Tag: Palestin

  • UK’S: UP CLOSE AND PERSONAL: MALAM YANG PENUH KEMESRAAN BUAT PARA PECINTA, YANG PERTAMA, EKSKLUSIF DALAM  – 2024

    UK’S: UP CLOSE AND PERSONAL: MALAM YANG PENUH KEMESRAAN BUAT PARA PECINTA, YANG PERTAMA, EKSKLUSIF DALAM – 2024

    Showcase Istimewa bagi Peminat Setia: Raikan Lebih Tiga Dekad Karya Cinta Mengusik Perasaan pada 26 Oktober iniKumpulan UK’s, yang berasal dari nama Ukays, telah menyentuh hati ramai peminat dengan lagu-lagu cinta mereka selama lebih tiga dekad. Lagu-lagu ini telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup peminat, seolah-olah ditulis khas untuk mereka.

    Sebagai tanda terima kasih kepada peminat setia, UK’s akan mengadakan showcase istimewa yang diberi nama “UK’s: Up Close and Personal” pada 26 Oktober nanti. Showcase eksklusif ini akan menampilkan persembahan intim dan makan malam, terhad kepada 284 tempat duduk sahaja.

    Vokalis UK’s, Amir, menyatakan bahawa acara ini adalah tanda penghargaan kepada peminat yang telah menjadi tulang belakang kekuatan mereka selama ini. Peminat akan menjadi yang pertama mendengar single terbaru UK’s, “Tak Sangka”, hasil ciptaan Saari Amri.

    Showcase ini akan diadakan di Hotel Ideas, Kuala Lumpur, dengan kerjasama Amir UK’s Entertainment, Laga Emas, dan Mewah Event Management. Penyanyi Azmani juga akan membuat persembahan sebagai artis undangan.

    UK'S

    Tiket boleh dibeli melalui tickets.uks.my. Harga tiket Early Bird ialah RM250, manakala harga tiket biasa ialah RM299 (Zon C), RM350 (Zon B), dan RM450 (Zon A). Terdapat juga Premium Ticket berharga RM8,000 semeja untuk lapan orang, yang termasuk penginapan percuma satu malam beserta sarapan di Hotel Ideas, dan beg cenderahati.

    Amir berkongsi bahawa ramai peminat menganggap lagu-lagu UK’s sebagai diari peribadi mereka, menyimpan cerita cinta dan suka duka perjalanan hidup mereka. Mereka tidak akan mampu bertahan selama ini tanpa sokongan peminat.

    UK'S

    Ditubuhkan pada tahun 1989 sebagai Ukay, kumpulan ini kemudiannya bertukar nama kepada UK’s selepas Amir menyertai pada tahun 1991. Album mereka “Bisa Berbisa” pada tahun 1994 mencapai jualan tertinggi ketika itu, dengan lebih 350,000 unit terjual.

    Showcase ini akan menampilkan seleksi lagu-lagu popular  yang dipilih oleh peminat, termasuk “Kekasih di Menara”, “Siapa Rampas Cintamu”, “Di Luar Kemampuanku”, “Tergamak Kau”, dan “Di Sana Menanti Di Sini Menunggu”. Selain itu, beberapa lagu yang jarang dinyanyikan juga akan dipersembahkan.

    UK'S

    Persembahan selama hampir dua jam ini juga akan merangkumi sesi beramah mesra dan acara cabutan bertuah, dengan hadiah termasuk pakej penginapan di Villa Molek, Langkawi.

    Mereka juga ingin menunjukkan solidariti terhadap perjuangan saudara Palestin di Gaza. Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke tabung Palestin.

    Amir mengajak semua peminat untuk menjadikan malam “UK’s: Up Close and Personal” sebagai momen terindah dan penuh makna dalam perjalanan mereka bersama .

  • Doa Buat Gaza: Sebuah Manifestasi Solidariti Terhadap Konflik di Palestin

    Kimal, penyanyi kumpulan rock tempatan, Margasatwa. dan seorang artis dan komposer yang berbakat dalam dunia muzik Malaysia, telah mengumumkan pelancaran single terbarunya yang menggugah perasaan, bertajuk Doa Buat Gaza. Lagu terbitan Luncai Emas ini bukan sahaja merupakan karya terkini beliau tetapi juga satu permohonan doa yang disusun menjadi sokongan dan kepedulian terhadap mangsa konflik di Palestin.

    Kimal berkongsi, “Pada asalnya sebuah puisi, Doa Buat Gaza sebenarnya telah dihasilkan pada tahun 2012, sebagai cerminan reaksi saya terhadap kekejaman Israel yang menyerang Gaza dan keganasan yang terjadi di sana waktu itu. Terketar dan terkesan dengan nasib saudara di Palestin, puisi ini kemudiannya diubah menjadi sebuah lagu.

    Saya sedar bahawa dari jauh, kita mungkin terbatas dalam bantuan yang dapat diberikan, dan walaupun setiap sumbangan seikhlas hati adalah penting, tetap ianya boleh dimanipulasikan pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun begitu, doa memiliki kekuatan tersendiri yang tidak boleh dipergunakan oleh pihak tersebut. Doa adalah satu- satunya senjata kita yang eksklusif.”

    Menurut Kimal, kolaborasi dengan Mafidz, yang dikenali dengan ahli-ahlinya Megat Aizzat, Megat Fazly, dan Megat Hafidz, merupakan sebuah kolaborasi kreatif. “Saya kenal mereka sejak tahun 2015 lagi, sebelum wujudnya Margasatwa dan Mafidz. Mereka antara rakan kreatif pertama yang boleh saya berkongsi rasa, idea dan cita-cita bersama mereka. Kita tak pernah berkolaborasi secara rasmi, maka ini adalah lagu yang tepat pada waktu yang tepat” kata beliau. “Projek ini juga menjadi salah satu cabang kreatif saya, untuk menguji kebolehan saya sebagai seorang artis, komposer, dan penerbit” tambah beliau. Katanya, beliau tidak melibatkan kumpulannya, Margasatwa, dalam projek ini kerana mereka sedang menyiapkan album baru dan itu yang menjadi fokus utama mereka.

    Mafidz dan produksi mereka, Resonant Pribadi telah menampilkan profesionalisme yang tinggi kata Kimal. “Masing-masing dari mereka memiliki keunikan dalam suara dan penyampaian. Mereka memahami dengan mendalam melodi dan lirik yang ingin disampaikan. Yang paling saya suka adalah pilihan melodi dan nada setiap bahagian suara mereka yang bersatu dengan harmoni dan indah sekali” ungkap Kimal.

    Lagu ini dirakam di studio Resonant Pribadi untuk bahagian vokal, manakala gitar dan alat lain dimainkan dan dirakam sendiri di Studio Gemunggal di Penerbitan Tongkat Sakti, milik Kimal.

    “Sedih dan menyayat hati dengan apa yang berlaku terhadap saudara kita di Palestin. Namun dalam masa yang sama, saya sangat berbangga dengan kekuatan dan kehebatan mereka menentang kekejaman Israel. Semoga kemenangan milik Palestin, InsyaAllah.” luah beliau apabila ditanya tentang perasaan beliau terhadap tragedi yang sedang berlaku di tanah Palestin. Kimal menekankan bahawa ini adalah peranan beliau sebagai seorang artis untuk menyebarkan kesedaran mengenai kejadian di Gaza dan mengingatkan orang ramai tentang betapa pentingnya mensyukuri keamanan negara kita dari porak-peranda dan kemusnahan peperangan.

    Sebagai kata-kata semangat, beliau mengambil ungkapan lirik daripada Doa Buat Gaza, ““Namun kita masih punya, senjata yang mereka tidak punya, yang berjenama doa, Doa buat Gaza.” Teruskan usaha, berdoa dan bergantung harap, dan bertawakkal dengan Allah swt. Marilah sama-sama kita terus menerus mendoakan kesejahteraan dan kemenangan untuk Palestin.”

    Single Doa Buat Gaza telah pun sedia untuk didengari di pelbagai platform digital. Selain daripada lagu, pendengar boleh juga melihat video muzik Doa Buat Gaza di saluran Youtube Luncai Emas.

    Untuk maklumat lanjut mengenai pelancaran single ini serta perkembangan terkini daripada Kimal dan Mafidz, sila ikuti laman sosial mereka.

    Kredit produksi rakaman:

    Artist: Kimal ft. Mafidz Composer & Author: Kimal Producer: Megat Fazly, Kimal

    Vocal Recorded at Resonant Pribadi Studio Mixed & Mastered by Megat Fazly Executive Producer: Hidayat Nasir Publisher: Luncai Emas Sdn Bhd