Dunia seni dan dunia kopi bertemu dalam satu acara yang cukup istimewa apabila tiga bintang terkenal tanah air – Siti Hariesa, Shukri Yahaya, dan Amerul Affendi – tampil bersama melancarkan kedai kopi penuh gaya, BRU Coffee Shop, bersempena dengan tayangan perdana drama bersiri Tonton Original: Bru.
Bertempat di APW Bangsar pada 5 Mei 2025, majlis pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah ruang kafe unik, malah memberi peluang kepada peminat untuk bertemu secara dekat dengan para pelakon utama dalam suasana santai menerusi sesi ramah mesra.
Drama Bru, yang mula ditayangkan pada 1 Mei 2025 menerusi Tonton, merupakan karya sulung Nik Amir Mustapha dalam format drama bersiri. Nama beliau tidak asing lagi dalam industri perfileman tempatan dengan sentuhan sinematografi yang estetik menerusi filem-filem seperti Kil, Terbaik Dari Langit, Imaginur, dan banyak lagi.
Bru mengisahkan tentang Shah (Shukri Yahaya), seorang pemilik kedai kopi yang berdepan tekanan demi menjadikan kedainya terkenal. Di sampingnya, Hani (Siti Hariesa), seorang barista yang memiliki bakat luar biasa dalam mencipta rasa, namun bergelut untuk membuktikan kemampuannya tanpa bersandar pada nama ayahnya, seorang Tan Sri. Sementara itu, Ajan (Amerul Affendi), sahabat lama Shah, sentiasa menjadi tiang sokongan dalam setiap jatuh bangun perjalanan mereka.

Apa yang membezakan Bru ialah sisi baharu yang ditampilkan oleh ketiga-tiga pelakon ini. Shukri, yang kini sinonim dengan watak gangster menerusi Blood Brothers, mengejutkan peminat dengan persona lebih tenang dan ‘coffee geek’. Siti Hariesa pula tampil berani dan bebas sebagai Hani, jauh berbeza daripada imej lembutnya sebelum ini. Amerul, yang sering membawakan karakter lucu seperti Kuping dalam 6 Jilake, menyerlahkan sisi lebih mendalam dan menyentuh hati dalam peranannya kali ini.
Lebih menarik, suasana BRU Coffee Shop yang dibina turut diinspirasikan daripada lokasi sebenar dalam drama Bru, menjadikan pengalaman peminat lebih mendalam dan imersif. Ini bukan sekadar promosi, tetapi kolaborasi dunia lakonan dan gaya hidup yang penuh kreatif.
Kepada peminat kopi dan penggemar drama berkualiti, Bru menjanjikan sebuah naskhah yang menyentuh emosi, memaparkan perjuangan, persahabatan, dan cinta terhadap seni menyeduh kopi.
Jangan ketinggalan menyaksikan Tonton Original: Bru, ditayangkan setiap Isnin dan Khamis secara eksklusif di Tonton! Strim sekarang melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Ikuti Tonton untuk lebih banyak kemas kini menarik di Facebook, Instagram & Twitter: @TontonMY.
