Tag: #PermohonanMaaf

  • “Saya Akui Kesilapan Saya” – Kak Ika Tampil Mohon Maaf dan Jelaskan Situasi Sebenar

    “Saya Akui Kesilapan Saya” – Kak Ika Tampil Mohon Maaf dan Jelaskan Situasi Sebenar

    Zamzam Zulaikha Abu Shah atau lebih dikenali sebagai Kak Ika ingin membuat penjelasan serta memohon maaf berhubung perkara yang telah menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini.

    Kak Ika mengakui bahawa beberapa balasan komen yang dibuat olehnya pada video yang dirakam ketika berada di atas motosikal di Cameron Highlands mengandungi penggunaan bahasa yang tidak wajar dan tidak sepatutnya digunakan. Beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap cara beliau membalas komen-komen tersebut dan telah mengambil inisiatif untuk menghubungi beberapa individu yang terlibat secara peribadi melalui platform Threads dan TikTok bagi menyampaikan permohonan maaf secara langsung.

    Menurut beliau, video asal yang dirakam ketika berada di Cameron Highlands adalah berkaitan dengan keadaan lalu lintas di kawasan tersebut. Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa kenyataan yang menyebut mengenai “bangsa-bangsa yang masuk” ketika sesi siaran langsung adalah merujuk kepada akaun-akaun luar negara yang sering memasuki sesi LIVE serta mengambil Treasure Coin dan Treasure Box yang disediakan kepada para pengikutnya.

    Beliau memaklumkan bahawa situasi tersebut telah beberapa kali berlaku sehingga menyebabkan pengikut-pengikutnya sendiri mengalami kesukaran untuk mendapatkan hadiah yang disediakan. Namun begitu, sebahagian rakaman yang tular telah dimanipulasikan sehingga menimbulkan salah faham bahawa kenyataan tersebut ditujukan kepada golongan B40.

    Sehubungan itu, Kak Ika menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat sama sekali tidak ditujukan kepada golongan B40 atau mana-mana lapisan masyarakat di Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa dirinya tidak berniat untuk menghina, merendahkan atau memperlekehkan mana-mana pihak dan menegaskan bahawa perkara tersebut bukanlah maksud sebenar kenyataan yang disampaikan ketika itu.

    Kak Ika turut menyatakan kesediaannya menerima segala teguran yang diberikan dan menganggap insiden ini sebagai satu pengajaran yang besar untuk lebih berhati-hati dalam berkomunikasi pada masa hadapan.

    Beliau berharap penjelasan ini dapat membantu memperbetulkan salah faham yang timbul serta memberi ruang untuk beliau kembali memberi tumpuan kepada keluarga, para pekerja, pelanggan dan perniagaan yang diusahakan.

    “Dengan rendah hati, saya mengakui kesilapan saya dan memohon maaf atas apa yang telah berlaku. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, nasihat dan ruang untuk saya memperbaiki diri. Semoga segala yang berlaku menjadi pengajaran yang baik buat saya.”