TV AlHijrah Perkasa Operasi dengan 15 Kenderaan Baharu, Sasar Kecekapan dan Jangkauan Lebih Luas

TV AlHijrah hari ini menandakan satu lagi pencapaian strategik dengan melancarkan 15 unit kenderaan operasi baharu, dalam usaha memperkukuh keupayaan lapangan serta meluaskan capaian siarannya ke seluruh negara.

Majlis Pelepasan Kenderaan yang berlangsung di ibu pejabat TV AlHijrah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Namanzee Harris, ahli Lembaga Pengarah, Pengarah JAWI serta warga kerja stesen.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelan penstrukturan semula infrastruktur teknikal TV AlHijrah, menggantikan armada kenderaan sedia ada yang telah digunakan sejak lebih satu dekad lalu. Kenderaan-kenderaan baharu ini bakal memberi nafas segar kepada operasi lapangan seperti liputan berita, produksi kandungan dan sokongan teknikal di lokasi.

“Kenderaan ini bukan sekadar pengangkutan – ia adalah simbol azam baharu kami untuk bergerak lebih efisien, responsif dan berdaya saing dalam dunia penyiaran moden. Ia menyokong aspirasi TV AlHijrah untuk terus unggul sebagai penyiar Islam yang progresif dan dipercayai,” ujar Tuan Haji Namanzee.

Menurut beliau, penambahan kenderaan ini juga seiring dengan strategi penjenamaan semula stesen yang menekankan nilai profesionalisme, inovasi dan kebolehpercayaan dalam penyampaian maklumat Islam yang segar dan mudah difahami rakyat pelbagai lapisan.

Armada baharu ini akan diagihkan kepada jabatan utama seperti Jabatan Berita & Editorial, Jabatan Kandungan serta Unit Teknikal, yang memainkan peranan penting dalam penghasilan kandungan berkualiti dan pelaksanaan tugasan luar secara efektif. Malah, ia juga akan digunakan dalam pelaksanaan program CSR seperti Hijrah Prihatin, termasuk misi kemanusiaan dan bantuan bencana di lapangan.

TV AlHijrah menjangkakan pelaburan ini akan memberikan impak positif jangka panjang melalui pengurangan kos penyelenggaraan dan peningkatan kecekapan kerja luar terutamanya semasa musim perayaan, bencana dan kempen nasional penting.

Apa yang lebih menarik, kesemua kenderaan ini kini tampil dengan identiti visual korporat TV AlHijrah yang diperbaharui lebih moden, segar dan mencerminkan arah tuju stesen sebagai penyiar Islam global yang berdaya maju.

Majlis pelancaran ini turut mencerminkan semangat kebersamaan seluruh warga kerja TV AlHijrah dalam memperkukuh peranan stesen sebagai model penyiaran Islam yang bukan sahaja unggul di Malaysia, bahkan di persada antarabangsa.