Siapa sangka sebuah perkahwinan yang hanya dimeterai atas dasar syarat dan kontrak, mampu berkembang menjadi kisah cinta yang penuh emosi dan pengorbanan? Itulah kisah menarik drama terbaru Calon Isteri Buat Suami, lakonan hebat Siti Hariesa dan Jazmy Juma, yang bakal menghiasi slot Akasia TV3 mulai 8 April, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam. Penonton juga boleh menyaksikannya secara strim di iQIYI pada jam 8.00 malam, secara percuma.
Diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd., drama bersiri 25 episod ini diarahkan oleh Bahri Umar dengan skrip hasil sentuhan Sophilea, mengangkat tema cinta, keluarga dan pengorbanan. Barisan pelakonnya turut dimeriahkan dengan kehadiran nama-nama besar seperti Trisha Ooi, Jasmin Hamid, Hazeeq Dean, Emelda Rosmila dan ramai lagi.
Kisah ini mengikuti perjalanan Haizi (lakonan Siti Hariesa), seorang wanita yang nekad memulakan hidup baru setelah pertunangannya dengan Khalif terputus. Berbekalkan semangat untuk membuktikan diri kepada ibu bekas tunangnya, Haizi berhijrah ke Kuala Lumpur. Takdir mempertemukannya dengan Datin Yasmin dalam situasi cemas yang akhirnya membawa kepada satu tawaran luar biasa perkahwinan kontrak bersama anak lelaki Datin Yasmin, Nazim (lakonan Jazmy Juma).
Namun, syarat perkahwinan ini cukup unik: Haizi boleh memilih untuk keluar dari perkahwinan tersebut, hanya jika dia berjaya mencari calon isteri yang lebih baik untuk Nazim. Apa yang bermula sebagai perjanjian kosong akhirnya mengubah kehidupan mereka berdua. Keraguan perlahan-lahan diganti dengan kasih sayang, dan cinta pun berputik. Tapi hubungan mereka tidak semudah yang disangka.
Konflik memuncak apabila sepupu Nazim, Dayana (Trisha Ooi), kembali dengan niat tersembunyi dan tuduhan yang menggugat kebahagiaan pasangan ini. Tambah mencabar, Haizi yang sedang hamil mula merasakan tekanan yang menggugat ketenangan rumahtangganya. Adakah cinta mereka cukup kuat untuk mengharungi semua dugaan ini?
Menurut Jazmy Juma, pengalaman bekerjasama dengan Siti Hariesa adalah sesuatu yang sangat istimewa.

“Bergandingan dengan Hariesa memang tak dapat dilupakan. Kami saling menyokong dan sering berbincang demi memastikan setiap babak benar-benar sampai kepada penonton. Chemistry antara kami sangat kuat, dan saya harap penonton turut merasainya dalam setiap adegan,” ujar Jazmy.
Beliau turut menambah bahawa hubungan baik bersama pengarah juga memainkan peranan penting:
“Pengarah sentiasa terbuka untuk berbincang dan beri pandangan, menjadikan suasana di set sangat kondusif dan mesra kerja.”
Bagi pengguna iQIYI VIP, episod terkini boleh distrim secara ekspres jam 8.00 malam pada hari yang sama, manakala penonton biasa boleh menonton episod baharu secara PERCUMA selepas 48 jam. Aplikasi iQIYI boleh dimuat turun di App Store atau Play Store.
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2020, iQIYI menunjukkan perkembangan pesat dengan peningkatan pengguna melebihi 15 kali ganda. Tahun 2021 menyaksikan iQIYI tersenarai sebagai platform penstriman Asia nombor satu di Malaysia dari segi muat turun, pengguna aktif bulanan, dan masa tontonan.
Untuk perkembangan terkini drama kegemaran anda, ikuti TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram (@TV3Malaysia) serta Instagram rasmi Drama Sangat, @dramasangat.
