Tag: #RasaSakitRasaRindu

  • Luncai Emas Rangkul Pasaran Indonesia dengan Kolaborasi Rentas Negara

    Luncai Emas Rangkul Pasaran Indonesia dengan Kolaborasi Rentas Negara

    Lagu terbaru berjudul Rasa Sakit Rasa Rindu telah dilancarkan secara rasmi bersama video muzik pada 8 Ogos 2025 melalui saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital. Pelancaran ini menandakan langkah baharu Luncai Emas dalam usaha menembusi pasaran muzik Indonesia selepas kejayaan lagu Tiara dan Isabella yang sebelum ini berjaya memikat hati pendengar di seberang.

    Kolaborasi ini mempertemukan komposer eksklusif Luncai Emas, Sang Hitam, dengan penyanyi terkenal Indonesia, Andrigo. Lagu ini merupakan karya asli yang digarap dengan penuh emosi, membawa sentuhan Malaysia terus ke hati pendengar muzik serantau. Sang Hitam bukan sahaja penulis lirik dan komposer, malah juga penerbit muzik yang dikenali dengan keberanian mengangkat sisi gelap dan jujur kehidupan ke dalam karya seni. Hasil karyanya sering kali menyentuh tema kehilangan, cinta yang palsu dan harapan yang rapuh, menjadikan setiap ciptaan sebagai pengalaman emosi mendalam. Beliau pernah menghasilkan lagu untuk artis-artis Malaysia seperti Ariff Bahran, Luqman Faiz, Sufian Suhaimi, Wani Syaz dan ramai lagi. Antara karya terkininya termasuk lagu Gelora Jiwa Meronta Asmara yang dinyanyikan oleh Tomok dan Siti Nordiana.

    Menurut Sang Hitam, lagu Rasa Sakit Rasa Rindu memberi ruang kepada pendengar untuk merasai kesakitan kehilangan, indahnya rindu dan ketakutan membuka hati semula. Beliau turut berterima kasih kepada Andrigo kerana menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa dan kepada Luncai Emas kerana memberi peluang untuk karyanya diterbitkan di Indonesia.

    Andrigo, penyanyi asal Riau yang sudah lebih 16 tahun berkecimpung dalam arena muzik Pop Melayu, merupakan nama besar di Indonesia dengan lagu-lagu popular seperti Pacar Selingan, Demi Cinta, Cinta Yolanda dan Terbunuh Rindu. Pernah bernaung di bawah label NAGASWARA, beliau kini tampil dengan kolaborasi istimewa bersama Luncai Emas. Andrigo menyatakan bahawa Rasa Sakit Rasa Rindu merupakan nafas baru dalam kerjayanya dan berharap lagu ini diterima baik oleh pendengar Indonesia serta Malaysia. Menurutnya, lagu ini istimewa kerana digarap dengan sentuhan slow rock Malaysia yang kuat.

    Kerjasama ini juga tercetus hasil komunikasi awal antara Andrigo dengan pihak Luncai Emas untuk merakam semula lagu Isabella. Pertemuan dengan Dato’ M. Nasir dan Jennifah, selaku Pengarah Hakcipta Luncai Emas, membuka jalan kepada realisasi projek ini pada tahun 2025.

    Single Rasa Sakit Rasa Rindu diterbitkan dengan kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd. dari Malaysia dan PT Dua Suara Media dari Indonesia. Penerbitan muziknya dikendalikan oleh Dodhy dari kumpulan Kangen Band, manakala gubahan muzik disempurnakan oleh Sang Hitam. PT Dua Suara Media sendiri bukanlah nama asing dalam industri muzik Indonesia kerana pernah menerbitkan lagu-lagu popular termasuk Cinta Sampai Mati nyanyian Raffa Affar yang menjadi lagu luar negara persembahan tertinggi di Anugerah MACP dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

    Dengan kombinasi tenaga kreatif Malaysia dan Indonesia, lagu ini diyakini mampu menawan hati peminat muzik Nusantara. Ia menjadi bukti kesungguhan Luncai Emas untuk terus membawa karya ciptaan tempatan ke pentas antarabangsa melalui kolaborasi strategik bersama artis dan penerbit muzik serantau.