Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) memandang serius notis-notis amaran berkaitan pendudukan secara tidak sah dan isu pencerobohan ladang di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November serta 1 dan 2 Disember 2025. Walaupun FELDA menghormati bidang kuasa negeri dalam urus tadbir tanah, tempoh tiga hari yang diberikan untuk mengosongkan kawasan, merobohkan struktur serta memusnahkan tanaman disifatkan terlalu singkat dan tidak selaras dengan keperluan operasi ladang komersial. FELDA menegaskan bahawa ia mempunyai asas kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan Akta Pembangunan Tanah 1956 yang memberikan mandat jelas untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA). Sehubungan itu, FELDA dan FGV sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap semua dokumen berkaitan, termasuk rekod sejarah, pembayaran premium, hak milik tanah dan syarat pembangunan melalui audit tanah yang komprehensif bagi memastikan ketepatan setiap maklumat sebelum tindakan lanjut diambil. Pembangunan ladang FELDA dan FGV di Terengganu selama ini memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan, penyediaan infrastruktur serta sumbangan kepada rantaian industri sawit, selain memastikan kelangsungan pendapatan komuniti peneroka. Kedua-dua pihak turut menegaskan bahawa isu ini akan ditangani secara profesional dan patuh undang-undang, dengan mengambil kira semua implikasi perundangan demi melindungi kepentingan peneroka, pekerja serta kestabilan sektor perladangan. Notis amaran tersebut tidak memberi kesan kepada operasi ladang peneroka, namun mempunyai implikasi terhadap operasi komersial FELDA dan FGV serta perancangan jangka panjang. FELDA dan FGV kekal komited mencari penyelesaian terbaik melalui saluran undang-undang yang teratur dan melalui kerjasama erat antara semua institusi kerajaan bagi memastikan keutuhan sektor perladangan serta kesejahteraan komuniti terus terpelihara.