Tag: #NadhifBasalamah

  • Rentak Serumpun: Ikatan Muzik Malaysia, Indonesia & Brunei

    Rentak Serumpun: Ikatan Muzik Malaysia, Indonesia & Brunei

    Muzik sekali lagi membuktikan bahawa ia mampu menyatukan hati tanpa sempadan apabila tiga artis muda paling menyerlah di Asia Tenggara, Nadhif Basalamah dari Indonesia, Aisha Retno dari Malaysia, dan Aziz Harun dari Brunei, bergabung tenaga dalam single terbaharu berjudul “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”. Lagu yang penuh emosi ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

    Dicipta bersama pada tahun 2024, lagu ini lahir daripada pertemuan santai di Kuala Lumpur ketika kunjungan Nadhif sempena Hari Raya Aidiladha. Tanpa perancangan awal, pertemuan di studio Faithful Music bersama Aisha dan Aziz menyalakan idea kecil yang akhirnya berkembang menjadi sebuah karya besar. Beberapa bulan kemudian, Aziz dan Aisha terbang ke Bali untuk merakam versi awal bersama penerbit tersohor Indonesia, Petra Sihombing, sebelum versi akhir disempurnakan secara berasingan di negara masing-masing dan digabungkan semula oleh Petra.

    Mengangkat tema rindu dan keterikatan, kalimat “kota ini tak sama tanpamu” menjadi inti yang menggambarkan bahawa sebuah kota bukan sekadar tempat, tetapi cerminan perasaan, kenangan, dan kehadiran insan tersayang. Lagu ini mengingatkan bahawa rumah sebenar tidak bergantung pada lokasi, sebaliknya pada siapa yang berada di sisi kita. Dengan sentuhan Petra yang dikenali menerusi gaya moden, segar dan emosional, karya ini lahir sebagai sebuah pop kontemporari yang penuh jiwa dari mula hingga akhir.

    Bagi Aziz Harun, lagu ini membangkitkan kenangan indah bersama rakan-rakan rapat di Kuala Lumpur. Katanya, saat Nadhif muncul dengan idea menulis tentang kota itu untuk pasangannya, beliau terus memahami maksud sebenar di sebaliknya. Lebih manis, pengalaman rakaman di Ubud bersama Petra menjadi sesuatu yang tidak akan dilupakan, terutama ketika Petra hampir menyiapkan keseluruhan gubahan muzik termasuk solo gitar sebaik sahaja mereka kembali daripada rehat singkat.

    Nadhif pula menyifatkan lagu ini bermula dengan sangat natural, sekadar hasrat untuk meluangkan masa menulis bersama rakan baharu di Kuala Lumpur. Namun, tanpa disangka, idea ringkas tersebut akhirnya berkembang menjadi lagu yang kini menyatukan tiga negara. Aisha Retno pula merasakan pengalaman bekerjasama dengan Nadhif dan Aziz seolah-olah bertemu sahabat lama walaupun ini kali pertama mereka berkolaborasi. Menurutnya, lirik lagu ini membawa nuansa manis dan sedikit ‘cheeky’, menceritakan perasaan enggan meninggalkan sebuah kota kerana cinta, sesuatu yang pasti pernah dirasai oleh ramai orang.

    Dengan gabungan harmoni vokal yang lembut, lirik yang menyentuh hati dan produksi muzik pop kontemporari, “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” berjaya menangkap rasa rindu yang menjadikan sebuah kota terasa berbeza tanpa insan istimewa di sisi. Lagu ini kini boleh didengarkan di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer dan semua platform penstriman digital utama, manakala lirik videonya turut tersedia di YouTube melalui pautan https://youtu.be/g3ON3-PUIek.