkan pada hari pertandingan bagi menambah warna dan kredibiliti acara ini. Penilaian daripada panel juri akan memberi panduan teknikal serta maklum balas membina kepada peserta, sejajar dengan matlamat untuk melahirkan bintang baharu berkualiti tinggi.

Megastar Idol 2025 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,500, bersama pengiktirafan rasmi. Juara akan membawa pulang RM2,000 beserta trofi dan sijil, manakala Naib Juara akan menerima RM1,000 berserta sijil, dan Tempat Ketiga akan membawa pulang RM500 berserta sijil. Semua peserta juga akan menerima Sijil Penyertaan Rasmi sebagai penghargaan terhadap usaha dan komitmen mereka.
Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 13 tahun ke atas, dengan yuran penyertaan hanya RM100. Kuota penyertaan dihadkan kepada 50 peserta sahaja bagi memastikan kualiti persembahan dapat dikekalkan. Format pertandingan merangkumi pusingan saringan awal, separuh akhir dan pentas akhir, yang semuanya akan diadakan di pentas utama Subang Parade dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.
Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi NADZ di talian 018-9676548 atau melalui Instagram rasmi @gaga.entertainment. Megastar Idol 2025 menjanjikan sebuah pertandingan yang bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi batu loncatan untuk mencungkil dan memartabatkan bakat-bakat baharu dalam industri muzik tanah air.
