Raffcomm Technologies Sdn. Bhd. (RAFFTECH), penyedia perkhidmatan rasmi pertama yang dilantik oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), secara rasmi melancarkan Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0 bersama Program Ganjaran Digital di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Pelancaran ini menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital kepada masyarakat dan komuniti perniagaan tempatan.
Menurut Pengerusi Eksekutif RAFFTECH, YBrs. Datuk Md. Afendi Hamdan, SSM e-Info telah menjadi pintu utama kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat korporat sejak 19 tahun lalu. Platform ini dipercayai oleh pelbagai pihak dalam mendapatkan akses kepada dokumen syarikat dan perniagaan yang berdaftar di Malaysia. Beliau menegaskan bahawa aplikasi ini dibina semula untuk memenuhi keperluan pengguna digital masa kini yang mengutamakan kemudahan, kepantasan dan nilai tambah dalam setiap pengalaman penggunaan.

Dengan konsep “Beli, Kumpul, Tebus”, aplikasi ini memperkenalkan ekosistem ganjaran digital yang menawarkan mata terkumpul bagi setiap transaksi. Mata ganjaran ini sah selama enam bulan dan boleh ditebus melalui aplikasi. Aplikasi SSM e-Info versi terkini ini juga hadir dengan antaramuka baharu yang lebih mesra pengguna, membolehkan carian dan pembelian dokumen korporat dilakukan dengan lebih efisien dan intuitif.
Pengguna kini boleh mengakses pelbagai maklumat syarikat termasuk sijil penubuhan, pemfailan berkanun dan data perniagaan lain secara real-time hanya dengan beberapa klik. Sistem navigasi interaktif yang diperkenalkan membolehkan carian maklumat dilakukan dengan lebih cepat, sekaligus memudahkan proses membuat keputusan dalam dunia perniagaan yang pantas bergerak.
Sebagai pelopor dalam transformasi digital sektor perniagaan di Malaysia, RAFFTECH juga memastikan aplikasi ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan pengesahan yang tinggi. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mendapatkan dokumen Digitally Certified True Copy (DCTC) yang disahkan oleh Certification Authority (CA) dalaman RAFFTECH yang dilesenkan oleh MCMC. Ia menjamin keaslian dan integriti dokumen korporat yang diperoleh melalui platform ini.
SSM e-Info juga merupakan satu-satunya portal maklumat korporat di Malaysia yang mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan fungsi e-dompet dan pembayaran dalam aplikasi. Ini membolehkan pengguna melakukan transaksi dan pengesahan maklumat pada bila-bila masa, dari mana-mana sahaja.

Sejak dilancarkan pada tahun 2006, SSM e-Info terus memperkukuh kedudukannya sebagai portal rasmi dalam talian yang menyediakan maklumat korporat dan perniagaan secara langsung dan sah. RAFFTECH juga merupakan syarikat pertama yang membolehkan integrasi API secara real-time bagi memudahkan akses data oleh agensi-agensi kerajaan, satu pencapaian yang menandakan komitmen mereka terhadap inovasi dan kebolehpercayaan.
Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info kini boleh dimuat turun di platform Apple App Store dan Google Play Store. Untuk maklumat lanjut mengenai ciri dan perkhidmatan yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari laman rasmi di www.ssm-einfo.my.
