KRU & ICON ENTERTAINMENT CIPTA REKOD GEMILANG DI MBR – GENKRU 2025 DINOBAT FENOMENA KONSERT TERBESAR NEGARA!

Legenda muzik tempatan, KRU, bersama penganjur Icon Entertainment (M) Sdn Bhd, mencipta detik bersejarah apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi kejayaan Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil selama empat malam. Pengiktirafan ini menandakan pencapaian luar biasa dalam sejarah industri hiburan tempatan dengan sambutan luar jangka daripada peminat.

Malaysia Book of Records mengiktiraf KRU dengan anugerah “Most Show in a Single Concert Series” selepas kumpulan itu tampil membuat persembahan selama empat malam berturut-turut pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025. Jumlah ini jauh melebihi perancangan asal hanya satu malam dan membuktikan keutuhan sokongan peminat terhadap kumpulan yang telah lebih 30 tahun mencorakkan landskap muzik Malaysia.

Dato’ Norman Abdul Halim yang mewakili KRU berkata kejayaan ini merupakan penghargaan buat semua peminat. Katanya, kejayaan mengembangkan konsert kepada empat malam adalah hasil semangat dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua yang membesar dengan karya-karya KRU. Beliau turut menyifatkan ini sebagai bukti kekuatan muzik tempatan yang masih mendapat tempat istimewa di hati rakyat Malaysia.

Dalam masa sama, Icon Entertainment menerima pengiktirafan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour” selepas 8,000 tiket Konsert GenKRU terjual dalam tempoh hanya satu jam sejurus jualan dibuka. Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan tersebut dan berkongsi penghargaan kepada semua peminat yang menjadikan Konsert GenKRU sebuah acara luar biasa. Menurutnya, ini membuktikan bahawa hiburan tempatan mampu mencipta impak besar dan layak menerima sokongan penuh industri serta kerajaan.

Majlis penyerahan sijil MBR disempurnakan oleh Yang Berusaha En. Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Iliyas Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif MBR, Christopher Wong bersama wakil rasmi.

Lebih 30,000 peminat hadir sepanjang empat malam konsert berlangsung. Persembahan turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa artis nostalgia seperti Feminin, Elite dan Adam AF, menambah warna serta emosi kepada pengalaman menonton konsert yang telah dianggap antara paling berjaya dalam sejarah konsert tempatan.

GenKRU 2025 bukan sekadar konsert, tetapi sebuah fenomena budaya yang menyatukan generasi lama dan baharu, sekaligus menaikkan martabat hiburan tanah air ke peringkat yang lebih tinggi. Pencapaian ini bukan sahaja satu penghormatan kepada KRU dan Icon Entertainment, malah satu motivasi kepada seluruh penggiat industri untuk terus melangkah ke hadapan dengan karya yang berkualiti dan bermakna.