Tag: #ShihaZikir

  • Shiha Zikir Bangkit dengan Lagu Pop Balada Baharu ‘Lebih Baik’

    Shiha Zikir Bangkit dengan Lagu Pop Balada Baharu ‘Lebih Baik’

    Shiha Zikir, penyanyi dan pelakon berbakat besar, kembali mencuri perhatian peminat muzik tanah air dengan single terbaharunya berjudul Lebih Baik. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi Shiha bersama komposer terkenal, Shazee Ishak, dan penerbit prolifik, Audi Mok, di bawah naungan Alternate Records & Talents.

    Mengangkat genre pop balada, Lebih Baik mengetengahkan tema self-love yang mendalam. Lagu ini mengisahkan tentang kekuatan yang diperoleh daripada cinta, perpisahan, dan perjalanan untuk menjadi versi diri yang lebih baik. Dengan mesej bahawa kebahagiaan sejati bermula dari dalam diri, Lebih Baik mengajak pendengar merenung semula makna cinta dan penyembuhan jiwa.

    Lirik lagu ini penuh emosi, dengan frasa seperti “Aku akan lebih baik” dan “Perpisahan kita menjadi pengajaran” menggambarkan proses penyembuhan selepas kehilangan. Lagu ini menyeru kepada keberanian untuk menerima perpisahan sebagai satu pengajaran hidup, serta pentingnya mencintai diri sendiri sebelum mencintai orang lain.

    Menurut Shiha, lagu ini memberi peluang kepada pendengar untuk merenung nilai diri. “Saya percaya kisah dalam Lebih Baik sangat dekat dengan hati pendengar, terutamanya dengan tema swacinta yang diangkat. Lagu ini memberi peluang untuk setiap individu menemui semangat baharu dalam diri mereka,” kata Shiha.

    Shiha juga mendedahkan bahawa proses rakaman lagu ini berjalan lancar dan hanya mengambil masa dua jam. “Shazee sangat membantu sepanjang proses rakaman. Lagu ini memerlukan penghayatan emosi yang tinggi, dan saya memastikan setiap bait lirik disampaikan dengan penuh perasaan,” jelas Shiha.

    Shazee pula menyatakan keyakinannya terhadap Shiha sebagai penyanyi lagu ini. “Shiha adalah pilihan yang tepat kerana dia sangat profesional dan berbakat. Dia berjaya menjiwai watak dalam lagu ini dan memberikan persembahan vokal yang luar biasa,” katanya.

    Menambah nilai kepada karya ini, Lebih Baik kini menjadi runut bunyi (OST) rasmi untuk drama popular Wanita Milik Kaiden yang bersiaran di slot Akasia TV3. Lagu ini turut membawa suasana emosi yang mendalam dalam setiap babak, menjadikannya semakin dekat di hati penonton.

    Shiha berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh peminat muzik. “Saya ingin Lebih Baik menjadi penyuntik semangat kepada mereka yang sedang bergelut dalam perjalanan kehidupan mereka. Lagu ini penuh dengan mesej harapan dan kekuatan,” ujarnya.

    Lebih Baik kini boleh didengarkan di pelbagai platform penstriman seperti Spotify, YouTube Music, dan iTunes. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati karya indah ini yang pasti akan menyentuh hati dan memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.

    Untuk berita terkini mengenai Shiha Zikir dan perkembangan dari Alternate Records & Talents, ikuti mereka di platform media sosial:

    Jangan lupa untuk sokong dan hayati karya terbaru Shiha Zikir, Lebih Baik, yang kini memukau jiwa pendengar di seluruh Malaysia!

  • Buah Tangan Terbaharu Shiha Zikir Berjudul ‘Pelangi Kelabu’

    Buah Tangan Terbaharu Shiha Zikir Berjudul ‘Pelangi Kelabu’

    Bersama Alternate Records, penyanyi berbakat Shiha Zikir kembali dengan single terbarunya, “Pelangi Kelabu”, sebuah lagu pop balada yang penuh dengan emosi dan menyentuh hati. Lagu ini bukan sahaja memikat dengan melodi yang mempesona, tetapi juga mengungkapkan lirik yang dalam dan penuh makna, membuka ruang bagi pendengar untuk merasai setiap lapisan perasaan yang terkandung dalam lagu ini. Lebih menarik, “Pelangi Kelabu” turut menjadi runut bunyi bagi drama Marina, yang disiarkan eksklusif di aplikasi Tonton setiap Isnin hingga Khamis.

    “Pelangi Kelabu” menggambarkan kisah perjalanan hati seorang protagonis yang dilanda kesakitan akibat perpisahan. Lagu ini merungkai perasaan patah hati yang menghimpit jiwa dan menggambarkan pergelutan antara kesedihan dan usaha untuk menerima kenyataan. Dalam lagu ini, hujan dan air digunakan sebagai simbol bagi kedalaman kesedihan yang memenuhi jiwa, serta kerinduan yang membuakkan perasaan.

    Pada bahagian korus, liriknya mengisahkan protagonis yang mencari perlindungan di bawah langit mendung, berusaha menyembunyikan tangisan yang tak terucap, sambil merindui cinta yang sudah tiada. “Pelangi Kelabu” melambangkan harapan yang semakin pudar akibat kekecewaan, namun juga memberi pengajaran bahawa seperti hujan yang akan reda dan pelangi yang akan muncul semula, kesedihan ini akan berlalu dan kebahagiaan akan kembali.

    Shiha Zikir, yang terkenal dengan vokal yang penuh emosi, meluahkan rasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada projek ini. Beliau berkongsi, “Kali pertama saya mendengar demo lagu ini, saya sangat teruja kerana lagu ini sangat sesuai dengan tema drama yang sedang trending. Proses rakaman sangat lancar dan hanya mengambil masa 3 jam. John Jeeves banyak membantu mempermudah proses ini.”

    Bercerita tentang cabaran yang dihadapi semasa merakam lagu ini, Shiha berkata, “Cabaran terbesar saya adalah untuk mendapatkan mood yang tepat dan menghayati lagu ini sepenuhnya. Saya perlu meletakkan diri saya dalam lagu ini, membayangkan kesakitan yang saya rasa agar penyampaian saya lebih jujur. Saya berharap lagu ini memberi kesan yang mendalam kepada pendengar dan mereka dapat merasai perasaan yang saya cuba sampaikan.”

    Lagu ini adalah hasil karya bersama antara John Jeeves, Iqie Hugh, dan Omar K. Idea untuk lagu ini tercetus daripada gambaran tentang kesedihan yang mampu mengaburkan kebahagiaan, seperti pelangi yang sepatutnya berwarna-warni tetapi akhirnya menjadi kelabu. John Jeeves memuji kemampuan Shiha dalam menyampaikan pelbagai ekspresi melalui nyanyian, dan menyatakan bahawa kerjasama mereka sangat memuaskan. Beliau juga menambah, “Shiha datang ke studio dengan persediaan yang penuh dan idea-idea yang sangat bernas.”

    Menurut John Jeeves, lagu ini harus didengarkan kerana gabungan lirik yang penuh perasaan dan melodi yang menarik, ditambah dengan penyampaian Shiha yang sangat asli dan memukau. “Kami berharap lagu ini memberi impak yang mendalam kepada pendengar serta memperkenalkan sisi baharu Shiha Zikir dalam dunia seni,” kata John Jeeves. “Kami amat teruja untuk berkongsi karya ini dan berharap lagu ini akan diterima baik oleh industri muzik serta mencapai kejayaan komersial.”

    Single terbaru Shiha Zikir, “Pelangi Kelabu”, kini boleh didengari di iTunes, Spotify, YouTube Music, dan pelbagai platform penstriman dalam talian yang lain. Dengan lirik yang menyentuh hati dan melodi yang memukau, lagu ini pastinya akan menjadi teman bagi sesiapa yang pernah merasai kekecewaan dalam hidup.

    Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, jangan lupa untuk mengikuti akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

  • Tribute Penuh Emosi Shiha & Ieda Zikir Ungguli Famili Duo Minggu ke-4!

    Tribute Penuh Emosi Shiha & Ieda Zikir Ungguli Famili Duo Minggu ke-4!

    Pasangan adik-beradik Shiha Zikir dan Ieda Zikir telah mencipta sejarah yang luar biasa apabila dinobatkan sebagai Duo Terbaik selepas empat minggu mencabar diri mereka di pentas Famili Duo 4. Mereka memukau penonton dengan persembahan penuh emosi menerusi lagu legenda “Di Manakan Ku Cari Ganti” nyanyian Tan Sri P. Ramlee. Persembahan ini menjadi penghormatan khas buat arwah ayah mereka serta kakak mereka yang telah tiada.

    Shiha meluahkan rasa penuh makna bahawa kemenangan ini adalah tribute kepada mereka yang sangat mereka sayang. “Persembahan ini adalah tribute khas,” kata Shiha, yang turut menambah bahawa mereka hampir tidak memilih lagu ini kerana beban emosinya. Namun, mereka memutuskan untuk terus melangkah demi memberi penghormatan yang layak.

    “Setiap kali rehearsal, kami tetap menangis, tapi kami cuba kawal supaya dapat sampaikan persembahan yang terbaik. Saya nak buat persembahan ini bukan saja untuk diri sendiri, tapi juga untuk orang lain yang pernah melalui kehilangan orang tersayang,” tambah Shiha. Persembahan mereka bukan sahaja menunjukkan vokal mantap, tetapi juga diiringi dengan alunan seruling yang menghidupkan lagi emosi lagu tersebut, sekali gus memukau juri dan penonton. Mas Idayu turut memberikan rating penuh, “Tak ada komen, bagus!”

    Di sebalik kejayaan besar ini, persaingan di pentas Famili Duo 4 turut menyaksikan beberapa pasangan lain yang tidak kurang hebatnya. Pasangan sepupu Tomok dan Syarul Kamal turut menonjol dengan medley Hore-Hore dan Salam Terakhir yang penuh nostalgia. Persembahan mereka yang mengimbau kenangan lama memikat hati penonton, sementara juri mengagumi kemampuan mereka dalam menyampaikan cerita melalui lagu. Naqiu dan Joey, dengan kreativiti mereka, tampil dengan lagu Chow Kit Road dan Apokalips, menunjukkan peningkatan yang ketara dari minggu ke minggu. Ayie Elham dan Salma Asis pula menggegarkan dengan persembahan yang sangat menyentuh hati melalui gabungan lagu Aku Bidadari Syurgamu dan Untukmu Ibu. Juri turut mengiktiraf usaha mereka yang membawa konsep berbeza setiap minggu, menjadikan mereka pasangan yang sukar ditewaskan.

    Berdasarkan kedudukan keseluruhan selepas episod keempat pada 18 November 2024, berikut adalah senarai pasangan dengan markah tertinggi:

    1. Shiha Zikir & Ieda Zikir – 64.07%
    2. Tomok & Sharul Kamal – 63.67%
    3. Ayie Elham & Salma Asis – 61.68%
    4. Naqiu & Joey – 55.07%
    5. Zahid & Anne – 52.35%
    6. Didi Astillah & Thamiera – 50.15%

    Persaingan semakin sengit apabila setiap pasangan berlumba untuk memenangi gelaran juara mingguan dan kedudukan dalam carta markah terkumpul. Untuk episod seterusnya, semua mata tertumpu pada tema dangdut yang pasti akan menyemarakkan lagi suasana. Berikut adalah carta markah terkumpul selepas episod keempat:

    1. Tomok & Sharul Kamal – 261.7
    2. Ayie Elham & Salma Asis – 248.43
    3. Shiha Zikir & Ieda Zikir – 228.27
    4. Naqiu & Joey – 224.11
    5. Zahid & Anne – 178.79
    6. Didi Astillah & Thamiera – 178.79

    Program Famili Duo 4 ini dibawakan khas oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama dan Marigold HL sebagai rakan penaja, dengan OhBulan! dan XTRA turut memeriahkan musim ini sebagai Famili Digital. Dengan setiap minggu yang berlalu, persaingan semakin hebat dan penonton mempunyai peluang untuk mempengaruhi keputusan dengan undian atas talian.

    Undi dan menangi hadiah menarik dengan kod promo FAMILIDUO2024 untuk mendapat undian tambahan. Jangan lepaskan peluang untuk memenangi Samsung Smart TV 65′ dan hadiah wang tunai RM10,000 bagi duo juara mingguan, serta hadiah utama RM100,000 untuk pemenang di pentas akhir. Keputusan pemenang mingguan ditentukan melalui penilaian juri yang memberi 70% markah, manakala 30% lagi bergantung kepada undian atas talian oleh penonton. Pengguna Tonton yang berdaftar boleh mengundi sebanyak 50 kali seminggu, sementara pelanggan TontonUp (pelan 1 bulan, 3 bulan, atau 12 bulan) akan menerima tambahan 100 undian setiap minggu. Setiap undian yang dibuat memberi peluang yang lebih besar untuk duo pilihan anda menang, jadi pastikan anda terus menyokong mereka!

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial. Jangan lupa untuk menggunakan hashtag rasmi #FamiliDuo dan #BerduoLebihBaik untuk berkongsi pengalaman dan menyemarakkan perbualan di laman sosial. Ayo, sokong dan undi duo kegemaran anda di Famili Duo 4!