Tag: #MSSCC2025

  • Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2025 Angkat Kreativiti Pelajar Kedah

    MAGGI® bersama Kementerian Pendidikan Malaysia terus komited memperkasa generasi muda untuk mencorakkan kepelbagaian makanan Malaysia melalui asas pemakanan yang betul, kreativiti dan inovasi. Dari utara hingga ke ibu negara, bakat kulinari muda dari Kedah telah menyerlah di pentas Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® (MSSCC) ke-28 dengan mempersembahkan cita rasa dan tradisi utara yang unik ke peringkat kebangsaan.

    Dengan tema tahun ini, “Ramuan Warisan, Citarasa Negeri”, seramai 866 pelajar berumur 13 hingga 17 tahun dari 16 negeri tampil membayangkan semula hidangan tradisi dengan sentuhan kreatif. Pertandingan kali ini turut memperluaskan penyertaan kepada pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, selaras dengan matlamat MAGGI® untuk memberi lebih banyak peluang kepada belia mempelajari asas makanan serta membina hubungan yang sihat dengan makanan, di samping menggalakkan amalan pemakanan yang seimbang. Peserta dari Kedah berjaya menambat hati juri melalui hidangan berinspirasikan ramuan tempatan, tradisi dan kaedah warisan, membuktikan bahawa masakan serantau adalah khazanah penting dalam membentuk masa depan landskap kulinari negara.

    Sejak tahun 1997, kerjasama berterusan MAGGI® bersama Kementerian Pendidikan telah memperkasa hampir 350,000 pelajar, bukan sahaja dalam kemahiran memasak asas tetapi juga dalam membina kemahiran hidup seperti disiplin, kerjasama sepasukan dan daya kreatif. Di Kedah, pelajar dari seluruh negeri berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Omar, Alor Setar bagi menyertai pertandingan akhir peringkat negeri yang menjadi lambang ketabahan, kebanggaan budaya serta perkembangan diri.

    Para juri menilai setiap hidangan dengan penuh teliti, memastikan ia mencerminkan pemahaman pelajar tentang keseimbangan dalam masakan serta memperlihatkan daya kreativiti melalui penyediaan dan persembahan yang rapi.

    Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Awang Rosnadi Bin Awang Rosli, menzahirkan penghargaan kepada Nestlé Malaysia dan MAGGI® atas komitmen menganjurkan program ini setiap tahun. Beliau menekankan bahawa usaha ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kemahiran insaniah. Menurutnya, MSSCC bukan sahaja menyuntik amalan pemakanan sihat malah turut melatih daya kreatif, kerjasama, disiplin dan pengurusan masa dalam kalangan generasi muda serta membuka peluang untuk meneroka potensi dalam bidang pemakanan yang kini semakin diiktiraf sebagai kerjaya bernilai.

    Cik Ivy Tan Link Cheh, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, pula berkata bahawa melalui MSSCC, dengan sokongan berterusan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri, MAGGI® berhasrat melahirkan belia berbakat yang yakin, bersemangat dan mahir dari segi praktikal. Beliau menegaskan pertandingan ini bukan sekadar meraikan tukang masak harian, tetapi menggalakkan pelajar membina hubungan positif dengan makanan melalui penerokaan kreatif. Tambah beliau, MSSCC juga memberi peluang kepada pelajar untuk menghayati warisan masing-masing melalui makanan dan menjadikan pentas ini wadah penyatuan budaya melalui hidangan.

    Di Kedah, juri telah menobatkan Aidil Zikry Bin Mohd Noor Izhham dan Nur Syifa Syadrina Binti Mohamad Azam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri untuk mewakili negeri tersebut ke peringkat akhir kebangsaan. Hidangan kemenangan mereka, Nasi Cubit Cubit dan Ikan Pekasam Sambal Kantan Nenas, menampilkan ikan pekasam sebagai simbol warisan kulinari utara. Para finalis lain turut menonjol dengan idea segar, daripada penggunaan hasil tempatan secara mampan hinggalah gabungan resipi keluarga dengan teknik moden yang lebih inovatif.

    (Dari kiri) Pemenang Kedah MSSCC, Nur Syifa Syadrina binti Mohamad Azam dan Aidil Zikry bin Mohd Noor Izzham dari SMK Mahsuri, bersama guru pembimbing, Siti Nurhana binti Rusni dan Shariza binti Mohd Azami, menerima hadiah dari Encik Awang Rosnadi bin Awang Rosli, Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN), bersama Puan Aniza binti Jamal, Pengetua SMK Dato’ Syed Omar (sekolah tuan rumah), dan Syed Amir, wakil dari MAGGI®.

    Aidil Zikry dan Nur Syifa Syadrina meluahkan rasa syukur kerana berpeluang mempersembahkan inovasi berasaskan resipi tradisi sambil mengekalkan cita rasa asli. Mereka menyatakan perjalanan menyertai pertandingan ini sangat bermakna kerana memberi ruang untuk menyerlahkan bakat individu serta mengenali pelajar lain yang berkongsi minat sama. Mereka juga berkongsi inspirasi daripada konsep “Suku, Suku, Separuh” yang memberi peluang bereksperimen di luar kebiasaan namun tetap mengekalkan elemen pemakanan yang seimbang, ringkas dan lazat.

    Juara MSSCC 2024, Muhammad Ammaruddin bin Jasni dan Aidil Zikry bin Mohd Noor Izhham, turut memberi dorongan kepada peserta baharu dengan menekankan bahawa kemenangan mereka pada tahun lalu telah membuka banyak peluang. Mereka berpesan agar cef muda terus bereksperimen, menghargai warisan, mengekalkan pemakanan seimbang serta berani berkongsi cerita melalui hidangan masing-masing.

    Grand Finale MSSCC 2025 bakal berlangsung pada bulan Oktober dengan menghimpunkan 16 pasukan negeri yang akan bersaing untuk merebut gelaran juara kebangsaan. Pertandingan ini dijangka menjadi pentas berprestij bagi menyatukan warisan, kreativiti dan semangat kulinari generasi muda Malaysia.