Tag: #SmartSupplementUse #HealthIsWealth #CheckBeforeYouConsume #SafeSupplements #ScienceBacked

  • Trend Suplemen Meningkat di Malaysia: Sihat atau Sekadar Ikut Trend?

    Trend Suplemen Meningkat di Malaysia: Sihat atau Sekadar Ikut Trend?

    Oleh Alex Teo, Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik – Herbalife

    Dalam dunia moden yang bergerak pantas, ramai rakyat Malaysia menjadikan makanan tambahan atau suplemen sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka. Sama ada untuk meningkatkan tahap tenaga, menguatkan imuniti atau menampung kekurangan nutrisi dalam diet, suplemen kini dianggap sebagai penyelesaian mudah untuk menyokong kesihatan secara menyeluruh.

    Dengan gaya hidup yang semakin sibuk serta tabiat pemakanan yang sering terganggu, keperluan untuk mendapatkan nutrien yang mencukupi melalui makanan sahaja menjadi satu cabaran. Ditambah pula dengan kemajuan dalam teknologi penilaian kesihatan seperti ujian DNA pemakanan dan aplikasi digital, semakin ramai individu mula memahami keperluan tubuh mereka secara lebih mendalam. Maka tidak hairanlah apabila pasaran suplemen pemakanan di Malaysia bernilai lebih USD 644 juta pada tahun 2023, dan dijangka terus berkembang melebihi USD 900 juta menjelang 2030.

    Namun, di sebalik peningkatan penggunaan ini, timbul persoalan penting mengenai tahap keselamatan dan keberkesanan produk yang berada di pasaran. Terdapat kes di mana suplemen mengandungi bahan yang tidak diisytiharkan, termasuk bahan farmaseutikal tersembunyi atau pencemar yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan. Keadaan ini menimbulkan keperluan mendesak terhadap ketelusan dalam industri makanan tambahan.

    Di Malaysia, suplemen dikawal selia secara ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan. Setiap produk wajib didaftarkan dan dinilai dari segi keselamatan, keberkesanan, mutu, pelabelan dan amalan pengilangan yang baik. Langkah ini bertujuan untuk memastikan hanya produk yang memenuhi syarat tertentu sahaja dibenarkan masuk ke pasaran.

    Namun di peringkat rantau Asia Pasifik, sistem kawal selia berbeza-beza mengikut negara. Ada negara seperti Korea Selatan dan Taiwan yang mempunyai peraturan yang ketat dan komprehensif. Di negara lain pula, kawalan terhadap pelabelan, dakwaan kesihatan dan promosi masih longgar. Kelemahan ini boleh membuka ruang kepada produk yang tidak diuji secara menyeluruh menembusi pasaran dengan mudah, termasuk melalui platform digital dan media sosial. Situasi ini boleh mengelirukan pengguna, apatah lagi apabila produk dijual dengan dakwaan yang tidak disokong oleh bukti saintifik yang sah.

    Meskipun ada usaha untuk menyeragamkan kawal selia melalui inisiatif seperti Pengharmonian Suplemen Kesihatan ASEAN, ia masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Dalam keadaan kawal selia yang tidak konsisten ini, pengguna dan pengeluar berdepan cabaran untuk memastikan produk yang diambil atau ditawarkan benar-benar selamat dan berkualiti.

    Satu pendekatan penting dalam menangani isu ini adalah dengan menekankan pentingnya makanan tambahan yang dibangunkan berasaskan sains. Produk yang dirumus melalui penyelidikan saintifik yang kukuh bukan sahaja memberikan jaminan dari segi keselamatan, malah turut terbukti keberkesanannya. Syarikat yang serius dalam menjaga kualiti biasanya menjalankan ujian makmal pihak ketiga, mematuhi amalan pengilangan yang ketat, dan memastikan formulasi yang digunakan adalah berdasarkan data yang sahih, bukan sekadar ikut trend pasaran.

    Teknologi terkini juga memainkan peranan penting dalam memastikan suplemen memberi kesan maksimum kepada pengguna. Kaedah seperti peningkatan bioketersediaan atau pemakanan jitu menjadikan nutrien lebih mudah diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh. Syarikat yang melabur dalam teknologi sebegini dan bekerjasama dengan pakar sains akan lebih bersedia untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin cermat dan berpengetahuan.

    Walaupun industri suplemen menunjukkan perkembangan positif, pengguna tetap perlu memainkan peranan aktif dalam membuat pilihan yang tepat. Antara perkara yang wajar dititikberatkan termasuk menyemak label kandungan, memastikan tiada bahan berbahaya atau alergen, dan meneliti sama ada produk itu mendapat kelulusan pihak berkuasa. Laman web rasmi NPRA di www.npra.gov.my turut menyediakan kemudahan semakan status pendaftaran produk untuk memudahkan pengguna mengenal pasti produk yang sah dan selamat digunakan.

    Secara keseluruhannya, makanan tambahan boleh menjadi pelengkap yang berguna kepada gaya hidup sihat jika digunakan dengan betul. Namun, ia bukan pengganti kepada pemakanan seimbang atau rawatan perubatan profesional. Keputusan untuk mengambil suplemen harus dibuat secara maklum, berasaskan fakta dan bukan sekadar trend. Dalam dunia yang semakin sarat dengan pilihan, kesihatan bukan sesuatu yang wajar dipertaruhkan.