Tag: #NurUntukAriff

  • Perkahwinan Kontrak yang Berubah Menjadi Penyembuhan Jiwa dalam “Nur Untuk Ariff”

    Perkahwinan Kontrak yang Berubah Menjadi Penyembuhan Jiwa dalam “Nur Untuk Ariff”

    Drama bersiri vertikal Nur Untuk Ariff bakal menemui penonton bermula 19 Januari, setiap hari jam 8.00 malam, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Mengangkat tema perkahwinan kontrak yang berkembang menjadi perjalanan penyembuhan jiwa, naskhah ini menyelami kisah cinta yang lahir daripada kepura-puraan, trauma silam serta rahsia keluarga yang penuh pengkhianatan dan perebutan kuasa.

    Dibintangi oleh Aprena Manrose dan Nazim Othman, Nur Untuk Ariff mengetengahkan konflik emosi yang mendalam menerusi watak Tajul Ariff, pewaris Empayar Holding yang terpaksa mempertahankan imej lelaki sempurna demi reputasi keluarga. Di sebalik kemewahan dan kuasa, Ariff menanggung trauma berat akibat kemalangan tragis yang meragut nyawa ibu bapa dan adik perempuannya, sekali gus menghantui hidupnya dengan ketakutan dan mimpi ngeri.

    Demi memenuhi permintaan neneknya dan membersihkan nama keluarga, Ariff terpaksa mengahwini Nur melalui sebuah perkahwinan kontrak. Pada awalnya, hubungan mereka hanyalah lakonan semata-mata tanpa rasa, namun kehadiran Nur yang penuh kelembutan dan keikhlasan perlahan-lahan membawa ketenangan dalam hidup Ariff. Tanpa disedari, ikatan palsu itu mula bertukar menjadi perasaan tulus yang sukar dinafikan.

    Konflik semakin memuncak apabila perebutan kuasa dalam keluarga Ariff tercetus, dipacu oleh ibu saudaranya, Razita, yang berusaha merebut jawatan CEO untuk anak lelakinya, Tajul Haiqal. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Haiqal sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Nur, manakala kemunculan semula Laila, cinta pertama Ariff, mencetuskan penderaan emosi dan fizikal terhadap Nur, sekali gus menguji ketabahan watak utama wanita ini.

    Di sebalik kelembutan Nur, tersimpan misi rahsia untuk membongkar kebenaran tentang kematian ibu bapa Ariff. Pendedahan demi pendedahan membuka lembaran gelap keluarga Empayar Holding, termasuk kebenaran mengejutkan mengenai kemalangan tragis tersebut dan kewujudan Ainun, adik Ariff yang selama ini disangka telah meninggal dunia.

    Kemuncak drama menyaksikan Ariff berhadapan dengan kebenaran pahit yang menggoncang jiwanya. Namun, cinta dan sokongan Nur menjadi kekuatan buatnya untuk bangkit, melawan trauma silam dan menuntut keadilan. Nur Untuk Ariff akhirnya menyampaikan mesej bahawa cinta yang ikhlas mampu menyembuhkan luka lama dan mengubah takdir, walaupun bermula daripada sebuah pembohongan.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Nur Untuk Ariff bermula 19 Januari, setiap hari jam 8.00 malam, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Ikuti perjalanan penuh emosi tentang perkahwinan kontrak, rahsia keluarga dan cinta yang akhirnya menemukan cahaya.