Tag: #NewSouthernRecords

  • “Dicipta Sejurus Kelahirannya” – Lagu ‘Azalea’ Kembali Dihidupkan oleh Anak Istimewa Fendy, Lea Zafira

    “Dicipta Sejurus Kelahirannya” – Lagu ‘Azalea’ Kembali Dihidupkan oleh Anak Istimewa Fendy, Lea Zafira

    Dalam sebuah projek yang penuh makna dan menyentuh perasaan, Lea Zafira, atau nama sebenarnya Nur Azalea Zafirah binti Fendy, anak kepada vokalis kumpulan Caliph Buskers, Fendy, tampil mempersembahkan semula lagu “Azalea” — karya ciptaan dan nyanyian asal bapanya yang ditulis sejurus selepas kelahirannya sepuluh tahun lalu.

    Menjadikan projek ini lebih istimewa, Lea Zafira merupakan seorang kanak-kanak istimewa yang menghidap autisme dan kebutaan, namun memiliki bakat luar biasa dalam bidang muzik. Lagu “Azalea” bukan sahaja mengandungi nilai sentimental tinggi, malah menjadi simbol kasih sayang dan ketabahan antara seorang ayah dan anak.

    “Fira dah dengar lagu ni sejak dia bayi lagi. Saya cipta lagu ini hanya beberapa jam selepas dia dilahirkan, jadi ia amat dekat di hati kami. Bila dia mula menyanyi, dia memang sudah hafal melodi dan liriknya kerana tahu lagu ini dicipta khas untuknya,” kata Fendy.

    Meskipun berdepan cabaran penglihatan dan autisme, Lea Zafira mula menunjukkan minat terhadap nyanyian seawal usia empat tahun. Daya ingatan muziknya yang kuat dan keupayaannya menyampaikan emosi secara tulus menjadikan persembahannya istimewa.

    Projek istimewa ini turut mendapat sokongan New Southern Records Sdn. Bhd. (NSR) yang berbesar hati bekerjasama dalam penerbitan lagu tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap potensi anak-anak istimewa. “Saya amat berterima kasih kepada NSR kerana menyokong projek kecil ini yang membawa makna besar kepada kami sekeluarga,” tambah Fendy.

    Fendy turut berkongsi perancangannya untuk terus membimbing anak perempuannya dalam bidang muzik. “Insya-Allah, ini bukan yang terakhir. Saya sedang usahakan kelas vokal yang sesuai dengan keperluannya agar dia dapat terus mengasah bakat ini dengan bimbingan yang betul,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Fendy memaklumkan bahawa Lea Zafira akan berpindah ke Sarawak bersama ibunya pada tahun hadapan, namun menegaskan minat dan perjalanan seni anaknya tidak akan terhenti. “Jika ada jemputan persembahan di Kuala Lumpur, ibunya akan membawa Fira dan saya akan uruskan semuanya di sini,” jelasnya.

    Versi nyanyian Lea Zafira bagi lagu “Azalea” telah dilancarkan secara rasmi pada 3 Oktober 2025 dan kini boleh didengarkan di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Video muzik rasmi turut boleh ditonton di saluran YouTube NSR Malay, menampilkan persembahan penuh emosi oleh Lea Zafira dalam suasana sederhana tetapi sarat dengan kasih dan keikhlasan.