Tag: #RinduHatikuRindu

  • Ezad Lazim Hidupkan Semula Lagu Hits ‘Rindu Hatiku Rindu’

    Ezad Lazim Hidupkan Semula Lagu Hits ‘Rindu Hatiku Rindu’

    Ezad Lazim, penyanyi balada yang tidak asing lagi di kalangan peminat muzik Malaysia, sekali lagi mencuri perhatian ramai dengan pembaharuan lagu viral “Rindu Hatiku Rindu” yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi cilik, Tantari.

    Lagu yang sarat dengan kenangan zaman 90-an ini kini diberi nafas baru oleh Ezad Lazim, menjadikannya lebih segar dan relevan dengan gaya vokalnya yang lemak merdu dan penuh emosi. Lagu yang sudah menjadi fenomena di kalangan pendengar ini kini dilihat sebagai karya milik Ezad setelah mendapat sentuhan peribadinya.

    Versi asal lagu ini, yang dicipta oleh komposer terkenal Eddie Hamid dan dilengkapi dengan lirik daripada Jaju serta Hakim Hakimi, berjaya menempatkan dirinya di tempat pertama dalam senarai Trending YouTube selama lebih dari 20 hari berturut-turut. Pada masa ini, video muzik asal lagu tersebut telah meraih lebih daripada 9 juta tontonan, menjadikannya salah satu lagu paling popular tahun ini. Kejayaan ini diikuti dengan viralnya lagu tersebut di TikTok, yang turut menyaksikan peningkatan dramatik dalam bilangan tontonan.

    Ezad Lazim, yang turut dikenali melalui kerjayanya sebagai vokalis utama kumpulan Exists, menyatakan bahawa merakamkan semula lagu “Rindu Hatiku Rindu” adalah satu penghormatan besar bagi dirinya. Menurut Ezad, lagu ini mempunyai nilai sentimental yang mendalam, bukan sahaja kepada peminat setia lagu tersebut, tetapi juga kepada penggemar muzik zaman kini. “Lagu ini sudah menjadi sebahagian daripada ingatan ramai. Saya harap versi terbaru ini juga akan mendapat sambutan hangat seperti versi asal,” ujar Ezad dalam satu kenyataan.

    Ezad Lazim

    Ezad juga berkongsi bahawa rakaman semula lagu ini dibuat dengan penuh teliti. Sebagai seorang penyanyi yang lebih matang, beliau bekerja rapat dengan penerbit untuk memastikan elemen-elemen asal lagu tetap terpelihara. Walau bagaimanapun, susunan muzik telah sedikit diubah suai agar ia lebih sesuai dengan gaya nyanyian penyanyi dewasa seperti Ezad. “Saya mahu memberi warna baru kepada lagu ini, tetapi pada masa yang sama tidak mahu menjejaskan nilai sentimental yang terkandung dalamnya,” jelasnya.

    Kejayaan lagu asal ini, yang dinyanyikan oleh Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian pada usia hanya enam tahun, bukan hanya mendapat sambutan di YouTube, tetapi juga di media sosial seperti TikTok. Video muzik lagu tersebut mencatatkan pencapaian tontonan yang luar biasa, malah mencapai lebih 4 juta tontonan di akaun TikTok HafizFeisal. Kembali dengan versi baru yang dinyanyikan oleh Ezad, diharapkan lagu ini dapat terus mekar dalam hati pendengar baru serta membawa kembali nostalgia kepada mereka yang pernah mendengar versi asal.

    Ezad Lazim sendiri tidak asing dengan kejayaan besar dalam industri muzik, terutama selepas kejayaannya bersama kumpulan Exists. Antara lagu-lagu hits malar segar yang dicipta oleh Ezad termasuklah “Jesnita” yang mencecah 16 juta tontonan di YouTube, “Mengintai Dari Tirai Kamar” (14 juta tontonan), “Seperti Dulu” (14 juta tontonan), dan “Alasanmu” (10 juta tontonan). Sebagai penyanyi solo, Ezad juga mencatatkan banyak kejayaan melalui lagu-lagu seperti “Demi Cinta” yang mencecah 14 juta tontonan di YouTube, “Percintaan Ini” (5.2 juta tontonan), serta “Hati Mati” (3.8 juta tontonan).

    Lagu “Rindu Hatiku Rindu” versi Ezad Lazim, yang dikeluarkan pada bulan lalu, kini boleh didapati di semua platform penstriman muzik. Video lirik rasmi lagu tersebut telah berjaya menduduki kedudukan Top 20 Trending di YouTube. Sementara itu, peminat yang tidak sabar menantikan video muzik rasmi lagu ini boleh menonton siaran perdana pada Jumaat, 8 November 2024, jam 3 petang melalui saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan https://www.youtube.com/watch?v=4S4i2JhhUnk

    Ezad berharap lagu ini dapat terus hidup dalam pelbagai generasi pendengar, membawa emosi yang mendalam, dan tentunya melebarkan lagi pengaruh karya muziknya ke seluruh dunia. Dengan gaya penyampaian yang lebih matang dan penuh penghayatan, lagu “Rindu Hatiku Rindu” versi Ezad Lazim ini dijangka akan terus mengalir di hati peminat muzik tempatan dan antarabangsa.

  • Single Sulung Tantari “Rindu Hatiku Rindu” Trending No. 1 Muzik Di Youtube

    Lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian penyanyi cilik, Tantari, benar-benar menggemparkan laman YouTube dengan pencapaian kedudukan #1 Trending untuk muzik selama 17 hari berturut-turut, lagu ini telah menarik perhatian ramai dalam masa yang singkat. Video muzik lagu tersebut telah mencatat sejumlah 1.6 juta tontonan dalam hanya 3 minggu setelah dimuat naik ke YouTube!

    Nama Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian yang baru berusia 6 tahun mula mendapat perhatian ramai apabila video persembahan dia menyanyikan  lagu popular 90’an, “Cinta Melankolia” dendangan asal Allahyarham Aan dimuat naik ke akaun TikTok LoyyGoji pada 6 Januari lalu menarik lebih 300,000 tanda suka (likes).

    Siapa sangka berdasarkan lagu rock kapak itu, Tantari dilamar oleh Molek fm dengan kerjasama Nova Music untuk merakam lagu sulung, “Rindu Hatiku Rindu” ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid manakala liriknya dihasilkan oleh Jaju dan Hakim Hakimi.

    Dilancarkan pada 15 Februari ’24, lagu “Rindu Hatiku Rindu” yang melodinya seakan lagu era 90-an itu bukan sahaja trending di YouTube tetapi juga di TikTok dengan pencapaian tontonan video muzik lagu ini sebanyak 4 juta di akaun TikTok HafizFeisal.  

    Di waktu yang sama, lagu berentak pop rock itu juga sering diputar di corong radio Molek FM dan Hot FM. 

    Menurut Eddie, pertama kali menonton video tular Tantari menyanyi, beliau terus tertarik dan tahu lenggok lagu yang macam mana penyanyi cilik itu sesuai bawakan sebelum lagu itu ditawarkan kepada Tantari oleh Abang Sham selaku orang kuat radio Molek FM.

    “Rindu Hatiku Rindu” juga merupakan karya pertama Eddie yang dibuat khas untuk penyanyi kanak-kanak seperti Tantari yang lahir pada 23 April 2017.

    “Saya lihat kelebihan Tantari terletak pada suaranya yang unik yang sesuai membawa lenggok lagu era 90-an. Kita juga perlu ketengahkan kanak-kanak yang berbakat sebagai pelapis penyanyi sedia ada. 

    “Walaupun dia masih kanak-kanak tapi saya tak ada masalah sewaktu membuat kerja-kerja rakaman di Studio NAR. Di studio, kami hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk siapkan rakaman,” kata Eddie tentang Tantari.

    Tambah Eddie, beliau tak menyangka lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari itu akan menjadi tular dan mendapat sambutan luarbiasa pendengar. Katanya, ini membuktikan bahawa walaupun zaman sudah berubah masih ramai yang meminati irama rock kapak. 

    Tantari akan memulakan alam persekolahannya dalam Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, Selangor tahun ini. Memandangkan Tantari masih di bawah umur, jadi lirik lagu yang ditampilkan tidak bolehlah keterlaluan sebaliknya perlu sesuai dengan usianya. 

    Mungkin ramai yang tak tahu bahawa Tantari sebenarnya mula menyanyi lagu-lagu kegemaran penggemar muzik dewasa sejak berusia dua tahun. 

    Menurut bapanya, Mohd Alfian Bin Othman, bakat nyanyian Tantari dikesan sejak dia berusia dua tahun lagi dan lagu pertama yang dia nyanyikan di hadapan keluarga ialah lagu 60-an iaitu “Oh Fatimah”. 

    “Tantari mula berani menyanyi di hadapan orang ramai sewaktu berumur enam tahun apabila dia menyertai pertandingan nyanyian ‘Idola Kecil’ mula-mulanya di peringkat pra-sekolah, kemudian ke peringkat daerah dan seterusnya mewakili negeri Selangor. Untuk ketiga-tiga peringkat ini, dia mendapat tempat pertama. 

    “Sebagai bapa, saya bersyukur sebab ramai yang suka dengan nyanyian Tantari. Kalau ikutkan, saya ni tak adalah suka menyanyi lagu rock kapak, ada lagu-lagu tertentu saja. Tantari suka menyanyi lagu berjiwa rock disebabkan saya ada bekalkan sound system di rumah orang kahwin. 

    “Jadi bila buat sound check dan latihan menyanyi di rumah, saya selalu aturkan lagu 80-an dan 90-an. Mungkin sebab saya selalu buka lagu-lagu sebegini membuatkan ia masuk ke dalam dirinya,” cerita Mohd Alfian Othman tentang minat anak sulungnya itu. 

    Sejujurnya, kata Mohd Alfian Otman yang juga guru silat itu, beliau tidak fikir panjang apabila mendapat tawaran daripada Eddie Hamid untuk merakam lagu buat anaknya. 

    “Saya terus terima sebab saya berani katakan yang anak saya mampu buat dan alhamdulillah diizin Allah dan sekarang inilah hasilnya. Dari sentuhan terbaik komposer terkenal Eddie Hamid, Alhamdulillah. 

    “Sewaktu dalam studio, Tantari tak mengambil masa lama untuk rakaman kerana pihak Nova Music mahu terbitkan lagu itu dalam had waktu yang diberikan. 

    “Seingat saya pada hari buat rakaman tu kami datang ke studio pada jam 9 malam untuk mula rakaman dan selesai lebih kurang pukul 11.30 ke 12 tengah malam. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” katanya berkongsi pengalaman Tantari sewaktu di dalam studio rakaman. 

    Terus terang katanya, Tantari tidak mengikuti kelas vokal sebelum menjalani proses rakaman kerana semua persediaan dilakukan di rumah sahaja. 

    “Saya tak hantar dia ke kelas vokal sebab kami bukan dari keluarga senang nak hantar ke kelas vokal atau kelas muzik yang menelan belanja besar. Dia hanya kerap buat latihan di rumah dan disamping itu, kita menjaga waktu rehat, pemakanan dan kesihatannya,” ujarnya. 

    Meskipun Tantari meminati bidang seni, sebagai bapa Mohd Alfian Ohman tetap mengutamakan pelajaran anaknya dalam segala hal. 

    “Antara pelajaran dan seni, sejujurnya kami seimbangkan keduanya sebab pelajaran penting termasuk  ilmu agama yang perlu dititikberatkan. Dari segi penglibatan dia dalam aktiviti seni, minat dan bakat perlu ada. 

    “Pada saya, bakat yang ada pada dia adalah anugerah daripada Allah, jadi kita gunalah sebaiknya. Apa yang kita dapat semuanya adalah pemberian daripada Allah dan yang penting kita guna ke arah kebaikan,” tambahnya.

    Mungkin secara kebetulan bakat nyanyian Tantari itu terbit daripada nama panggilannya sendiri. Tantari adalah nama watak yang dilakonkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem ‘6 Jahanam’. 

    “Nama panggilannya Tantari disebabkan dia adalah seorang pesilat dan saya adalah penggemar filem Tan Sri P. Ramlee. Dalam filem 6 Jahanam watak Tantari adalah seorang pendekar dan seorang pesilat. Saya ambil nama itu dan berikan kepada anak saya. Sampai sekarang, melekat dia dipanggil Tantari,” katanya lagi. 

    Lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari kini boleh didengar di semua pelantar penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://youtu.be/LQZeGvclJSU?si=85uEkYd0I4CS9lXm