Tag: #MenaraKualaLumpur

  • Majlis Berbuka Puasa Menyemai Kasih: Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. Raikan Awal Ramadan Bersama Pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran

    Majlis Berbuka Puasa Menyemai Kasih: Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. Raikan Awal Ramadan Bersama Pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran

    Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. Raikan Ramadan dengan Majlis Berbuka Puasa dan Doa Selamat Bersama Pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran

    Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB), dengan kerjasama Hop On Hop Off, telah menganjurkan satu majlis berbuka puasa dan doa selamat yang penuh bermakna bagi kakitangan dan jemputan khas, bersempena bulan Ramadan yang mulia. Majlis yang diadakan di Menara Kuala Lumpur ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim antara warga kerja serta rakan strategik, sambil menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

    Sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR), majlis ini turut meraikan pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran, Kuala Lumpur, yang dijemput untuk menerima sumbangan bagi pembangunan dan pendidikan maahad tersebut. Selain itu, pengurusan MKLSB turut menyampaikan duit raya kepada para pelajar, sebuah inisiatif yang selari dengan komitmen syarikat untuk memberi kembali kepada masyarakat dan menyokong golongan yang memerlukan.

    Bagi menceriakan lagi pengalaman para pelajar, mereka diberi peluang untuk melawat beberapa tarikan utama di Menara Kuala Lumpur, termasuk Sky Deck, Sky Box, dan Observation Deck. Lawatan ini memberi mereka pengalaman luar biasa menikmati panorama indah ibu kota dari ketinggian, menjadikan lawatan tersebut sangat bermakna dan memberi kenangan indah.

    Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Encik Nazli bin Saad, dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini lebih daripada sekadar berbuka puasa – ia merupakan usaha untuk mendekatkan syarikat dengan masyarakat. “Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang. Di Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., kami amat berbesar hati untuk berkongsi rezeki bersama pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran dan memberi mereka pengalaman istimewa di Menara Kuala Lumpur. Kami berharap sumbangan ini dapat membantu mereka dalam perjalanan menuntut ilmu dan memberi keceriaan menyambut Syawal nanti,” katanya.

    Majlis diteruskan dengan bacaan doa selamat yang khusyuk dan laungan azan yang sangat istimewa daripada para pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran. Para tetamu kemudiannya menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan di TEMU Rasmi, dengan hidangan iftar istimewa ‘Dari Dapur TEMU’, yang akan tersedia dari 5 hingga 28 Mac 2025.

    Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, sebagai satu usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni, memperkukuhkan hubungan sesama insan, dan menyebarkan lebih banyak kebaikan kepada masyarakat.

  • Turkish Airlines KL Tower International Towerthon 2024: Rekod Baharu dan Penglibatan Antarabangsa!

    Turkish Airlines KL Tower International Towerthon 2024: Rekod Baharu dan Penglibatan Antarabangsa!

    Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. dengan bangganya mengumumkan kembali acara sukan yang penuh cabaran dan kegembiraan – Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24). Memasuki edisi ke-22, acara ini dijangka menjadi lebih besar dan lebih mencabar dengan rekod baru yang bakal tercipta, di mana peserta akan mendaki 1,608 anak tangga dengan ketinggian 292 meter, menuju ke Pelantar Pemandangan Tertutup (Observation Deck).

    Bertemakan “Mencabar Diri, Mencipta Rekod,” Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24) tahun ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM80,000 dan menarik penyertaan peserta tempatan serta antarabangsa yang ingin menguji ketahanan fizikal mereka di samping menikmati pemandangan menakjubkan dari puncak Menara KL. Dengan penyertaan yang diharapkan lebih tinggi dari sebelumnya, KLTITC24 akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai acara sukan bertaraf antarabangsa.

    Acara yang memfokuskan pada larian anak tangga ini, sekali lagi, Turkish Airlines muncul sebagai penaja utama untuk tahun ketiga berturut-turut. Sebagai jenama penerbangan global yang terkenal, Turkish Airlines memainkan peranan penting dalam mempromosikan acara ini di peringkat antarabangsa. Menurut Encik Nazli bin Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., “Kami teruja untuk meraikan ulang tahun ke-28 Menara KL dengan acara yang lebih bermakna ini. Kami juga berharap acara ini akan terus menarik perhatian bukan hanya dari peserta tempatan, tetapi juga dari seluruh dunia.”

    Selain mencipta rekod baharu, peserta tahun ini berpeluang menikmati pemandangan yang lebih spektakular daripada Observation Deck Menara KL, memberikan pengalaman luar biasa kepada semua yang menyertai.

    Lebih 100 peserta terbaik dari enam kategori akan menerima hadiah istimewa, termasuk T-shirt FINISHER yang eksklusif. Semua peserta juga akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik daripada rakan penaja acara seperti O’Briens Irish Sandwich Cafe, 100Plus, PRIME Sports Malaysia, Nestle Milo, dan banyak lagi.

    Peserta yang ingin menyertai KLTITC24 boleh melayari portal rasmi untuk pendaftaran, dengan yuran penyertaan bermula dari RM90 untuk kategori tempatan dan RM120 untuk kategori antarabangsa. Yuran ini berbeza mengikut tempoh pendaftaran, dengan early bird pada harga lebih rendah, sehingga 21 November 2024.

    Selain menjadi acara sukan yang mencabar, KLTITC24 juga berperanan dalam mempromosikan gaya hidup aktif dan memperkukuh profil pelancongan Malaysia. Melalui kerjasama strategik dengan Turkish Airlines, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berharap dapat memperkenalkan destinasi pelancongan utama ini di peringkat global dan menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan aktiviti sukan ekstrem dan pelancongan bertaraf dunia.

    Jadi, bagi anda yang ingin mencabar diri, menikmati keindahan pemandangan Kuala Lumpur, dan meraih pengalaman unik, jangan lepaskan peluang untuk menyertai Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024. Mari berlari ke puncak dan buat sejarah bersama!

    Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan acara di Menara Kuala Lumpur, sila hubungi talian khidmat pelangan di +603-2020 5421 atau layari media sosial rasmi kami @menaraki di Facebook, Instagram, dan TikTok, dan laman sesawang http://kltower.com.my manakala bagi maklumat lanjut mengenai acara dan pendaftaran, sila lawati https://v2.checkpointspot.asia/event/KL-Tower-Run-24