Tag: #RayaCeria

  • Lagu Raya Penuh Ceria, Fazura & Syasya Bawa Keceriaan Aidilfitri Melalui ‘Raya Pum Pang’

    Lagu Raya Penuh Ceria, Fazura & Syasya Bawa Keceriaan Aidilfitri Melalui ‘Raya Pum Pang’

    Dua bintang ternama, Fazura dan Syasya Rizal, telah berkolaborasi dalam sebuah lagu raya baharu berjudul ‘Raya Pum Pang’, yang menggabungkan melodi rancak dengan mesej mendalam mengenai kebersamaan dan keceriaan menyambut Aidilfitri. Lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 7 Mac lalu bersama muzik video rasmi, dan telah mencatatkan sambutan hangat daripada peminat.

    Lagu yang dicipta oleh Mage, Ja’a, Glowrush, dan Nick Ariff, serta diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, merupakan hasil kerjasama antara Universal Music Malaysia, Faithful Music, dan Fazura Studios. Dengan melodi yang ceria dan lirik yang penuh makna, ‘Raya Pum Pang’ memberi sentuhan baru dalam dunia muzik raya tahun ini.

    Fazura berkongsi keterujaannya merakamkan lagu ‘Raya Pum Pang’ bersama Syasya. “Berkolaborasi dengan Syasya adalah pengalaman yang sangat istimewa. Ini kali pertama saya berduet dengan seorang artis wanita, dan ia sangat mengujakan kerana lagu ini adalah khas untuk Aidilfitri,” kata Fazura.

    Fazura juga berharap lagu dan video muzik ini dapat menyemarakkan sambutan Aidilfitri para peminat. “Saya berharap semua orang terhibur dengan lagu ini dan muzik videonya. Lebih penting lagi, saya berharap ia menjadi sebahagian daripada perayaan yang penuh makna, mengeratkan hubungan dengan keluarga dan sahabat,” tambahnya.

    Bagi Syasya, yang terkenal sebagai bekas anggota kumpulan Dolla, ‘Raya Pum Pang’ adalah hadiah khas untuk peminat yang sudah lama merindui suaranya. “Lagu ini sangat menyeronokkan dan catchy, dan saya sangat teruja dengan mesej yang ingin disampaikan. Ia adalah lagu yang penuh dengan semangat raya yang dapat mengingatkan kita tentang kepentingan menghargai detik-detik berharga bersama orang tersayang,” ujar Syasya.

    Syasya juga berkongsi pengalamannya sepanjang proses rakaman yang memberi banyak kenangan manis. “Proses rakaman sangat menarik dan penuh pembelajaran. Saya jatuh cinta dengan lagu ini sejak kali pertama mendengarnya. Terima kasih kepada pasukan vokal dan produksi yang sangat membantu,” katanya.

    Satu lagi pengalaman unik bagi Syasya semasa penggambaran video muzik ‘Raya Pum Pang’ adalah terpaksa membawa bayinya, Yassir, ke set penggambaran. “Ini adalah pengalaman yang sangat berbeza. Biasanya, saya fokus untuk tampil cantik di depan kamera seorang diri, tetapi kali ini, saya perlu mengawasi Yassir. Dia sangat mesra dan suka mendengar bunyi bising, jadi dia sangat enjoy sepanjang penggambaran,” ujar Syasya dengan senyuman.

    Syasya turut berkongsi pengalamannya bekerja bersama Fazura yang dianggap sangat penyayang dan kelakar. “Kak Faz sangat kelakar dan penyayang. Kami sangat serasi sepanjang bekerja bersama, walaupun pada mulanya saya agak risau. Tapi ternyata, kami sangat serasi dan vibe kami memang kena,” kata Syasya.

    Lagu ‘Raya Pum Pang’ kini boleh didengarkan di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube. Video muzik rasmi juga telah mencatatkan lebih daripada 900,000 tontonan sejak dilancarkan pada 7 Mac lalu, menunjukkan sambutan hangat daripada peminat yang tidak sabar menantikan lagu raya baharu ini.

    Dengan melodi yang ceria dan penuh semangat, ‘Raya Pum Pang’ diharapkan dapat menemani semua dalam sambutan Aidilfitri kali ini, membawa kegembiraan dan keceriaan kepada setiap detik perayaan.