Band rock alternatif terkenal, Cradle, kembali menggegarkan dunia muzik tempatan dengan kemunculan album studio terbaharu mereka berjudul Hela Nafasku selepas hampir dua dekad menyepi. Membawa semangat dan getaran muzik era 90-an yang pernah mempopularkan mereka di tengah arus muzik grunge tiga dekad lalu, Cradle kini tampil dengan barisan anggota baharu, menandakan babak segar dalam perjalanan seni mereka.
Menurut pengasas dan pemain gitar utama Cradle, Addy Rasidi, penghasilan Hela Nafasku bukan sekadar tanda kebangkitan semula band tersebut, tetapi juga kesinambungan legasi muzik mereka yang berjiwa Nusantara. Album ini menampilkan Ayuh! sebagai single pertama dan dihasilkan dengan penuh dedikasi selama dua tahun. Apa yang lebih bermakna, pelancaran album ketiga ini bertepatan dengan ulang tahun ke-30 penubuhan Cradle, menjadikan ia satu perayaan istimewa buat peminat yang setia menantikan kemunculan mereka semula.
Addy menjelaskan bahawa impian untuk menghidupkan kembali Cradle sudah lama tersimpan, namun terhalang oleh komitmen projek solo. Kini, tempoh hibernasi itu berakhir dengan kehadiran barisan baharu yang terdiri daripada Eiz Mohd sebagai vokalis, Zul Wahab (pemain bes), dan Adha Lizam (pemain dram). Mereka bersatu untuk menjayakan visi baharu Cradle, yang bukan sahaja mengekalkan identiti asalnya, tetapi turut memberi nafas segar untuk generasi baharu peminat muzik rock tanah air.

Album Hela Nafasku dirakam di Studio 47, Singapura, dan Sonic, Malaysia, memuatkan 11 lagu baharu hasil ciptaan Addy dan Eiz. Addy turut memegang pelbagai peranan dalam projek ini sebagai penerbit eksekutif bersama Lisa Ang, selain bertindak sebagai produser album, pengarah artistik dan penyusun muzik. Di bawah label Rasa Karya, milik legenda muzik Datuk Ramli Sarip yang juga penasihat eksekutif album tersebut, rakaman bermula pada tahun 2023 selepas Eiz bersetuju menyertai kumpulan itu lima tahun selepas pelawaan awal pada 2017.
Addy turut berkongsi kisah di sebalik pemilihan anggota baharu Cradle. Pertemuannya dengan Zul Wahab, seorang juruteknik gitar yang pernah bekerjasama dengan pemuzik hebat Allahyarham Aji, membawa kepada penyertaannya sebagai pemain bes. Sementara itu, Adha Lizam yang berusia 29 tahun menjadi pilihan selepas Addy melihat potensinya melalui video persembahan di media sosial. Walaupun sempat menyepi setahun selepas perkenalan pertama, Adha akhirnya kembali dan menjadi pelengkap tenaga baharu Cradle dengan gaya dan energinya yang segar.
Cradle sebelum ini mencipta nama menerusi album sulung Gurindam Keluli (1996), diikuti Ceritera Awan yang melonjakkan mereka ke puncak populariti apabila lagu Ayu dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Tahun 2008 dan album tersebut memenangi Anugerah Album Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008. Kini, Hela Nafasku menjadi simbol kebangkitan semula Cradle yang mahu membuktikan bahawa muzik sebenar dan album penuh masih relevan di era dominasi single digital.
Bagi Eiz Mohd, yang sebelum ini dikenali sebagai vokalis kumpulan Gerilia dan pernah beraksi bersama Exists, peluang menyertai Cradle adalah satu penghormatan besar. Beliau mengakui bahawa menjenamakan semula Cradle merupakan satu cabaran, namun percaya gabungan empat anggota baharu ini mampu mencipta identiti muzik tersendiri yang segar dan berbeza.
Bagi meraikan kelahiran album ini, Cradle akan mengadakan konsert istimewa bertajuk Cradle Live! pada 14 November 2025 di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur. Persembahan ini turut menampilkan Datuk Ramli Sarip sebagai tetamu khas. Malam tersebut dianjurkan oleh Rasa Karya dan akan bermula dengan bufet makan malam pada jam 8 malam, diikuti persembahan utama pada jam 9 malam. Tiket berharga RM250 (VIP) dan RM160 yang termasuk hidangan bufet boleh didapatkan di laman web www.iLassoTickets.com/cradlelive atau melalui hotline +6011-13297822.
Dengan Hela Nafasku, Cradle bukan sahaja menandakan kebangkitan semula mereka selepas hampir 20 tahun, tetapi juga menyampaikan mesej bahawa perjuangan seni sejati tidak pernah bernoktah ia hanya menunggu masa untuk bernafas kembali.
