Tag: #RapTempatan

  • KMY KMO & Luca Sickta Lancar Kritikan Bermadah dalam “Kertas Wangi”

    KMY KMO & Luca Sickta Lancar Kritikan Bermadah dalam “Kertas Wangi”

    Duo rap berpengaruh tanah air, Kmy Kmo dan Luca Sickta, terus konsisten memartabatkan adat serta warisan budaya Melayu menerusi karya mereka apabila kembali tampil dengan single terbaharu berjudul “Kertas Wangi”. Karya ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya mengajak pendengar berfikir secara kritis tentang realiti kehidupan moden yang sering dipengaruhi tekanan material, gaya luaran dan nilai sementara dunia.

    Selari dengan semangat yang dibawa dalam lagu tersebut, Majlis Pelancaran Single dan Sidang Media “Kertas Wangi” telah berlangsung di Pasar Seni (Central Market), sebuah bangunan warisan ikonik yang menjadi simbol seni dan budaya Malaysia. Pemilihan lokasi ini bukan sahaja signifikan dari segi sejarah, malah mencerminkan komitmen duo ini dalam mengangkat identiti budaya tempatan ke dalam muzik kontemporari. Majlis tersebut turut diserikan dengan penyerahan plak single “Kertas Wangi” oleh Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong, kepada Kmy Kmo dan Luca Sickta.

    Menariknya, pelancaran ini diadakan bersempena Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut dari 23 hingga 25 Januari 2026, sekali gus menghubungkan dunia muzik dengan ekosistem seni, budaya dan komuniti setempat.

    Dari segi penceritaan, “Kertas Wangi” mengangkat metafora wang sebagai simbol dunia material yang sering mengaburi nilai sebenar manusia. Lagu ini menjadi refleksi jujur tentang bagaimana tekanan hidup dan keinginan mengejar status mampu menutup budi, empati dan keikhlasan. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, karya ini tampil sebagai rap moden yang sarat makna, namun mudah dihayati melalui susunan muzik kontemporari yang kemas dan seimbang.

    Menurut Kmy Kmo, inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatian terhadap kehidupan seharian masyarakat yang sentiasa diuji dengan godaan dunia. Metafora “Kertas Wangi” melambangkan bagaimana nilai wang sering mengatasi nilai kemanusiaan tanpa disedari. Bagi Luca Sickta pula, lagu ini bukan bersifat pengalaman peribadi semata-mata, sebaliknya cerminan perjalanan hidup manusia secara umum yang menuntut keseimbangan antara dunia dan jiwa.

    “Kertas Wangi” juga menjadi bukti kematangan serta keserasian kreatif dua seniman ini. Proses penciptaan mereka disifatkan sebagai saling melengkapi, dengan Kmy Kmo memberi fokus kepada lirik dan makna, manakala Luca Sickta menghidupkan emosi melalui muzik dan susunan. Gabungan ini menghasilkan karya yang terasa organik, jujur dan berlapis dari segi emosi.

    Dari sudut muzik, lagu ini memadukan rap moden dengan elemen tradisi Pantai Timur seperti Dikir Barat, yang diserap secara kreatif dalam ritma, harmoni dan vokal latar. Pendekatan ini menjadikan “Kertas Wangi” bukan sahaja segar dari segi bunyi, malah sarat dengan roh budaya Melayu yang autentik, sekali gus membuktikan bahawa muzik tradisi mampu terus relevan dalam arus kontemporari.

    Bagi Kmy Kmo dan Luca Sickta, “Kertas Wangi” adalah peringatan untuk pendengar berhenti sejenak dan menilai semula apa yang benar-benar penting dalam hidup. Duo ini turut berkongsi perancangan masa depan termasuk beberapa projek baharu dan perancangan menghasilkan album penuh, menjadikan single ini sebagai pembuka kepada fasa seterusnya dalam perjalanan seni mereka.

    Single “Kertas Wangi” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 21 November 2025.