Siapa sangka hanya dari sebuah poster susu kambing di restoran mamak, lahirnya sebuah naskhah menyentuh hati bertajuk “Susu Lima Kupang”, arahan terbaharu pelakon dan pengarah prolifik, Janna Nick.
Disiarkan dalam slot Cerekarama TV3 pada Sabtu, 19 Julai 2025 jam 10 malam, karya ini merupakan sebahagian daripada projek istimewa “Dari Layar Ke Lensa”, sebuah inisiatif unik TV3 yang memberi ruang kepada empat pelakon terkenal – Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim – untuk duduk di kerusi pengarah dan melahirkan karya dari perspektif mereka sendiri.
Susu Lima Kupang mengetengahkan kisah Zakaria (lakonan Aiman Badrul), seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang hidup dalam serba kekurangan bersama ibunya yang autistik (Trisha Ooi) dan neneknya (Farah Ahmad). Dibuli kerana tiada ayah dan hidup terpencil, Zakaria menemukan keselesaan dalam persahabatannya dengan seekor kambing bunting yang dinamakannya Maryam.
Namun apabila Maryam secara tidak sengaja merosakkan radio kesayangan ibunya dan menyebabkan gangguan emosi, Zakaria nekad mencari jalan untuk menggantikannya. Dari situlah tercetus ideanya untuk menjual susu kambing – simbol kasih sayang dan harapan seorang anak kecil yang mahu melihat ibunya tersenyum kembali.
“Saya ternampak poster susu kambing masa sedang berbincang skrip dengan team produksi. Saya terus terfikir, kenapa tak buat cerita pasal kambing? Dari situ, jalan cerita mula berkembang,” kongsi Janna yang buat pertama kali mengarah untuk produksi luar.
Tambahnya lagi, “Penggambaran memang mencabar, terutamanya babak dengan kambing. Tapi pengalaman ini sangat berharga kerana saya bukan hanya belajar mengarah, tapi juga bagaimana memimpin pasukan dalam bajet yang ketat.”
Lebih daripada sekadar kisah kasih seorang anak, Janna menegaskan bahawa Susu Lima Kupang membawa mesej penting tentang penerimaan, kasih sayang tanpa syarat, dan penghargaan terhadap perkara kecil dalam hidup.
“Cerita ini juga mahu membetulkan salah faham masyarakat – dalam Islam, tiada istilah anak haram. Yang haram hanyalah perbuatannya. Manusia itu tetap mulia,” ujar Janna.
Selain Aiman Badrul dan Trisha Ooi, telefilem ini turut menampilkan Farah Ahmad, serta barisan pelakon sokongan yang memperkukuh naratif dengan lakonan penuh emosi.
Susu Lima Kupang merupakan telefilem ketiga dalam siri Dari Layar Ke Lensa, yang bakal diakhiri dengan naskhah terakhir arahan Zahiril Adzim, “Pencuri Rumah Imam”, pada 26 Julai 2025.
Saksikan kisah menyentuh hati ini Sabtu ini, 19 Julai, hanya di TV3, slot Cerekarama jam 10 malam. Untuk maklumat lanjut dan klip eksklusif, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di semua platform sosial.
