Tag: #Pentas

  • BIL MUSA TAMPIL BERSAMA SINGLE TERBARUNYA YANG BERJUDUL ‘PENTAS’.

    Penyanyi dan penggubah lagu yang sangat berbakat dan terkenal dengan lagu-lagunya yang berkonsepkan “healing”, iaitu Bil Musa kini makin dikenali oleh rata-rata peminat muzik indie tempatan. Single terbaharunya, “PENTAS,” yang dicipta oleh komposer terkenal Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat, dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG).

    “Sebagai insan kreatif, saya perlu mengambil masa untuk menghasilkan sesebuah karya seni, sejurus lagu Pantang dilancarkan, sebuah kolaborasi bersama Noki, ramai yang agak ‘terperanjat’ dengan arah tuju muzik saya, rata-rata mengatakan lagu tersebut ‘catchy’ dan sedikit lari dari genre saya. “

    “Sudah tentu, peminat lebih mengharapkan saya kembali kepada stail yang terdahulu dengan komposisi lagu-lagu ‘healing’ yang lebih sinonim dengan saya sebagai seorang pengkarya muzik,” jelas Bil, atau nama sebenarnya Nabilah Musa, 30.

    Lagu PENTAS yang berunsurkan kerohanian merupakan idea Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat, kata Bil, “Idea asal lagu ini datang dari komposernya sendiri yang mahukan sebuah karya tentang hubungan manusia dengan Sang Pencipta dalam perjalanan hidupnya.

    “Kali pertama mendengar demo lagu PENTAS, hati terus terpaut padanya, rasa sebak pun ada juga. Bagi mereka yang sudah lama mengikut perjalanan seni saya faham bahawa laluan saya bukanlah ‘linear’ kerana walaupun mempunyai peminat tegar, muzik saya seakan tidak ‘sampai’ di Malaysia. Agak susah bagi penyanyi indie seperti saya untuk menyentuh jiwa pendengar secara umumnya. 

    PENTAS bagi saya sangat ‘relatable’ kerana ia menceritakan tentang perjalanan hidup seseorang yang ‘lost’ atau kehilangan arah dan terpaksa menghadapi cabaran, namun dengan kuasa iman, beserta sifat tidak mudah menyerah kalah, dan kepercayaan yang masanya akan tiba suatu hari nanti.

    Lagu bernuansa balada pop ini dinyanyikan Bil dengan stail ‘signature’ yang tersendiri dan kedengaran nyaman walaupun padat dengan maksud yang mendalam mengambil masa selama tiga hari untuk dirakamkan kerana memerlukan konsentrasi serta penghayatan yang tinggi, kata Bil lagi, “Saya mempunyai lingkungan vokal yang tidak terlalu besar, jadi kadangkala susah untuk mencipta kepelbagaian, kini saya mula konsisten dalam mengambil kelas vokal untuk memperbaiki diri. Tambahan lagi, untuk menjadi seorang artis yang dikenali di Malaysia, kita perlu mendedahkan banyak aspek dari kehidupan peribadi supaya bisa mendapatkan cerita ‘insani’, akan tetapi saya seorang yang ‘private’, jadi inilah cabaran saya. 

    Selain single, lirik video juga turut dilancarkan pada tarikh yang sama dengan konsep ‘breaking-fee’ yang penuh simbolik, dengan maksud abstrak yang mempunyai estetika tersendiri.

    Ulas Dato’ KK Chua, Ketua Pegawai Eksekutif AEG, “Bil Musa adalah penyanyi masa kini yang berbakat bukan sahaja dalam bidang nyanyian bahkan dalam bidang penciptaan lagu juga kerana minatnya yang mendalam terhadap muzik, semoga lagu PENTAS dapat memberi lebih ‘exposure’ buat dirinya agar terus dikenali dan disukai ramai.

    Bil yang sedang dalam proses merakamkan sebuah EP, bakal dilancarkan pada tahun depan berkata, “Saya berharap pendengar dapat menerima PENTAS kerana dalam lagu ini saya dedahkan semuanya, segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri, semoga peminat dapat menghargainya dan cuba hayati bait-bait lirik yang saya sampaikan.

    Lagu PENTAS boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

    Manakala lirik video ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.

  • Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani

    Dengan melancarkan realiti TV realiti berjudul Pentas Marhaban, TV AlHijrah meningkatkan kedudukan stesen itu sebagai agen penggerak dakwah di platform penyiaran.

    Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan realiti TV Islamik bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

    Bercerita mengenai buah tangan terbaru TV AlHijrah, Namanzee Harris selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata, TV AlHijrah senantiasa memposisikan kedudukannya sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya.

    “Selepas kejayaan rancangan realiti Hijrahkan Laguku pada tahun 2021 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 1.7 juta penonton  dan rancangan realiti Akademi Qurra’ pada tahun 2022 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 4.4 juta penonton,  TV AlHijrah perlu konsisten menghidangkan rancangan hiburan kekeluargaan mengikut syarak.

    “Tambah pula, baru-baru ini mengikut laporan data AC Nielson, TV AlHijrah terus memenangi hati penonton apabila berjaya melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran (channel share) sehingga menduduki tangga lima teratas (top five) stesen tv terbaik di Malaysia sekaligus mengatasi saluran hiburan di negara ini.

    “Kejayaan ini adalah penanda aras buat stesen tv kami untuk terus berjuang mengangkat martabat program-program yang bersifat spiritual dan Islamik ke mata dunia, insya-Allah. Peningkatan yang baik ini juga adalah petanda baik bahawa rancangan Pentas Marhaban yang akan diterbit dan disiar secara langsung ini bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran.

    Dalam pada itu, Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah merupakan satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke kaca televisyen dan seluruh medium penyiaran sebagai program realiti.

    “Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak. Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal,” jelas Namanzee.

    “Pentas Marhaban akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 11 November akan datang,” katanya lagi.

    Tambah beliau, Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, dan dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’  musim pertama, Tilmiz Fahmi.

    Ustaz Husaini Mahmur, qari negara yang juga merupakan qari bagi rancangan Quran@114 di TV AlHijrah akan bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, serta diadili dua  juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus. Tidak dilupakan juga sesi penjurian daripada juri jemputan mingguan.

    Sewaktu ditebak mengenai peserta-peserta yang akan bersaing di Pentas Marhaban, beliau berkata, sebanyak dua belas kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW  serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

    “Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Suka saya kongsikan, kesemua dua belas kumpulan bukan berada di sini semata-mata untuk merebut gelaran juara. Namun apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil,” katanya.

    “Dua belas kumpulan tersebut adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee,” tuturnya menutup bicara.

    TV AlHijrah berkeyakinan bahawa Pentas Marhaban yang diterbitkan secara kreatif, bersifat malar segar, sesuai dengan selera dan penerimaan masyarakat mampu melahirkan masyarakat penonton yang berjiwa tauhid dalam kerangka dan batas syariat.

    Maklumat lanjut serta perkembangan terkini rancangan Pentas Marhaban  boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah, laman media sosial TV AlHijrah, portal Alhijrahnews.com serta portal HBIT.my.