Bermula 23 hingga 28 Oktober, Kuala Lumpur bakal berdepan dengan total lockdown trafik susulan kehadiran pemimpin ASEAN dan rakan dialog antarabangsa yang akan menghadiri persidangan berprofil tinggi di ibu negara. Kawasan yang dijangka paling terjejas termasuk sekitar KLCC, Putrajaya, dan kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur yang akan ditutup sepenuhnya ketika waktu puncak persidangan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, lebih 12,000 delegasi dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, China, Afrika Selatan dan Finland dijangka menghadiri acara tersebut. Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh tersebut, seramai 20,000 anggota keselamatan dari seluruh negara telah dikerah untuk mengawal lalu lintas serta memantau keselamatan di kawasan terlibat.
Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3) turut memaklumkan bahawa beberapa jalan utama di ibu kota akan ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh tersebut. Antara jalan terlibat termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.
Beberapa persimpangan strategik turut terjejas antaranya Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan Pinang, Jalan Stonor–Jalan Kia Peng serta Jalan Stonor–Persiaran KLCC.
Selain itu, beberapa lebuh raya utama akan turut mengalami sekatan dan penutupan sementara termasuk Maju Expressway (MEX), North-South Expressway (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Elite Expressway (KLIA–Putrajaya), New Klang Valley Expressway (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Guthrie Corridor Expressway (Guthrie) serta KL–Seremban Expressway dari Sungai Besi ke pusat bandar. Penutupan sementara juga dijangka berlaku di laluan menuju ke KLIA, Putrajaya Ringroad dan Subang menghala ke Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan bahawa semua kakitangan awam yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari kawasan terlibat dibenarkan untuk bekerja dari rumah (work from home) sepanjang tempoh berkenaan. Orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting pula dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada memasuki kawasan yang terjejas bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan urusan keselamatan sepanjang persidangan berlangsung.
